Kepentingan Menguruskan Obesiti Demi Kesihatan Ginjal

Prof Dr Wong Hin Seng, Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Pemindahan Buah Pinggang, Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway

Kepentingan Menguruskan Obesiti Demi Kesihatan Ginjal

Makanan diibaratkan nadi kehidupan di Malaysia, daripada nasi lemak hingga teh tarik lewat malam. Walau bagaimanapun, krisis kesihatan semakin membelenggu budaya pemakanan ini. Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2023[i] melaporkan bahawa sebanyak 54.4 peratus rakyat Malaysia mengalami berat badan berlebihan atau obes, dengan lebih 2 juta terjejas dengan penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan hipertensi.

Kajian menunjukkan bahawa obesiti meningkatkan risiko mendapat eGFR rendah dan albuminuria, yang merupakan ciri penyakit buah pinggang kronik[ii]. Menurut Pendaftaran Dialisis dan Transplan Malaysia 2023[iii], 56 peratus daripada kes dialisis baharu di Malaysia berpunca daripada diabetes, diikuti oleh hipertensi sebanyak 30 peratus, sekali gus membangkitkan kebimbangan kesihatan mengenai penyakit buah pinggang.

Prof Dr Wong Hin Seng, Pakar Perunding Nefrologi dan Pakar Perubatan Pemindahan Buah Pinggang di Pusat Perubatan Sunway, Bandar Sunway (SMC) memberi amaran bahawa obesiti bukan sahaja boleh mengundang diabetes atau tekanan darah tinggi, malah ia juga berisiko merosakkan buah pinggang seseorang walaupun tanpa kedua-dua penyakit tersebut. “Buah pinggang umpama penapis semula jadi badan yang dapat membuang sisa dan cecair berlebihan, mengawal tekanan darah, dan mengimbangi elektrolit untuk memastikan semuanya berjalan lancar. Bagaimanapun, organ yang banyak bekerja keras ini boleh terjejas akibat berat badan berlebihan,” jelasnya.

Obesiti membahayakan buah pinggang, undang kerosakan kekal

Risiko obesiti bukan sekadar diabetes dan hipertensi. Ia mampu merosakkan buah pinggang dengan senyap, dan memberi kesan yang teruk. Prof Dr Wong menjelaskan bahawa obesiti boleh membebankan buah pinggang akibat keradangan kronik, tekanan oksidatif, peningkatan tekanan darah, dan penolakan insulin. Kesan ini boleh menyebabkan kebocoran protein dalam air kencing yang menjadi tanda awal kerosakan buah pinggang.

“Obesiti boleh meningkatkan risiko penyakit buah pinggang kronik (CKD) dan mempercepatkanproses kegagalan fungsinya. Apabila buah pinggang menerima tekanan yang berterusan, risiko berlaku kegagalan adalah lebih cepat,” tegas Prof Dr Wong.

Bagi mereka yang bergelut dengan obesiti, penyakit buah pinggang mungkin tidak dapat dikesan di peringkat awal. “Apabila gejala ini muncul, misalnya bengkak atau keletihan, biasanya sudah terlambat untuk memperbaiki kerosakan,” jelas Prof Dr Wong.

Risiko golongan muda di Malaysia: Kerosakan buah pinggang awal

Semakin ramai golongan muda di Malaysia mengalami kerosakan buah pinggang yang berkait dengan obesiti. Kajian NHMS 2023 juga menunjukkan bahawa 84 peratus orang dewasa berumur 18 hingga 24 tahun tidak mengetahui bahawa mereka menghidap diabetes. “Jika anda gemuk sejak zaman kanak-kanak atau semasa usia remaja, kesan negatif obesiti kepada buah pinggang boleh bermula sejak itu dan anda mungkin akan mengalami penyakit buah pinggang kronik apabila berumur lingkungan 30-an hingga 40-an,” kata Prof Dr. Wong. Penyakit buah pinggang yang bermula sejak awal ini berisiko menjejaskan tahun-tahun paling produktif dalam kehidupan dan memberi tekanan yang ketara kepada keluarga, sistem penjagaan kesihatan dan negara. Namun, dua daripada lima orang dewasa berumur 18 hingga 24 tahun tidak  menjalani pemeriksaan kesihatan dalam tempoh 12 bulan terdahulu[iv].

CKD lanjutan (peringkat 4 dan peringkat 5) juga sering membawa kepada komplikasi seperti aktiviti fizikal yang terhad, menjejaskan kesihatan mental seseorang, dan mengurangkan kualiti hidup. “Hidup dengan buah pinggang yang rosak adalah cabaran harian. Ia bukan hanya untuk kelangsungan hidup, tetapi juga mengenai kehilangan upaya untuk menikmati kehidupan sepenuhnya,” jelas Prof Dr Wong.

Tabiat tidak sihat suburkan obesiti

Peningkatan kadar obesiti yang membimbangkan di Malaysia boleh dilihat pada perubahan besar dalam tabiat pemakanan dan pilihan gaya hidup hari ini. Diet tradisional yang kaya dengan serat dan bahan-bahan berkhasiat telah digantikan dengan makanan yang diproses dan minuman manis. Perubahan ini juga selari dengan aktiviti fizikal yang berkurangan, kerana ramai kanak-kanak dan orang dewasa kini mengamalkan gaya hidup yang tidak aktif. Imbas Prof Dr Wong, “Kanak-kanak dahulu banyak bermain di luar seperti bola sepak, berbasikal, berlari-lari. Namun kini, penggunaan skrin lebih menguasai hidup mereka. Golongan dewasa juga kurang aktif dan menghabiskan masa berjam-jam di hadapan komputer atau TV.”

Selain itu, budaya makan tidak mengira masa di Malaysia juga merupakan faktor penyumbang kepada isu ini. “Makanan boleh didapati setiap masa di sini. Jika terasa untuk makan pada tengah malam, anda boleh mendapatkan makanan dengan mudah. Golongan muda yang bekerja dalam tempoh yang panjang pula lebih memilih cara mudah mendapatkan makanan berbanding nutrisi,” kata Prof Dr Wong.

Cegah obesiti dan kerosakan buah pinggang

Tindakan awal terhadap obesiti boleh membantu mencegah penyakit buah pinggang dengan lebih awal dan lebih baik. Ujar beliau, “Tabiat pemakanan dan gaya hidup yang sihat perlu bermula lebih awal. Keluarga perlu memberi tumpuan kepada diet seimbang dan menggalakkan anak-anak untuk kekal aktif sejak usia muda. “Bagi golongan yang sudah mengalami obesiti, perubahan kecil dan konsisten boleh melindungi kesihatan buah pinggang mereka. Tukar makanan yang diproses dengan pilihan yang kaya dengan serat, kurangkan gula dan kekal aktif adalah penting.

Prof Dr Wong juga menekankan, “Mengurangkan gula bukanlah penyelesaian yang boleh berlaku dalam sekelip mata. Selera anda perlu mengambil masa untuk diselaraskan, tetapi lama kelamaan anda akan kurang mengidam rasa manis tersebut.”

Hubung kait antara obesiti dengan diabetes dan hipertensi memang diketahui umum, namun tidak kesannya terhadap aspek kesihatan buah pinggang yang lain. Obesiti telah dikaitkan dengan peningkatan risiko batu karang dan peningkatan risiko mendapat pelbagai jenis kanser termasuk kanser buah pinggang. Oleh itu, pemeriksaan kesihatan yang kerap adalah penting, kerana fungsi buah pinggang dan ujian protein air kencing dapat mengesan masalah dengan lebih awal, terutama bagi mereka yang mempunyai berat badan berlebihan atau diabetes. Dengan menangani obesiti dan mengutamakan kesihatan buah pinggang, Prof Dr Wong percaya bahawa rakyat Malaysia boleh membina masa depan yang lebih baik dan sihat.

“Obesiti bukan hanya mengenai berat badan, malahan ia juga boleh mendatangkan kemudaratan kepada organ anda, terutamanya buah pinggang. Buah pinggang anda berfungsi selama 24 jam setiap hari, dan sudah tiba masanya untuk kita memberi penjagaan dan perhatian yang sewajarnya kepada mereka,” simpulnya.

Ditubuhkan pada 1999, SMC merupakan hospital kuaternari terbesar di Malaysia dengan lebih 60 kepakaran perubatan merangkumi 28 Pusat Kecemerlangan, termasuk Pusat Renal dan Dialisis serta Pusat Penjagaan Diabetes. Dengan kapasiti 810 katil berlesen kini, SMC merancang untuk menambah kepada kira-kira 1,104 katil selepas blok keenamnya, Menara F, siap pada suku ketiga 2026.

SMC ialah satu-satunya hospital swasta di Malaysia dengan tiga akreditasi antarabangsa utama iaitu Gold Seal of Approval, Suruhanjaya Bersama Antarabangsa (JCI) dari Amerika Syarikat; Majlis Piawaian Penjagaan Kesihatan Australia (ACHS), dan Persatuan Kualiti Kesihatan Malaysia (MSQH), sekali gus membuktikan komitmen SMC terhadap kecemerlangan.


[i] Institute for Public Health 2024. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023:

Non-communicable Diseases and Healthcare Demand – Key Finding key-findings-nhms-2023.pdf

[ii]  Garofalo, C., Borrelli, S., Minutolo, R., Chiodini, P., De Nicola, L., & Conte, G. (2017). A systematic review and meta-analysis suggests obesity predicts onset of chronic kidney disease in the general population. Kidney international, 91 5, 1224-1235 . https://doi.org/10.1016/j.kint.2016.12.013.

[iii] Ong Loke Meng, Sunita Bavanandan, Hooi Lai Seong, Choo Cheh Loo. “Dialysis in Malaysia.” 31st Report of the Malaysian Dialysis and Transplant Registry 2023.FinalChapter-2_HooiChoo-Najdah-Jasmine-v2_ong28-Oct-2024_v4.pdf

[iv] Institute for Public Health 2024. National Health and Morbidity Survey (NHMS) 2023:

Non-communicable Diseases and Healthcare Demand – Key Finding key-findings-nhms-2023.pdf

© 2024 BlackButterfly DesignArts