Kempen Double Down on AIDS Menyokong Ujian HIV Kendiri Di Kalangan Golongan Belia

Kempen Double Down on AIDS Menyokong Ujian HIV Kendiri Di Kalangan Golongan Belia

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2024 – Majlis AIDS Malaysia (MAC) dan OraQuick pada hari ini mengumumkan pelancaran Kempen Double Down on AIDS, satu inisiatif pengumpulan dana strategik yang bertujuan untuk meningkatkan ujian HIV kendiri dalam dari 1 Ogos 2024 sehingga 30 September 2024.

Mekanisme kempen ini adalah mudah: bagi setiap RM 1 yang didermakan kepada kempen Double Down on AIDS, OraQuick akan memadankan sumbangan tersebut, sekaligus menggandakan jumlah sumbangan. Kempen ini dibangunkan bagi menyokong program nasional ujian HIV kendiri Test Now dan menjadikan ujian HIV kendiri lebih mudah diakses dan meluas di kalangan belia Malaysia.

Ujian HIV kendiri adalah komponen kritikal dalam memerangi epidemik HIV, terutamanya di negara seperti Malaysia yang sedang bergelut dengan penularan jangkita Baharu HIV melalui transmisi seksual.

Ujian kendiri menyediakan cara yang mudah, pantas dan bersifat pribadi untuk individu mengetahui status HIV mereka. Pengesanan awal HIV adalah penting untuk rawatan yang berkesan, dan ujian kendiri adalah pemudahcara bagi mencapai matlamat ini. Dengan memberi peluang kepada individu menguji diri mereka pada bila- bila masa, ujian HIV kendiri berupaya merobohkan banyak halangan kepada ujian saringan HIV – seperti keperluan untuk melakukan ujian di klinik, yang sering menjadi penghalang disebabkan stigma, kebimbangan privasi, atau cabaran logistik.

Prof. Madya Dr. Raja Iskandar Shah Raja Azwa, Presiden Majlis AIDS Malaysia, menekankan kepentingan kempen ini dengan menyatakan:

“Peningkatan kadar jangkitan baharu HIV di kalangan belia adalah amat membimbangkan, dan di antara faktor penyumbang yang ketara adalah keengganan untuk menjalani ujian. Keengganan ini berakar pada interaksi kompleks antara halangan sosial, psikologi, dan logistik, yang bersama-sama mencipta halangan yang besar kepada pencegahan dan kawalan HIV yang berkesan.”

“Ramai golongan belia kurang terdedah kepada pendidikan seks sehingga mereka tidak peka kepada keperluan menjalani ujian HIV meskipun telah terdedah kepada risiko HIV. Selain itu, maklumat yang tidak tepat dan mitos mengenai HIV dan AIDS turut membina tanggapan bahawa mereka kebal kepada jangkitan ini.

“Ujian HIV kendiri dapat memberi galakan kepada golongan belia untuk mengambil peduli tentang kesihatan mereka sendiri. Dengan menormalisasi ujian kendiri, kita dapat memupuk populasi belia yang lebih bermaklumat dan proaktif. Demografi ini adalah amat penting kerana pilihan dan tingkah laku kesihatan mereka akan membentuk trajektori masa depan epidemic HIV dan AIDS di Malaysia.”

“Kami sangat berterima kasih di atas sokongan OraQuick dan syarikat induknya, SPD Scientific Sdn Bhd. Kempen ini akan menggandakan impak sumbangan individu serta meningkatkan kualiti kehidupan golongan belia di Malaysia,” tambah Dr. Raja Iskandar.

Ujian kendiri meletakkan kuasa di tangan individu untuk mengambil langkah proaktif bagi melindungi diri mereka daripada risiko HV. Kempen ini juga boleh menyumbang kepada sasaran U = U, iaitu akronim Bahasa Inggeris untuk Undetectable = Untransmittable ). U = U merujuk kepada mercutanda pencapaian klinikal, iaitu suatu tahap di mana kuantiti virus di dalam badan individu yang dijangkiti HIV berjaya diturunkan sehingga mencapai tahap tidak terkesan melalui pengambilan ubat-ubatan antiretroviral (ARV). Individu yang mencapai U = U tidak lagi berisiko untuk menjangkiti individu lain malaupun melalui hubungan seks tanpa perlindungan.

Myra Chung, Ketua Pengarah Eksekutif SPD Scientific Group, yang juga mewakili OraSure Technologies Inc., menyatakan komitmen mereka terhadap inisiatif ini dengan berkata, “Sebagai perintis dalam ujian HIV kendiri, SPD Scientific berbangga untuk menyokong kempen Double Down on AIDS. Dengan memadankan sumbangan, kami bukan sahaja meningkatkan impak setiap sumbangan tetapi juga mengukuhkan kepentingan ujian kendiri dalam mencegah penyebaran HIV. Matlamat kami adalah untuk menggalakkan lebih ramai orang, terutamanya belia, untuk mengambil langkah pertama ke arah mengetahui status mereka dan melindungi kesihatan mereka.”

OraQuick akan memadankan sumbangan ringgit-untuk-ringgit sehingga RM 15,000. Sumbangan yang melebihi RM 100 akan menerima resit pengecualian cukai daripada MAC dan Kit Ujian Kendiri OraQuick HIV percuma, bernilai RM 99.

MAC menyerus semua rakyat Malaysia untuk menyumbang kepada Kempen Double Down on AIDS. Sumbangan boleh dibuat di pautan / kod QR berikut.

https://www.simplygiving.com/event/doubledownforaids

Kempen Double Down on AIDS Menyokong Ujian HIV Kendiri Di Kalangan Golongan Belia
© 2024 BlackButterfly DesignArts