Kesihatan Digital: Permulaan Kecil, Potensi Besar Masa Depan

Bayangkan anda dapat meramalkan kebarangkalian mengalami strok atau serangan jantung dengan peranti boleh pakai. Bayangkan juga anda mempunyai akses kepada kecerdasan buatan yang boleh menganalisis keperluan kesihatan anda dan membuat pelan khusus untuk menguruskan apa sahaja daripada diet anda sehinggalah gejala-gejalanya. Inilah masa depan penjagaan kesihatan –  adakah kita bersedia menghadapinya? Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar Suleiman, Pengerusi, Kumpulan IMU; Prof Zaharin Yusoff, Pakar Data Sains, IMU; dan Dr Raymond Choy, pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Doc2Us berkongsi pandangan mereka.

Kesihatan digital kelihatan seperti konsep yang kompleks tetapi sebenarnya kita telah pun terdedah kepada konsep ini dalam pelbagai aspek. “Kebanyakan daripada kehidupan kita telah pun didigitalkan, dan perkembangannya akan menjadi semakin pantas pada masa hadapan,” kata Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar Suleimen, Pengerusi, Kumpulan IMU.

Pengalaman Malaysia baru-baru ini dengan aplikasi MySejahtera adalah contoh bagaimana teknologi  digunakan untuk membantu memperkemaskan sektor kesihatan. Aplikasi MySejahtera menyediakan saluran untuk perkongsian maklumat — daripada pihak berkuasa dan masyarakat — di mana kerajaan boleh membuat hantaran maklumat yang dikemaskini dan berita mutakhir sementara orang ramai pula boleh memasukkan data berkaitan status kesihatan dan vaksinasi mereka selain check-in untuk pengesanan kontak. Menurut Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar, aplikasi itu kini sedang dibangunkan ke dalam format yang akan membolehkan orang ramai untuk terus menggunakannya sebagai sebahagian daripada rekod kesihatan peribadi mereka dan kemungkinan sebagai sebahagian daripada pelan kesihatan peribadi pada masa hadapan. “Kesihatan digital bukanlah konsep yang baharu,” tambah beliau.

Kesihatan digital telah lama disebut-sebut sebagai cara untuk terus maju ke hadapan. Pada tahun 1996, apabila Koridor Raya Multimedia Malaysia dibentuk, kerajaan melancarkan satu projek nasional untuk membangunkan telekesihatan. Setahun kemudian, Pelan Tindakan Teleperubatan dihasilkan. Dalam pelan tindakan berkenaan, lapan matlamat perkhidmatan kesihatan telah dikenal pasti. Antara lainnya, matlamat-matlamat itu merangkumi penyediaan maklumat yang tepat dan kena pada waktunya, dan merangsang pengetahuan untuk membolehkan seseorang itu membuat keputusan kesihatan yang tepat; untuk memperkasa dan membolehkan individu serta keluarga menguruskan kesihatan melalui pemindahan pengetahuan dan kemahiran; dan untuk memberikan perkhidmatan kepada kawasan perumahan luar bandar dan kota besar, pusat kesihatan dan pusat komuniti. “Kebanyakan daripada lapan matlamat ini telahpun dilaksanakan melalui MySejahtera dan alatan lain semasa pandemik,” jelas Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar.

Pada tahun 1998, terdapat juga inisiatif untuk mewujudkan sistem ICT kesihatan di hospital dan klinik, dan telah dilaksanakan di Hospital Selayang dan Putrajaya, yang membolehkan ia menjadi hospital digital tanpa kertas dan filem. Hari ini, kerajaan sedang mengkaji untuk melaksanakan Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di semua hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara. Ini penting kerana EMR akan membolehkan kita membina rekod kesihatan sepanjang hayat (LHR) yang mustahak untuk membuat pelan kesihatan sepanjang hayat (LHP). LHP adalah salah satu daripada tiga inisiatif perintis dalam Pelan Tindakan Teleperubatan (sila lihat info sisi untuk maklumat lanjut tentang inisiatif perintis pelan tindakan tersebut).

//info sisi

Tiga inisiatif perintis yang digariskan di bawah Pelan Tindakan Teleperubatan (1997):

  1. Projek perintis Maklumat Kesihatan dan Pendidikan Khusus/Tersuai Yang Menyeluruh adalah berkenaan usaha mewujud dan menyampaikan maklumat kesihatan serta kandungan pendidikan berkualiti tinggi kepada seseorang yang akan menggunakan teknologi maklumat terutamanya teknologi multimedia dan telekomunikasi. Ini termasuklah penyediaan Pendidikan Perubatan Berterusan (CME) melalui kaedah pembelajaran jarak jauh untuk profesional penjagaan kesihatan di Malaysia menggunakan teknologi maklumat multimedia yang sesuai.
  2. Aplikasi projek perintis Sistem Telekonsultasi pada asasnya adalah perbincangan interaktif yang membabitkan pakar perubatan dari hospital pendidikan tinggi yang menyediakan khidmat konsultasi jarak jauh untuk pesakit dan penjaga di pusat kesihatan atau klinik, menggabungkan pendigitalan dan penghantaran rekod perubatan pesakit yang berkaitan, termasuklah teks, imej diagnostik serta carta perubatan antara doktor yang merujukkan dan doktor yang memberi khidmat rundingan. Pada dasarnya ia juga bertujuan menjana EMR yang akan membina LHR dan seterusnya membolehkan LHP dicapai.
  3. Objektif utama Pelan Kesihatan Sepanjang Hayat (LHP) adalah untuk merekabentuk, membangun dan melaksanakan pelan kesihatan sepanjang hayat yang disesuaikan dengan  setiap pesakit, proaktif dan prospektif untuk mencapai penjagaan berterusan bagi memastikan seseorang itu berada dalam keadaan kesihatan yang sebaik mungkin.

Tiga projek perintis ini masih dalam proses pelaksanaan di pelbagai peringkat di seluruh negara.

//info sisi tamat

Mengapa kesihatan digital?

Kesihatan digital yang digandingkan dengan kecerdasan buatan boleh membantu sektor perubatan untuk berkembang dalam empat perkara penting. Pertama, ia akan membolehkan penjagaan kesihatan membuat ramalan, iaitu kemampuan untuk meramalkan apa yang bakal berlaku esok dari segi kesihatan — seperti pandemik — melalui pembangunan model-model ramalan.

Kedua, ialah pencegahan, di mana ramalan-ramalan itu boleh membantu kita untuk mencegah sesuatu perkara sebelum ia menjadi masalah. “Di sinilah pengenalpastian dan pengurusan faktor risiko akan menjadi sangat penting,” jelas Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar.

Beliau memberi contoh sistem kecerdasan buatan yang dilaksanakan di unit rawatan rapi di Hospital Mount Elizabeth Novena di Singapura pada tahun 2017. Jururawat di hospital berkenaan dilaporkan mendapati sistem itu sangat berguna kerana ia membantu untuk meramalkan pesakit mana yang lebih cenderung mengalami masalah dan apakah tindakan yang perlu dilakukan untuk mengurangkan risiko tersebut.

Ketiga, penjagaan kesihatan akan dikhususkan bagi setiap pesakit. Pakar Sains Data IMU, Prof Zaharin Yusoff menjelaskan: “Di sinilah pelan kesihatan sepanjang hayat memainkan peranan dan matlamat utama ialah tanpa disedari kita dididik tentang keadaan kesihatan yang berkaitan dengan kita.” Ini bermakna maklumat yang disusun khas yang mensasarkan keperluan seseorang boleh dikemukakan kepada ramai individu, sekaligus melenyapkan cabaran untuk menapis sejumlah besar maklumat yang tersedia dengan berkesan.

Beliau menjelaskan kepentingan untuk memperkasakan orang ramai menguruskan kesihatan mereka sendiri yang membawa kita kepada perkara keempat iaitu penglibatan. Perkara ini sudah terbukti dalam kehidupan seharian kita di mana orang ramai menggunakan alatan yang ada di rumah—seperti peranti boleh pakai dan oksimeter— untuk menguruskan kesihatan mereka dan keluarga mereka.

Permulaan yang kecil

Walaupun ia mungkin kedengaran seperti senario yang hanya boleh dicapai dengan teknologi terkini, namun kesihatan digital sebenarnya bertapak dalam tindakan inovatif yang paling mudah.

Pada tahun 1970-an dan 80-an, Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar telah pun memberikan rawatan jarak jauh kepada pesakit dialisis di rumah. Mesin-mesin dialisis disediakan untuk pesakit yang telah dilatih menggunakan mesin itu sendiri. Pesakit kemudiannya dipantau melalui pusat panggilan yang diwujudkan khusus untuk haemodialisis kendiri dan dialisis peritoneal ambulatori. “Kami memantau dan menguruskan pesakit hanya dengan menggunakan telefon dari pusat panggilan kami,” kata beliau. Bermula dengan pesakit pertama di Sibu, dan pesakit kedua di Kota Kinabalu, Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar akhirnya memantau lebih 400 pesakit dari seluruh negara. Pada pertengahan 1990-an, apabila teknologi bertambah maju, pusat-pusat dialisis seperti yang terdapat di Adelaide, dapat memantau pesakit dari jarak jauh melalui penggunaan komputer.

Pada tahun 1993, sebuah hospital kecil yang terpencil di Sarawak mula mengambil gambar ujian sinar-X digital yang kemudiannya dihantar melalui e-mel kepada pakar radiologi di hospital utama di Kuching untuk dianalisis. Pesakit tidak perlu mengharungi perjalanan yang lama untuk ke ibu kota dan lawatan doktor menjadi lebih mudah diakses oleh mereka yang tidak dapat melakukan perjalanan jauh. “Saya begitu kagum kerana ia sangat membantu pesakit,” kata Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar. Hari ini, ia telah berkembang kepada mesin sinar-X tele-pengimejan yang menghasilkan imej-imej digital dan boleh dihantar kepada pakar radiologi di mana sahaja, bahkan ia dianalisis oleh alat kecerdasan buatan yang dapat membantu dalam pentafsiran imej-imej berkenaan.

Pada masa yang sama juga seorang pakar perubatan di Hospital Besar Kuching sedang memantau pesakitnya di unit rawatan rapi melalui komputer di rumah. Ini membolehkan pakar perubatan tersebut memberikan nasihat pada masa nyata sebelum beliau tiba ke hospital.

Di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat (AS) dan Australia, teledermatologi dan telepsikiatri juga telah dilaksanakan pada pertengahan 1990-an, di mana pakar psikiatri mungkin berada di Melbourne, tetapi memberikan perkhidmatan kepada pesakit psikiatri di pekan kecil di negeri Victoria. “Ia sememangnya sangat berkesan,” kata Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar.

Bersedia atau tidak

Rakyat Malaysia masih belum melihat inisiatif teleperubatan yang lengkap dan meluas yang tersedia untuk kita.

Menurut Dr Raymond Choy, Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Doc2Us, cabaran untuk melaksanakan sistem penjagaan kesihatan berteknologi maju terletak pada kesediaan ekosistem, yang terdiri daripada lima P iaitu pesakit, penyedia, penggubal dasar, pembayar dan platform. 

Salah satu cabaran utama ialah penerimaan dan kesediaan pesakit terhadap penyelesaian kesihatan digital. Orang ramai masih melihat penjagaan kesihatan sebagai perkhidmatan bersemuka, dan pemikiran sebegini menyukarkan untuk mengajak mereka menggunakan platform maya. “Terdapat juga keraguan dan kadang kala mereka tidak melihat nilai daripada khidmat konsultasi secara dalam talian,” kata Dr Raymond.

Sikap berwaspada orang ramai untuk berkongsi data peribadi juga menghalang perkembangan kesihatan digital, terutamanya perkembangan kecerdasan buatan. Bagaimanapun, Prof Zaharin menegaskan bahawa ia adalah selamat: “Kami mengumpulkan data yang tidak dihubungkan kepada nombor kad pengenalan dan tidak dikaitkan dengan mana-mana individu, jadi ia sangat selamat kerana tiada orang yang tahu milik siapakah satu-satu masalah kesihatan itu.”

Pada masa sama, penyedia penjagaan kesihatan pula juga bergelut dengan isu telekonsultasi. Dr Raymond menjelaskan bahawa para doktor sekarang diajar dengan cara konvensional dan tidak didedahkan kepada kesihatan digital, cara menggunakan rekod perubatan elektronik, atau cara memberikan khidmat konsultasi atau perundingan jarak jauh. “Apa yang kami pelajari adalah adab merawat pesakit, bagaimana mengenal tanda-tanda yang ditunjukkan oleh pesakit yang bersemuka,” kata Dr Raymond.

Untuk menyokong pacuan teknologi ini, penggubal dasar juga seharusnya bersikap terbuka terhadap pengemaskinian dan perubahan yang berterusan. Antara soalan yang perlu ditanya termasuklah apakah  penggubal dasar kita terbuka untuk menerima inovasi-inovasi kesihatan digital selain sama ada dasar-dasar itu relevan dengan penyelesaian kesihatan digital pada hari ini dan masa hadapan.

Prof Zaharin turut menambah bahawa sistem diagnostik semasa hanya digunakan untuk menyokong doktor dan ia tidak mudah diakses oleh orang ramai disebabkan isu perundangan dan liabiliti. Contohnya, jika sistem itu tersilap membuat diagnosis yang salah ke atas seseorang pesakit, landskap perundangan tidak meliputi sebarang tindakan undang-undang kelalaian yang mungkin ingin difailkan oleh pesakit. “Landskap perundangan perlu diperkemas supaya memenuhi keperluan semasa,” kata Prof Zaharin.

Juga perlu diambil kira kesediaan para pembayar (orang yang membayar untuk penjagaan kesihatan) iaitu kerajaan, syarikat insurans, pekerja dan pesakit sendiri. Pembayar-pembayar ini perlu mempunyai prosedur yang sesuai untuk menilai pembayaran bagi konsultasi maya, yang membolehkan mereka melihat nilai kesihatan digital.

Halangan terakhir adalah tentang kesediaan platform. Ini termasuklah sokongan infrastruktur seperti rangkaian internet yang stabil dan meluas serta pengawasan dan keselamatan.

Mengorak langkah ke hadapan

Keadaan kini  semakin maju terutama dengan kehadiran pandemik yang bertindak sebagai pemangkin untuk menggerakkan agenda kesihatan digital sedia ada. Di AS, 74 peratus lawatan doktor semasa pandemik adalah secara maya. Walaupun kadar ini menurun kepada sekitar 46 peratus selepas pandemik, ia masih lebih tinggi daripada sebelum pandemik.

Bagaimanakah agaknya situasi penjagaan kesihatan apabila inisiatif digital ini semakin menjadi sebahagian daripada kehidupan kita? Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar melakarkan situasi begini: Seorang pesakit dimasukkan ke hospital untuk pembedahan elektif pada jam 6 pagi. Pada jam 8 pagi, pembedahan itu telah pun selesai dan pada jam 7 petang hari yang sama, beliau dibenarkan pulang. Pada jam 8 malam, doktor dan jururawat boleh memeriksa keadaan pesakit di rumahnya melalui peranti digital. Setiap hari, jururawat boleh membuat pemeriksaan dengan melihat data pesakit (yang dihantar melalui peranti pemantauan di rumah) dan melaporkannya kepada doktor. Pesakit mungkin langsung tidak perlu balik ke hospital lagi.

“Keupayaan sebegini akan memudahkan kehidupan pesakit,” kata Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar. “Anda boleh memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan dan lebih cekap. Malah anda mempunyai potensi untuk mengurangkan kos penjagaan kesihatan,” tambah beliau.

Inovasi kesihatan, pembangunan teknologi dan cara ia disepadukan mampu membantu seseorang individu dan keluarga mencapai potensi mereka dalam kesihatan serta mengekalkan kesejahteraan hidup selain membantu mereka membuat pilihan yang baik berkaitan kesihatan. Menurut Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar, apa yang kita perlukan ialah pelaburan yang besar dalam penyelidikan berasaskan bukti, lebih banyak kajian makmal, klinikal dan lapangan, serta komitmen daripada pelbagai pihak yang berkepentingan.

Impian masa hadapan? Tan Sri Dato’ Dr Abu Bakar menjawab: “Untuk menyediakan penjagaan yang dikhususkan, disesuaikan dan difokuskan kepada pesakit, dipacu oleh ketepatan kesihatan dan perubatan. Inilah impian masa depan kami.”

© 2023 BlackButterfly DesignArts