Kebenaran Tentang Protein Soya

Apakah perkara pertama yang terlintas di fikiran anda apabila mendengar istilah “protein”? Ramai orang akan mengaitkan protein dengan makanan seperti ayam, daging atau ikan dan fungsinya untuk membina otot kita. Tetapi fungsi protein adalah lebih daripada itu. Protein adalah asas bagi kehidupan! Malah, protein adalah komposisi kedua terbanyak dalam tubuh selepas air. Ia adalah sejenis makronutrien yang penting dalam setiap tahap kehidupan dan memainkan banyak peranan penting dalam tubuh kita.

Sebagai contoh, pengambilan protein yang mencukupi semasa peringkat bayi dan kanak-kanak akan memastikan tumbesaran dan  perkembangan yang sihat. Protein juga berperanan dalam mengekalkan pelbagai fungsi penting. Ia membolehkan tindak balas kimia penting berlaku dalam badan, menggantikan atau memperbaiki sel atau tisu yang sudah tua atau rosak, membina tisu struktur dan menyokong kesihatan imun. Dan semestinya, protein juga penting dalam membina jisim otot. Walaupun kita semakin berumur, protein masih penting untuk mengekalkan jisim dan kekuatan otot kita supaya kita dapat kekal aktif. Bermula dari umur awal 40-an, kita akan mula mengalami kemerosotan jisim dan fungsi otot secara progresif dan berperingkat, jika kita gagal mengekalkan pengambilan protein yang optimum.

Menariknya, walaupun fungsi protein amat jelas penting, Tinjauan Mitos Pemakanan Asia Pasifik 2020 oleh Herbalife Nutrition mendapati 37% rakyat Malaysia percaya yang tubuh mereka kurang memerlukan protein apabila semakin tua. Ini menunjukkan masih ramai yang mempunyai kefahaman yang salah mengenai protein. Artikel ini bertujuan untuk menjelaskan beberapa hal berkaitan protein, terutamanya melibatkan soya, yang merupakan salah satu sumber utama protein dalam diet kita.

Protein: bukan daging semata-mata

Badan kita tidak menyimpan protein sepertimana ia menyimpan lemak dan karbohidrat. Protein yang berlebihan akan ditukar menjadi lemak atau dibuang daripada badan. Maka, protein perlu sentiasa dibekalkan daripada sumber makanan, melalui pengambilan makanan yang mengandungi protein.

Namun, kajian mendapati peratus keseluruhan orang dewasa di Malaysia yang memenuhi saranan pengambilan protein adalah hanya 40.4% daripada keseluruhan populasi (Nur Azna et al., 2015). Ini bermakna lebih dari separuh populasi tidak mengambil protein yang mencukupi dalam diet mereka.

Selain itu, apabila membicara tentang protein dalam diet, kebanyakan orang lebih tertumpu kepada sumber haiwan sahaja, seperti daging lembu, kambing, ayam, itik, ikan, telur dan susu lembu. Sebenarnya, Garis Panduan Diet Malaysia juga menggalakkan pengambilan protein dari sumber tumbuhan seperti kekacang. Kacang soya dan produknya juga adalah kekacang!

Organic Raw Soy Tofu on a Background

Kebaikan soya

Antara sumber protein berasaskan tumbuhan ialah protein soya. Protein soya merujuk kepada protein yang didapati dalam kacang soya dan aneka produk berkaitan, seperti tauhu, tempe, susu soya, serbuk protein soya, dan lain – lain. Apa yang menarik, Tinjauan Mitos Pemakanan 2020 juga menunjukkan 47% rakyat Malaysia percaya bahawa serbuk protein bukan sumber protein yang sihat berbanding protein daripada makanan semulajadi. Bergantung kepada keperluan individu, serbuk protein soya juga merupakan salah satu pilihan yang baik jika diperbuat daripada sumber yang berkualiti.

Protein soya ialah protein yang lengkap dan berkualiti tinggi yang boleh membekalkan kesemua asid amino penting (asas binaan protein) yang diperlukan oleh tubuh kita. Protein soya juga bermanfaat kerana kaya dengan sejenis fitonutrien, iaitu isoflavon yang mempunyai sifat antioksida, antiradang dan antikanser.

Protein soya juga mengandungi serat larut dan tidak larut, tiada kolestrol dan rendah lemak tepu. Selain itu, ia juga kaya dengan zat besi, kalium, asid lemak omega-3 dan omega-6, serta vitamin B.

Protein soya juga ialah sumber protein yang sempurna bagi vegetarian dan vegan dalam membantu memenuhi keperluan protein mereka dan mendapatkan manfaat kesihatan protein. Bagi yang alah terhadap susu lembu atau tak toleransi laktosa, susu soya yang diperkaya dengan kalsium dan produk-produknya sesuai disertakan dalam diet mereka sebagai alternatif kepada susu lembu. Satu kajian klinikal menggunakan teknik dual isotop stabil yang membandingkan penyerapan kalsium daripada tempe berbanding susu dalam kalangan wanita Melayu menopaus menunjukkan penyerapan kalsium daripada tempe (36.9%) tidak banyak berbeza berbanding susu (34.3%). Tempe boleh membekalkan kalsium tersedia untuk populasi wanita ini yang berisiko dengan jisim tulang yang rendah (Haron et al 2010).

Tambahan lagi, protein soya terbukti boleh memberi pelbagai manfaat kesihatan. Menambah protein soya ke dalam diet bermanfaat untuk kesihatan jantung dan memberikan perlindungan daripada penyakit kardiovaskular dengan merendahkan tahap lipoprotein berketumpatan rendah dan meningkatkan lipoprotein berketumpatan tinggi (Messina, 2016; Tokede et al., 2015; Montgomery, 2003).

Makanan berasaskan soya juga membekalkan protein berkualiti tinggi dan kalsium yang mudah diserap, dan ini menyumbang kepada kesihatan tulang (Messina, 2016). Pengambilan protein soya juga dapat memperbaiki berat dan komposisi badan (Speaker et al., 2018).

Membongkar mitos-mitos soya

Malangnya, soya sering menjadi sasaran mitos-mitos tak berasas yang boleh menghindari orang daripada mengambil protein soya, walaupun ia sudah menjadi makanan ruji di rantauan kita sejak berabad lamanya. Mari kita lihat beberapa mitos dan kebenaran di sebaliknya.

  1. Mitos: Kesemua produk soya diperbuat daripada organisma terubah suai genetik (GMO).

Fakta: Bukan semua produk soya diperbuat daripada GMO. Pelbagai tauhu, tempe dan susu soya tidak berasaskan GMO juga terdapat di pasaran. Dan walaupun produk tersebut berasaskan GMO, tiada bukti jelas yang menunjukkan bahawa dengan memakan kacang soya GMO atau produknya akan memberi kesan yang buruk dari segi kesihatan.

  • Mitos: Risiko kanser payudara akan meningkat jika memakan soya.

Fakta: Mitos ini datang daripada kepercayaan bahawa isoflavon (estrogen tumbuhan) yang terdapat dalam soya boleh meningkatkan risiko kanser. Kajian telah menunjukkan bahawa isoflavon soya, tidak kira dari sumber apa pun, tidak mendatangkan sebarang kesan berbahaya kepada tisu payudara (Khan et al., 2012; Shike et al., 2014; Hooper et al., 2010). Sebaliknya, pengambilan soya yang tinggi mungkin boleh menurunkan risiko kanser payudara. Satu kajian prospektif ke atas 300,000 wanita di China dan kajian metaanalisis yang berasaskan respon dos menunjukkan pengambilan soya yang tinggi sebenarnya mungkin dapat memberi manfaat yang cukup besar bagi mencegah kanser payudara (Wei et al., 2020).

  • Mitos: Fitoestrogen soya menghalang fungsi tiroid.

Fakta: Pelbagai kajian dan tinjauan yang menyeluruh menunjukkan yang sebenarnya kedua-dua makanan berasaskan soya atau isoflavon tidak memberikan kesan buruk pada fungsi tiroid dalam lelaki atau perempuan dengan fungsi kelenjar tiroid yang normal (Messina & Redmond, 2006; Ryan-Borchers et al., 2008; Bitto et al., 2010). Tambahan pula, Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah juga menyimpulkan bahawa isoflavon tidak memberikan sebarang kesan buruk kepada fungsi payudara, tiroid atau rahim bagi wanita menopaus.

  • Mitos: Soya menyebabkan lelaki bersifat feminin.

Fakta: Jangan risau, ini hanyalah andaian yang tidak munasabah. Soya mengandungi fitonutrien yang dipanggil isoflavon soya. Kajian meluas telah menunjukkan bahawa pengambilan protein soya atau isoflavon tidak menunjukkan sebarang kesan terhadap tahap hormon pembiakan dalam tubuh lelaki (Hamilton-Reeves et al., 2010).

Akhir kata, perlu ditekankan sekali lagi bahawa soya dan produk soya merupakan sumber protein lengkap yang baik. Ia kaya dengan nutrien yang pelbagai dan perlu dijadikan sebahagian daripada diet sihat kita. Walaupun beberapa mitos berkaitan soya sering kedengaran, bukti yang diberikan selalunya lemah berbanding dengan pelbagai kajian yang berwibawa mengenai kebaikan soya. Hakikatnya, soya telah menjadi sebahagian daripada diet kita sejak dahulu lagi dan terbukti selamat diambil oleh ramai orang.

Rujukan:

Baglia ML, Zheng W, Li H, Yang G, Gao J, Gao YT, Shu XO (2016). The association of soy food consumption with the risk of subtype of breast cancers defined by hormone receptor and HER2 status. Int J Cancer 139:742–748

Bitto A, Polito F, Atteritano M, Altavilla D, Mazzaferro S, Marini H, Adamo EB, D’Anna R, Granese R, Corrado F et al (2010). Genistein aglycone does not affect thyroid function: Results from a three-year, randomized, double-blind, placebo-controlled trial. J Clin Endocrinol Metab 95:3067–3072

EFSA (2015). Scientific opinion on the risk assessment for peri- and post-menopausal women taking food supplements containing isolated isoflavones. Panel on Food Additives and Nutrient Sources added to Food. European Food Safety Authority. EFSA J 13:4246.

Hamilton-Reeves JM, Vazquez G, Duval SJ, Phipps WR, Kurzer MS & Messina MJ (2010). Clinical studies show no effects of soy protein or isoflavones on reproductive hormones in men: results of a meta-analysis. Fertility and Sterility 94(3):007-1007

Haron H, Shahar S, O’Brien KO, Ismail A, Kamaruddin N, Rahman SA (2010). Absorption of calcium from milk and tempe consumed by postmenopausal Malay women using the dual stable isotope technique. Int J Food Sci Nutr. 61(2):125-37

Herbalife Nutrition Asia Pacific Nutrition Myths Survey 2020

Hooper L, Madhavan G, Tice JA, Leinster SJ & CassidyA (2010). Effects of isoflavones on breast density in pre- and post-menopausal women: A systematic review and meta-analysis of randomized controlled trials. Hum Reprod. 16:745–760.

Khan SA, Chatterton RT, Michel N, Bryk M, Lee O, Ivancic D, Heinz R, Zalles CM, Helenowski IB, Jovanovic BD et al (2012). Soy isoflavone supplementation for breast cancer risk reduction: A randomized phase II trial. Cancer Prev Res 5:309–319

Korde LA, Wu  AH, Fears T, Nomura AM, West DW, Kolonel LN, Pike MC, Hoover RN & Ziegler RG (2009). Childhood soy intake and breast cancer risk in Asian American women. Cancer Epidemiol. Biomark. Prev. 18:1050–1059

Lee SA, Shu XO, Li H, Yang G, Cai H, Wen W, Ji BT, Gao YT & Zheng W (2009). Adolescent and adult soy food intake and breast cancer risk: Results from the Shanghai Women’s Health Study. Am J Clin Nutr 89:1920–1926.

Messina M (2016). Soy and Health Update: Evaluation of the Clinical and Epidemiologic Literature.

      Nutrients 8:754

Messina M & Redmond G (2006). Effects of soy protein and soybean isoflavones on thyroid function in healthy adults and hypothyroid patients: A review of the relevant literature. Thyroid  16:249–258

Montgomery KS (2003). Soy protein. J of Perinatal Education 12(3): 42-45

Nur Azna M, Noraida MK, Mohd Hasnan A, Ahmad Ali Z & Wan Shakira RH (2015). Nutrient intake among Malaysian adults: Do they meet the requirement of the Malaysian recommended nutrient intake? Medical Journal of Malaysia 70(Suppl 1)

Ryan-BorchersT, Boon C, Park JS, McGuire M, Fournier L & Beerman K (2008). Effects of dietary and supplemental forms of isoflavones on thyroid function in healthy postmenopausal women. Top Clin Nutr 23:13–22

Shike M, Doane AS, Russo L, Cabal R, Reis-Filo J, Gerald W, Cody H, Khanin R, Bromberg J, Norton L (2014). The effects of soy supplementation on gene expression in breast cancer: A randomized placebo-controlled study. J Natl Cancer Inst 106

Speaker KJ, Sayer RD, Peters JC, Foley HN, Pan Z, Wyatt HR, Flock MR, Mukherjea R & Hill JO (2018). Effects of consuming a high-protein diet with or without soy protein during weight loss and maintenance: a non-inferiority, randomized clinical efficacy trial. Obesity Science & Practice 4(4):357-366

Tokede OA, Onajanbo TA, Gaziano JM & Djousse L (2015). Soya products and serum lipids: a meta-analysis of randomised controlled trials. Cambridge University PressWei YX, Lv J, Guo Y, Bian Z, Du HD, Yang L, Chen YP, Zhang X…& the China Kadoorie Biobank Collaborative Group (2020). Eur J Epidemiol 35(6):567-578

© 2023 BlackButterfly DesignArts