You are currently viewing Kesan Mendesak Bagi Usahawan IKS dan Pekerja Gaji Hari

Kesan Mendesak Bagi Usahawan IKS dan Pekerja Gaji Hari

  • Post category:Nasihat

Penulis: Azad Jasmi

Situasi semasa ini jelas memberikan kesan langsung kepada peniaga dan usahawan kecil dan sederhana. Kesan juga terasa bagi syarikat besar seperti GLC dan MNC namun keutuhan sumber kewangan masih mampu melayarkan operasi mereka.

Namun bagi peniaga dan usahawan yang bergantung kepada pendapatan harian dan bulanan, ini menzahirkan satu kesan mendesak yang seterusnya akan memberikan kesan psikologi kepada mereka dan keluarga.

Bagi pekerja yang mengharapkan gaji hari demi membawa sesuap nasi untuk keluarga mereka serta kini ada yang ditawarkan cuti tanpa gaji serta ada juga yang hilang pekerjaan ekoran wabak ini.

Kita tidak ingin menyalahkan keadaan atau kerajaan namun penulisan kecil ini berharap agar satu stimulus bagi membolehkan mereka ada wang untuk bawa pulang makanan di rumah.

Mereka ini tiada elaun makanan, elaun keraian, elaun itu dan ini seperti pada Menteri dan Timbalan Menteri dan manta untuk merasakan “Denyut Nadi Rakyat” yang sering dinyatakan oleh kerajaan dahulu dan kini, wajar diterjemahkan dengan jelas dan aktif.

Bagi pihak pemimpin dan juga penjawat awam serta pekerja syarikat GLC,  perlaksanaan Kawalan Pergerakan ini mungkin tiada menjejaskan sebarang pendapatan bulanan namun bagi ramai usahawan dan pekerja makan gaji hari, ini merupakan satu tsunami ekonomi kereta tiada susu anak, atau makanan yang dapat dibawa pulang kepada keluarga. 

Ini hal realiti. Ini fakta. Ini bukan rekaan telenovela.

Ini bermaksud, bukan sahaja gejala penyakit tetapi faktor ekonomi turut memberi kesan kepada masyarakat dan individu secara psikologi sehinga menimbulkan gangguan dalam kehidupan seharian.

Antara impak psikologi yang dikenal pasti termasuklah gejala kemurungan, gemuruh dan stres.

Kita ambil contoh yang paling mudah, disebabkan oleh kebimbangan terhadap ancaman wabak ini, ramai yang membuat pembelian panik (panic buying) serta mengumpul barangan seperti topeng muka dan pencuci tangan sehingga ia sukar didapati di pasaran.

Ramai yang berkongsi imej serta video rak pasar raya yang kosong serta perebutan dalam membeli barangan keperluan di media sosial.

Terlihat betapa kebimbangan tersebut telah mendorong pelbagai jenis tingkah laku yang tidak sepatutnya.

Selain dari itu, ada juga yang mula mengalami gejala gemuruh seperti berasa cemas, sukar tidur dan berasakan bahawa kesihatan mereka juga telah terjejas.

Perlu diingatkan bahawa mereka yang mempunyai masalah penyakit mental sedia ada mungkin lebih mudah terkesan berbanding individu biasa.

Jangkaan saya, perkaran ini akan berlanjutan melebihi 14 hari dan dengan keadaan anak bersekolah dan keperluan hidup maka, ingin saya ingin mencadangkan agar:-

*1. Ada Tabung Bencana Ekonomi bagi golongan B40 dan Asnaf*

*2. Gunakan Wang Zakat bagi yang memerlukan dan permudahkan proses dengan tidak ada birokrasi dengan pelbagai kelulusan*

*3. Pemotongan Sebahagian Gaji Menteri dan Timbalan Menteri untuk Tabung Denyut Nadi Rakyat*

*4. Perlu Ada Pakej Stimulus Ekonomi Bukan Untuk Syarikat Export dan Besar Tapi Untuk Golongan IKS*

*5. Pengeluaran Wang Bencana KWSP Kepada Rakyat*

*6. Pengurangan Cukai Pendapatan IkS dan Individu*

*7.  Pemberian Sumbangan Sara Hidup Ke Akaun Golongan Asnaf dan E-Kasih *

Saya yakin pihak berkuasa dan cerdik pandai mempunyai cadangan dan pandangan yang lebih baik dan bernas.

Namun sebagai rakyat, saya terpanggil untuk berikan pandangan kerana belum ada sebarang Perutusan dan Pengumuman perihal hal ini kepada rakyat.

Yang baik dari Allah. Semoga Allah merahmati semua dan diberikan kekuatan fizikal, mental dan kewangan bagi menghadapi isu yang semakin kronik ini.  InsyAllah.

Photo by Helloquence on Unsplash