Kuala Lumpur, 7 Oktober 2022 – Sebagai penghimpun, pengkolaborasi dan pemangkin perubahan sosial, Yayasan Hasanah mengalu-alukan belanjawan kerajaan yang menekankan keperluan rakyat, di mana ia mempertingkatkan keselamatan sosial untuk golongan rentan, bantuan kos sara hidup yang disasarkan, bantuan bencana, kelangsungan makanan, kesihatan mental, penggalakan pertumbuhan hijau, serta pembangunan mampan dan inklusif.
Peruntukan geran padanan sebanyak RM100 juta pastinya akan memanfaatkan lebih ramai insan yang memerlukan melalui organisasi masyarakat sivil, ke arah memacu impak yang lebih bermakna. Kami mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri, YAB Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dan Menteri Kewangan, YB Senator Tengku Dato’ Sri Zafrul Aziz, serta semua pihak terlibat atas kepercayaan ke atas Yayasan Hasanah dan usaha untuk memahami keperluan sektor sosial pada hari ini.
Berkolaborasi dengan kerajaan melalui Kementerian Kewangan dari 2020 hingga 2022, Yayasan Hasanah telah melaksanakan kerjasama dengan 125 Perusahaan Sosial dan Organisasi Masyarakat Sivil, menjalankan 177 projek di seluruh negara yang telah memberi manfaat kepada lebih 1.2 juta rakyat Malaysia secara langsung dan tidak langsung merentasi semua lapisan masyarakat. Manakala dalam sektor seni, warisan dan budaya, program kami iaitu Seni Sepanjang Musim atau Arts for All Seasons (ArtsFAS) yang sedang berlangsung kini membantu ribuan penggiat seni dengan peluang ekonomi bernilai RM3 juta, memperkasakan aktiviti seni seperti produksi teater, pameran dan persembahan berkumpulan agar warisan budaya dapat dipelihara buat rakyat Malaysia.
Di samping itu, Yayasan Hasanah, selaku urusetia bersama dalam inisiatif GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN), berserta GLIC dan GLC di Malaysia telah responsif dengan mengagihkan sumbangan kolektif:
• RM139.2 juta untuk bantuan banjir sepanjang 2021-2022
• RM140 juta untuk bantuan Covid-19 sepanjang 2020-2021
Yayasan Hasanah juga menyokong teguh matlamat ESG dan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), menyokong reformasi dan Pendekatan Masyarakat Menyeluruh dalam semua projek rakan kongsi kami dan bidang tumpuan geran, iaitu: Pendidikan, Pembangunan Komuniti, Alam Sekitar, Kesenian dan Ruang Awam, dan Pengetahuan.
Menjelang tahun 2023, kami bersiap siaga untuk berganding bahu dengan kerajaan dalam lebih banyak kerjasama public-private-people atau awam-swasta-rakyat yang akan memaksimumkan skala dan impak, sekaligus memberi manfaat kepada komuniti yang paling rentan dalam Keluarga Malaysia. Apa yang mencorak masa hadapan adalah “daya kita bersama” dan kerjasama pelbagai pihak adalah faktor yang kritikal ke arah pembangunan inklusif. Melalui program peningkatan mata pencarian, penciptaan pekerjaan hijau, pengkukuhan keselamatan sosial, mahupun akses untuk penjagaan kesihatan awam, Yayasan Hasanah akan terus memperjuangkan advokasi dan kerjasama kolektif dengan menggabungkan pemacu impak dalam ekosistem sosial agar dapat kita mencapai agenda bersama #kitasemua.