Tinjauan Menunjukkan 98% Peningkatan Keyakinan Diri Selepas Bengkel
Kuala Lumpur, 25 Oktober 2022 – Amorepacific Malaysia, yang memiliki jenama kosmetik popular seperti Laneige, Sulwhasoo, Innisfree, Ryo dan Mise En Scene, bekerjasama dengan Pusat Perubatan Subang Jaya (SJMC) dalam mendekati 130 pesakit kanser dan bekas pesakit kanser untuk program ‘makeup your Life’, baru-baru ini.
Melalui program ini, Amorepacific Malaysia telah mengadakan beberapa sesi tunjuk ajar solekan dan penjagaan kulit untuk membantu pesakit kanser dan bekas pesakit kanser mencantikkan diri dan membangkit semula keyakinan diri sepanjang mereka menangani perubahan penampilan fizikal akibat rawatan kanser.
Tinjauan yang dijalankan dalam kalangan peserta bengkel ‘makeup your Life’ menunjukkan 98% mereka mengalami peningkatan keyakinan diri selepas bengkel.
Menurut Margaret Chin, Pengurus Negara Amorepacific Malaysia, perubahan fizikal akibat rawatan kanser termasuk kulit kering dan kusam serta rambut gugur boleh menjejaskan keyakinan diri dan emosi seseorang. Justeru, mencantikkan diri ketika fasa rawatan ini membantu meningkatkan emosi dan juga keyakinan diri.
“Kami amat gembira dapat berkongsi panduan dan kaedah kecantikan dengan pesakit kanser dan bekas pesakit kanser yang akan membantu mengubah serta mencantikkan mereka ketika menempuh kehidupan mencabar ini. Kami berharap dapat menjangkau lebih ramai pesakit kanser dan meneruskan misi kami untuk membantu meningkatkan kualiti hidup mereka melalui program ‘makeup your Life’,” kata Chin.
Selain daripada penyertaan di bengkel tersebut, Amorepacific Malaysia juga menyampaikan satu set penjagaan kulit, produk solekan dan penjagaan rambut kepada pesakit kanser dan bekas pesakit kanser untuk penjagaan diri di rumah.
Bryan Lin, Ketua Pegawai Eksekutif SJMC menyatakan terima kasihnya terhadap inisiatif dan kerjasama dengan Amorepacific Malaysia.
“Ia begitu menyentuh hati apabila melihat semua pesakit kami berseri-seri dan berasa gembira pada penghujung setiap bengkel. Mereka telah menikmati program ini dan saya percaya ia memberi mereka perasaan diperkasakan,” kata Lin.
“Tinjauan yang dijalankan mendapati, 98% daripada peserta berpuas hati dengan program. Ini meninggalkan kesan yang bermakna dalam perjalanan pesakit kanser kerana setiap hari adalah penting. Kami menantikan kerjasama jangka panjang dengan Amorepacific dan berharap lebih ramai pesakit kanser SJMC boleh mendapat manfaat daripada program ini,” tambah Lin.
Program ‘makeup your Life’ adalah sebahagian daripada komitmen ‘2030 A MORE Beautiful Promise’ oleh Amorepacific. Syarikat itu melabur KRW100 bilion menjelang 2030 untuk menyokong kebebasan kewangan kumpulan yang terdedah dari segi sosial dan untuk memperkasakan rakyat untuk menjalani kehidupan lebih sihat dan mampan. Dilaksanakan terutamanya di Korea dan China, inisiatif ini bertujuan membantu mengurangkan kadar kematian dan meningkatkan kehidupan pesakit kanser wanita.
Di kedua-dua negara ini, inisiatif ini meliputi pendidikan pencegahan dan langkah saringan untuk membiayai pembedahan untuk wanita yang tergolong dalam kumpulan berpendapatan rendah. Dengan menyertai pergerakan yang diketuai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang dipanggil ‘Every Woman Every Child’, Amorepacific juga melaksanakan tanggungjawabnya sepenuhnya sebagai warga global yang bertanggungjawab, sekali gus menyumbang kepada A MORE Beautiful World.
Program ‘makeup your Life’ telah dijalankan sejak 2008 bermula dengan Korea Selatan dan kemudiannya diperluaskan ke negara lain termasuk China, Hong Kong, Taiwan, Vietnam, Singapura, Thailand dan Malaysia.