Qsuite menetapkan standard baharu bagi segmen pelancongan mewah dan membawakan Pengalaman Kelas Pertama dalam kabin Kelas Perniagaan
Pengumuman ini menyusuli berita tentang Qatar Airways yang akan melancarkan penerbangan terus tanpa henti ke Langkawi pada tahun ini
KUALA LUMPUR, 8 Mei 2019 – Qatar Airways dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia bakal membawakan pengalaman Kelas Perniagaan Qsuite ke laluan penerbangan Kuala Lumpur bermula 15 Julai 2019 dalam penerbangan QR 844 dan QR 845.
Tempat duduk Kelas Perniagaan yang telah dipatenkan dan serba inovatif dalam pesawat Qatar Airways ini telah menampilkan katil berkembar yang pertama dalam kabin Kelas Perniagaan. Ia juga menawarkan panel privasi yang boleh dialih untuk penumpang mendirikan ruang peribadi mereka sendiri, lantas memudahkan para keluarga, rakan kongsi perniagaan dan kumpulan individu untuk bersosial secara lebih peribadi.
Naib Presiden Kanan Rantau Asia Pasifik bagi Qatar Airways, En. Marwan Koleilat mengulas, “Kami berbesar hati untuk memperkenalkan pengalaman Kelas Perniagaan Qsuite kami kepada para pelancong di Kuala Lumpur. Produk ini akan melakarkan penanda aras yang baharu dalam segmen pelancongan mewah bagi industri penerbangan. Kami percaya bahawa penawaran Qsuite dalam penerbangan Kuala Lumpur akan memperkayakan perjalanan penumpang dari dan ke ibu negara Wilayah Persekutuan ini.
“Penambahan Qsuite ke laluan Kuala Lumpur menekankan komitmen berterusan kami untuk menawarkan kualiti dan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan-pelanggan yang kami hargai. Kami ingin memastikan pengalaman pelancongan mereka bercirikan kemewahan, kecanggihan dan sesuai kepada keperluan unik mereka,” ujar beliau.
Pengumuman ini menyusuli berita yang disiarkan beberapa minggu lepas mengenai destinasi Langkawi yang bakal dimasukkan ke dalam rangkaian laluan global Qatar Airways pada tahun ini.
Syarikat penerbangan tersebut yang pernah menggarap pelbagai anugerah bertaraf antarabangsa telah melancarkan khidmat penerbangan yang pertama ke Malaysia pada Disember 2001, dan kini ia beroperasi tiga kali sehari ke Kuala Lumpur. Ia kemudiannya melancarkan perkhidmatan penerbangan ke destinasi Malaysia yang kedua, Pulau Pinang pada bulan Februari 2018 dan membuat penerbangan ke negeri Mutiara Timur ini empat kali seminggu.
Buat masa ini, Qatar Airways menawarkan khidmat penerbangan yang meliputi lebih daripada 160 buah destinasi di seluruh dunia sambil mengoperasikan 250 pesawat moden melalui habnya, Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad (HIA). Pada bulan Mac 2019, syarikat penerbangan ini telah meraikan ketibaan pesawat ke-250 yang menyertai gerombongan pesawat penumpang, kargo dan eksekutif milik Qatar Airways.
Syarikat penerbangan ini juga telah mengumumkan bahawa ia akan menambah beberapa destinasi baharu yang menarik ke dalam rangkaian laluan ekstensifnya pada tahun 2019/2020, termasuk Izmir, Turki; Rabat, Maghribi; Malta; Langkawi, Malaysia; Davao, Filipina; Lisbon, Portugal dan Mogadishu, Somalia.