Qsuite
menetapkan standard baharu bagi segmen pelancongan mewah dan membawakan
Pengalaman Kelas Pertama dalam kabin Kelas Perniagaan
Pengumuman ini menyusuli berita tentang Qatar Airways yang akan melancarkan penerbangan terus tanpa henti ke Langkawi pada tahun ini
KUALA LUMPUR, 8 Mei 2019 – Qatar Airways dengan sukacitanya mengumumkan bahawa ia bakal membawakan pengalaman Kelas Perniagaan Qsuite ke laluan penerbangan Kuala Lumpur bermula 15 Julai 2019 dalam penerbangan QR 844 dan QR 845.
Tempat duduk Kelas Perniagaan yang telah dipatenkan dan serba inovatif
dalam pesawat Qatar Airways ini telah menampilkan katil berkembar yang pertama
dalam kabin Kelas Perniagaan. Ia juga menawarkan panel privasi yang boleh
dialih untuk penumpang mendirikan ruang peribadi mereka sendiri, lantas
memudahkan para keluarga, rakan kongsi perniagaan dan kumpulan individu untuk
bersosial secara lebih peribadi.
Naib Presiden Kanan Rantau Asia Pasifik bagi Qatar Airways, En. Marwan
Koleilat mengulas, “Kami berbesar hati untuk memperkenalkan pengalaman Kelas
Perniagaan Qsuite kami kepada para pelancong di Kuala Lumpur. Produk ini akan
melakarkan penanda aras yang baharu dalam segmen pelancongan mewah bagi
industri penerbangan. Kami percaya bahawa penawaran Qsuite dalam penerbangan
Kuala Lumpur akan memperkayakan perjalanan penumpang dari dan ke ibu negara
Wilayah Persekutuan ini.
“Penambahan Qsuite ke laluan Kuala Lumpur menekankan komitmen berterusan
kami untuk menawarkan kualiti dan perkhidmatan yang terbaik kepada
pelanggan-pelanggan yang kami hargai. Kami ingin memastikan pengalaman
pelancongan mereka bercirikan kemewahan, kecanggihan dan sesuai kepada
keperluan unik mereka,” ujar beliau.
Pengumuman ini menyusuli berita yang disiarkan beberapa minggu lepas
mengenai destinasi Langkawi yang bakal dimasukkan ke dalam rangkaian laluan
global Qatar Airways pada tahun ini.
Syarikat penerbangan tersebut yang pernah menggarap pelbagai anugerah
bertaraf antarabangsa telah melancarkan khidmat penerbangan yang pertama ke
Malaysia pada Disember 2001, dan kini ia beroperasi tiga kali sehari ke Kuala
Lumpur. Ia kemudiannya melancarkan perkhidmatan penerbangan ke destinasi
Malaysia yang kedua, Pulau Pinang pada bulan Februari 2018 dan membuat
penerbangan ke negeri Mutiara Timur ini empat kali seminggu.
Buat masa ini, Qatar Airways menawarkan khidmat penerbangan yang
meliputi lebih daripada 160 buah destinasi di seluruh dunia sambil
mengoperasikan 250 pesawat moden melalui habnya, Lapangan Terbang Antarabangsa
Hamad (HIA). Pada bulan Mac 2019, syarikat penerbangan ini telah meraikan
ketibaan pesawat ke-250 yang menyertai gerombongan pesawat penumpang, kargo dan
eksekutif milik Qatar Airways.
Syarikat penerbangan ini juga telah mengumumkan bahawa ia akan menambah beberapa
destinasi baharu yang menarik ke dalam rangkaian laluan ekstensifnya pada tahun
2019/2020, termasuk Izmir, Turki; Rabat, Maghribi; Malta; Langkawi, Malaysia;
Davao, Filipina; Lisbon, Portugal dan Mogadishu, Somalia.