Kes perniagaan untuk pelaburan dalam pembangunan belia dan STEM

Wabak COVID-19 telah mengajar kita betapa pentingnya Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) dalam kehidupan pada zaman ini. Dari pembangunan vaksin COVID-19 ke pengenalan teknologi-teknologi baharu, STEM telah membantu kita mengatasi pelbagai cabaran yang ditimbulkan wabak ini.

Dan nampaknya kebanyakan kita turut bersetuju. Menurut kajian yang dijalankan mengenai persepsi sains di peringkat global oleh 3M, dinamakan State of Science Index 2021, hampir kesemua individu di Asia Pasifik (APAC) yang ditinjau bersetuju bahawa dunia ini memerlukan lebih ramai individu untuk menceburi diri dalam bidang STEM (91% berbanding 90% secara global).

Untuk menyahut seruan ini, badan-badan kerajaan dan NGO di seluruh dunia telah  menyediakan bahan-bahan pendidikan dan kelas dalam talian secara percuma bagi para pelajar yang terkesan dengan wabak COVID-19. Contohnya pada awal tahun ini, Kementerian Pendidikan Malaysia telah melancarkan saluran TV pendidikan, DidikTV, untuk menawarkan akses ke atas aneka program didik hibur yang berkualiti mengikut kurikulum dan kokurikulum kementerian bagi para pelajar di seluruh negara.[1]

Selain meningkatkan kualiti kehidupan, dari sudut perniagaan, terdapat alasan yang kukuh untuk membangunkan generasi pemikir, pemimpin, dan pencipta yang seterusnya. Di samping pelaburan R&D yang lebih efektif dan pengeluaran produk-produk inovasi berciri disruptif, terdapat banyak lagi faedah yang dapat diperoleh oleh entiti-entiti perniagaan.

Memperkukuhkan saluran bakat STEM

Pertama sekali, dengan membangunkan keupayaan para belia, kita dapat memperkukuhkan bekalan bakat pekerja berkemahiran yang amat diperlukan untuk meningkatkan produktiviti, inovasi, dan kebolehan daya saing.  

Namun, sejak kebelakangan ini, pelbagai negara menghadapi kekurangan bakat STEM dan ia membentangkan cabaran bagi perniagaan, khususnya yang beroperasi dalam bidang STEM.

Laporan tahun 2019 yang dikeluarkan oleh Organisasi Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) telah menunjukkan bahawa pasaran pekerjaan di Malaysia mengalami isu kekurangan pekerja berkemahiran tinggi sebanyak 34%. Sekiranya bakat STEM terus menurun, kita tidak akan dapat bersaing di pasaran global.[2]

Selain itu, pada tahun 2018, Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia (MESTECC) telah mendapati bahawa hanya 44% pelajar sekolah memilih aliran STEM berbanding 48% pada tahun 2012.[3]

Mujurnya, arus ini dilihat sedang berubah. Kajian 3M yang sama turut mendapati bahawa dua daripada tiga individu di APAC lebih berinspirasi untuk menceburi diri dalam kerjaya STEM (66% berbanding 60% secara global). 63% di rantau ini juga percaya bahawa ketika pandemik, para saintis dan kakitangan perubatan profesional menjadi sumber inspirasi bagi generasi baharu untuk menceburkan diri dalam kerjaya berasaskan sains pada masa akan datang (berbanding 62% secara global). 

Perusahaan perlu memanfaatkan populariti STEM yang semakin meningkat dan bertindak sekarang untuk mendorong lebih ramai belia melanjutkan pendidikan dan kerjaya dalam bidang ini. 

Membawa perspektif baharu dan mencabar batasan

Kedua, dengan membangunkan golongan belia, perniagaan dapat memanfaatkan kepintaran dan keinovasian mereka. Tidak dapat dinafikan, pemimpin yang berpengalaman mempunyai formula yang terbukti dalam industri mereka, namun perspektif yang baharu diperlukan dari semasa ke semasa. Golongan belia ini mengendong idea-idea baharu dan bersedia untuk mencabar batasan.

Trend ini turut dibelakangi oleh kajian neurosains. Penyelidikan telah menunjukkan bahawa korteks prefrontal otak kita menyelaras keupayaan untuk membuat perancangan dan keputusan serta belum matang sehingga usia kita mencecah kira-kira 25 tahun. Justeru, golongan belia sanggup mengambil risiko tinggi, lantas mereka dapat menimba ilmu dengan lebih baik, memperoleh kemahiran dengan lebih cepat dan lebih bersifat kreatif.[4]

Atas sebab ini, terdapat banyak perusahaan yang sedang melancarkan program penyegeraan dan inkubator, dan tantangan kes yang disasarkan kepada golongan belia.

Memperkayakan erti pekerjaan

Pekerja hari ini semakin mementingkan kerjaya yang bermakna. Sebuah kajian global yang dijalankan pada tahun 2019 mendapati erti dan tujuan merupakan aspek pekerjaan yang paling penting bagi para pekerja. Mereka yang melihat pekerjaan sebagai sebuah usaha yang bermakna juga empat kali ganda lebih cenderung untuk menunjukkan penghargaan terhadap sektor pekerjaan mereka.[5]

Ketika merungkai tentang implikasi kerja yang bermakna bagi para pekerja di Asia, para penyelidik juga mendapati bahawa ia bukan sahaja memberi impak positif kepada produktiviti dan prestasi, malah ia turut menggalakkan kesetiaan pekerja.[6]

Dengan mentakrifkan matlamat mereka dengan lebih jelas, syarikat dapat menarik minat lebih ramai belia terhadap saluran mereka.

Program pembangunan belia

Terdapat faktor yang jelas bagi syarikat STEM untuk menyokong aspek pembangunan belia. Namun bagaimanakah mereka dapat memberikan sokongan ini?

Penemuan daripada 3M State of Science Index membayangkan jawapannya. Antara mereka yang percaya bahawa syarikat sewajarnya mengambil bahagian dalam menyokong pendidikan STEM, tindakan paling utama yang mereka mahu syarikat ini lakukan ialah menyediakan sumber bagi kanak-kanak untuk melibatkan diri dalam sains pada peringkat umur yang awal (46% berbanding 44% secara global); melabur untuk menarik minat kanak-kanak untuk mencintai sains (42% berbanding 39% secara global); menyediakan geran/biasiswa untuk pelajar yang kurang diberi perhatian (41% berbanding 43% secara global); dan menghoskan program seperti latihan industri, kem, dan bengkel untuk membantu pelajar menceburkan diri dalam bidang STEM (40% berbanding 43% secara global).

3M mengambil berat tentang penemuan ini. Di peringkat global, kami telah menetapkan pelbagai matlamat baharu ke arah pembangunan belia. Kami berhasrat untuk mencipta lima juta pengalaman pembelajaran STEM dan Kemahiran yang unik buat individu yang kurang mendapat perhatian menjelang akhir tahun 2025.

Di Singapura, Thailand, Vietnam, Indonesia, Malaysia, dan Filipina, kami telah melancarkan 3M Inspire Challenge, iaitu sebuah pertandingan peringkat serantau yang bertujuan untuk menyeru para mahasiswa mempersembahkan idea terbaik mereka dalam perihal Teknologi, Kelestarian, dan Inovasi.

Program ini hanya merupakan sebahagian daripada inisiatif kami yang lebih besar. Tuntasnya, sebagai syarikat yang berpaksikan sains, kami mempunyai peranan penting dalam membangunkan generasi masa hadapan. Kami ingin menggiatkan usaha ini dan berharap lebih banyak syarikat akan turut menyertai kami.


[1] PM Muhyiddin launches education TV channel, DidikTV KPM

[2] Don’t kill interest in the sciences

[3] Ministry: Waning STEM student numbers concerning

[4] What teenage brains can teach us about thinking creatively

[5] Employees value ‘meaningful work’ ahead of perks  

[6] Outcomes of Meaningful Work with a Focus on Asia: A Systematic Review

Scroll to Top