Kempen For Your Sweetheart Fokus Kepada Penjaga Pesakit Diabetes Bersempena Hari Kesihatan Sedunia

Petaling Jaya, 14 April 2022 – Manual Pendidikan Diabetes 2020 yang diterbitkan oleh Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia menyatakan, tujuh juta orang dewasa Malaysia berkemungkinan menghidap diabetes menjelang 2025¹, satu trend yang membimbangkan dan bakal menyaksikan sebanyak 31.3% pesakit diabetes dewasa yang berumur dari 18 tahun ke atas. Jumlah ini juga pada masa yang sama akan melibatkan peningkatan bilangan penjaga pesakit diabetes, yang secara amnya terdiri dari ahli keluarga terdekat.

Hari Kesihatan Sedunia tahun ini, kempen For Your Sweetheart  dengan kerjasama Diabetes Malaysia (DM) akan lebih fokus kepada penjaga dan kepentingan mereka untuk menjaga diri, dengan menghasilkan video bertajuk ‘Diabetes Serious Meh’ (tonton video di www.foryoursweetheart.my). Video ini memaparkan pengalaman beberapa pesakit diabetes serta cabaran yang dihadapi oleh penjaga sepanjang bersama pesakit. Kajian menunjukkan bahawa 1 daripada 5 orang dewasa di negara² ini menghidap diabetes, penyakit kronik jangka panjang yang memerlukan penjagaan berpanjangan. Oleh itu, dengan trend peningkatan pesakit diabetes, peningkatan beban penjaga juga tidak seharusnya diabaikan.

Dr. Tan Ming Yeong, Pakar Jururawat Diabetes yang juga seorang pendidik diabetes bertauliah menjelaskan, “Diabetes Mellitus merupakan suatu kondisi seumur hidup. Hidup dengan diabetes serta pengurusan hariannya melibatkan pelbagai cabaran fizikal dan psikologi yang boleh menjejaskan banyak aspek kehidupan penghidap diabetes, keluarga serta penjaga mereka. Permintaan penjagaan meningkat jika penghidap diabetes bergantung sebahagian atau sepenuhnya kepada penjaga, terutama sekali golongan muda, tua atau mereka yang mengalami komplikasi diabetes. Tuntutan ini menyebabkan penjaga terdedah kepada tekanan fizikal dan emosi yang boleh menjejaskan kesihatan dan kualiti hidup mereka.”

Berdasarkan pengalaman dikongsikan dari ramai penjaga, ia merupakan perkara biasa bagi mereka berhadapan dengan tekanan emosi, keletihan fizikal dan juga masalah kesihatan akibat kekurangan masa dan tenaga untuk penjagaan diri; seperti pengurangan aktiviti fizikal dan senaman serta tabiat pemakanan yang tidak sihat. Malangnya, penjaga pesakit diabetes dalam keluarga juga berisiko tinggi untuk menghidap masalah perubatan seperti diabetes dan hipertensi.

Berkongsikan cabaran menjaga pesakit diabetes adalah Cik Shanti, anak kepada Encik Subramaniam, penghidap diabetes berusia 70 tahun yang mengalami komplikasi jantung disebabkan diabetes dan pernah menjalani pembedahan pintasan jantung. “Menjaga ayah saya semasa menghidap diabetes, terutamanya selepas dia menjalani pembedahan pintasan jantung, amat mencabar sekali. Ayah saya benar-benar menderita sewaktu prosedur tersebut dan penjagaan selepas pembedahan juga tidak mudah. Dia bukanlah pesakit yang senang dijaga dan sebagai anak sulung, beban untuk menjaga terletak di atas bahu saya. Menyaksikan penderitaan yang ditanggungnya, tidak dapat saya bayangkan jika saya menghidap diabetes. Oleh itu, saya nekad untuk membuat saringan diabetes setiap tahun dan mendidik diri saya dalam mengenal pasti gejala awal diabetes.”

“Tuntutan penjagaan cukup memenatkan dan membebankan. Kesejahteraan penjaga adalah penting kerana penghidap diabetes yang bergantung sepenuhnya kepada mereka untuk rawatan serta sokongan. Membantu penjaga dalam menguruskan tekanan, mengembalikan keseimbangan, kegembiraan dan harapan mereka dalam kehidupan pasti memberikan kesan kepada kualiti hidup penghidap diabetes dan hasil klinikal. Perkara terbaik yang boleh dilakukan oleh penjaga untuk pesakit yang dijaga mereka adalah dengan memastikan kesejahteraan fizikal dan psikologi mereka sendiri,” tambah Dr. Tan.

Bagi membantu semua rakyat Malaysia, terutamanya penjaga, Kempen Your Sweetheart menjemput semua rakyat Malaysia dan yang tersayang untuk kekal sihat menerusi Saringan Diabetes HbA1c PERCUMA di klinik yang mengambil bahagian di seluruh negara. Inisiatif murni ini adalah bagi mewujudkan kesedaran awam tentang hubung kait diabetes dan penyakit jantung, dan usaha Pemeriksaan Diabetes Percuma ini disokong oleh Boehringer Ingelheim dengan kerjasama Persatuan Endokrin dan Metabolik Malaysia (MEMS), Persatuan Pendidik Diabetes Malaysia (MDES) dan Diabetes Malaysia (DM). Layari www.foryoursweetheart.my untuk mendaftar Saringan Percuma hari ini!

Bak kata pepatah ‘pengalaman adalah guru terbaik’, Encik Ghazali, 67 tahun yang menghidap diabetes selama 17 tahun dan dijaga oleh isterinya, menasihati semua rakyat Malaysia, “Kepada masyarakat di luar disana, terutamanya golongan muda, saya menyeru agar sentiasa mengawal tabiat pemakanan ketika masih muda. Ini kerana apabila anda menghidap diabetes, memang sukar untuk menguruskannya. Tambahan pula, diabetes akan memberi kesan kepada anggota tubuh lain seperti jantung dan buah pinggang. Saya juga mendapat tahu pesakit diabetes adalah empat kali lebih mudah untuk menghidap penyakit jantung3. Oleh itu, jika anda mempunyai ahli keluarga yang merupakan pesakit diabetes, atau anda fikir anda berisiko, sila lakukan ujian kerana pengesanan awal sangat membantu dalam pengurusan diabetes.”

Layari https://www.foryoursweetheart.my untuk mendaftar Saringan Diabetes Percuma hari ini. Saringan Diabetes HbA1C PERCUMA For Your Sweetheart kini berlangsung sehingga 31 Disember 2022.

© 2024 BlackButterfly DesignArts