Kepada Para Lelaki, Jangan Takut Untuk Menyuarakan Kebimbingan Anda Ketika Merasa ‘Down’

Doktor Pakar daripada SMCV menyokong lebih ramai lelaki untuk bersuara tentang masalah kesihatan mental dan fizikal mereka kerana ianya mampu menyelamatkan nyawa

Kuala Lumpur, 3 November 2022 – Kesihatan fizikal sememangnya penting namun kesihatan mental dan emosi turut tidak boleh diabaikan kerana ia turut menyumbang kepada kesejahteraan seseorang secara menyeluruh. Bersempena dengan bulan kesedaran kesihatan lelaki pada bulan November ini, Pusat Perubatan Sunway Velocity (SMCV) menyeru para lelaki untuk mengutamakan kesihatan mereka tanpa mengira betapa mencabarnya untuk berbuat sedemikian.

Sebuah laporan daripada Frontiers in Psychiatry[1] mendedahkan bahawa kadar bunuh diri lelaki telah meningkat secara ketara di antara tahun 2014 dan 2019. Angka tersebut menunjukkan terdapat purata 5.8 bagi setiap 100,000 penduduk – yang dianggarkan sebanyak 1,841 kematian akibat bunuh diri berlaku setiap tahun dengan lima kematian setiap hari, menjadikan ia perkara yang membimbangkan dan perlu diambil serius.

Kebanyakan lelaki sukar berkongsi masalah berkaitan kesihatan fizikal dan mental kerana mereka selalunya adalah pencari nafkah untuk keluarga mereka. Ini boleh menyebabkan mereka mengabaikan sebarang penyakit yang dialami dan seterusnya menyebabkan tahap kesihatan mereka semakin merudum.

Dr Celine Chan Tze Lin, Pakar Perunding Psikiatri daripada SMCV berkongsi bahawa lelaki yang tidak boleh bercakap tentang emosi mereka secara terbuka mungkin mengalami kesukaran untuk mengenal pasti simptom masalah kesihatan mental. Justeru, mereka kurang berkemungkinan untuk mendapatkan sokongan serta memerlukan bantuan orang lain yang rapat dengan mereka untuk mengesan tanda-tandanya.

“Antara petanda ahli keluarga atau rakan anda mungkin mengalami penyakit mental dan mungkin memerlukan bantuan anda ialah selalu berasa sedih, cemas, bimbang, cepat marah, mengalami masalah tidur, tidak lagi berminat dengan hobi mereka serta tidak berminat dengan perkara lain. Apabila perasan-perasaan ini menjadi semakin kuat, berlarutan untuk tempoh yang lama serta mula menganggu prestasi kerja dan hubungan, ia mungkin petanda masalah kesihatan mental,” kongsinya.

Dr Celine menambah bahawa mempunyai sistem sokongan yang kuat untuk lelaki mahupun untuk mana-mana pesakit lain mempunyai banyak faedah positif, termasuklah kemahiran kawalan diri atau ‘coping skills’ yang lebih baik, mengurangkan kemurungan serta kebimbangan dan tekanan.

“Tanpa sistem sokongan yang kuat, terdapat kemungkinan untuk para lelaki menggunakan kaedah kawalan diri yang tidak sihat serta tidak bercakap tentang kesihatan mental mereka kepada ahli keluarga atau kawan-kawan. Satu cara untuk meyakinkan lebih ramai lelaki untuk mendapatkan bantuan ialah melalui cara membuatkan mereka faham bahawa tidak menjadi masalah untuk mereka mendapatkan bantuan serta bercakap dengan seseorang yang dipercayai dan mengambil berat tentang mereka untuk menghilangkan tekanan yang dialami, ” katanya.

Mengenal pasti pembunuh senyap di kalangan lelaki

Selain daripada membincangkan isu kesihatan mental, menjalankan pemeriksaan diri dan mendapatkan rawatan untuk penyakit seperti kanser boleh membawa kepada hasil rawatan yang lebih baik. Dato’ Dr Selvalingam Sothilingam, Pakar Perunding Urologi menerangkan bahawa pembunuh senyap, yang merujuk kepada kanser yang wujud dan menyebabkan simptom minimum seperti kanser prostat dan kanser testis boleh disembuhkan jika dapat dikesan lebih awal.

“Kanser prostat sering dikelirukan dengan hyperplasia prostat benigna (BPH) yang merupakan sejenis keadaan beningna prostat atau bengkak prostat yang selalunya berlaku di kalangan lelaki yang lebih berusia serta lebih banyak berlaku daripada kes kanser. Kanser testis pula boleh bermula daripada sebuah ketulan kecil di testis dan lebih mudah dikesan tetapi hanya jika seseorang lelaki itu selalu melakukan pemeriksaan testis kendiri secara berkala,” terang Dato’ Dr Selvalingam.

Kedua-dua kanser ini boleh wujud tanpa sebarang simptom namun terdapat beberapa perkara yang perlu diambil kira sebagai faktor risikonya seperti lelaki yang mempunyai sejarah keluarga yang menghidap kanser prostat atau payudara, atau lelaki berumur 50 tahun ke atas terutamanya mereka yang mengalami lower urinary tract symptoms – di mana mereka boleh mendapatkan rundingan doktor dan mempertimbangkan untuk melakukan ujian darah penanda tumor ‘Prostate Specific Antigen’ (PSA).

Bagi kanser testis, antara faktor risikonya ialah mereka yang mempunyai jumlah sperma yang sedikit dengan masalah kesuburan, lelaki yang mempunyai sejarah masalah testis tidak turun atau ‘undescended testis’ serta masalah genetik tertentu. Pemeriksaan testis kendiri adalah cara yang baik untuk mengesan sebarang kekerasan atau ketulan pada testis.

“Rawatan kanser prostat awal kini selamat dan kurang rumit dengan evolusi pembedahan robotik dan kemajuan teknologi dalam radioterapi prostat, menjadikan ia pilihan rawatan yang selalunya memberikan hasil yang baik dengan kesan sampingan yang minimal.

“Untuk kanser testis, rawatan utamanya ialah melalui pembedahan membuang testis, namun pesakit masih akan mempunyai testis kontralateral yang akan terus menghasilkan hormon lelaki, testosteron dan juga sperma.” Pilihan untuk melakukan perbankan sperma sebelum menjalani pembedahan juga disediakan kepada pesakit yang belum berkahwin atau ingin menambah cahaya mata. Kanser testis tahap awal boleh dirawat dan tidak memerlukan kos yang tinggi berbanding kes kanser testis yang sudah teruk,” tekan Dato’ Dr Selvalingam.

Bantuan disediakan

Ia boleh menjadi satu tempoh yang mencabar ketika menerima diagnosis kanser, dan Dato’ Dr Selvalingam berkongsi bahawa pesakit boleh mendapatkan bantuan kaunseling untuk membantu mereka melalui tempoh ini. “Terdapat NGO seperti Persatuan Kanser Prostat Malaysia (PCSM) yang terdiri daripada bekas pesakit kanser yang telah pulih dan boleh memberikan kata-kata nasihat dan semangat kepada pesakit baru kerana mereka pernah berada di tempat yang sama. PCSM juga menyediakan kumpulan sokongan di pelbagai hospital untuk membantu mengurangkan kebimbingan para pesakit yang baru didiagnosis dengan kanser prostat.”

Dr Celine Chan bersetuju dan menambah bahawa hospital menyediakan sokongan kesihatan mental di jabatan terapi khusus termasuk menyediakan pakar psikiatri, pakar psikologi klinikal dan kaunselor klinikal yang akan membantu pesakit sepanjang tempoh rawatan mereka untuk pulih.  “Lelaki yang menghidap kanser seperti ini akan sering berasa sedih kerana mereka mengalami masalah kesihatan yang berkaitan dengan sistem pembiakan. Oleh itu, sokongan psikososial daripada orang yang disayangi, rakan sebaya, dan pasukan penjagaan kesihatan, di samping pemeriksaan kesihatan secara berkala dan amalan gaya hidup sihat seperti kerap bersenam telah menunjukkan kepada pengurangan masalah kesihatan mental yang drastik. Justeru, kita harus memberi penekanan kepada hal ini.”

Pusat Perubatan Sunway Velocity terletak di Lingkaran SV, Sunway Velocity. Sebarang maklumat, sila hubungi +603 9772 9191 atau email kami di [email protected]. Untuk maklumat lebih lanjut berkenaan dengan Sunway Medical Centre Velocity, sila layari www.sunmedvelocity.com.my (Facebook: Sunway Medical Velocity).


[1] https://www.ncbi.nlm.nih.gov/pmc/articles/PMC8766712/

© 2023 BlackButterfly DesignArts