
Memelihara haiwan bukan sekadar satu tanggungjawab moral, tetapi satu asas penting dalam melindungi kesihatan diri kita, alam sekitar dan masa depan bersama. Profesor Dr Malaika Watanabe, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar, berkongsi peranan penting bidang sains bioveterinar dalam memelihara kesihatan dan kebajikan haiwan demi kebaikan mereka, dan manusia.
Bagi kebanyakan orang, kesihatan haiwan biasanya dikaitkan dengan doktor haiwan yang merupakan individu yang merawat haiwan peliharaan apabila mereka sakit. Namun, bagaimana pula dengan bidang sains bioveterinar? Bagi menjelaskan gabungan antara perubatan veterinar dan sains haiwan ini, Profesor Dr Malaika Watanabe, Dekan Fakulti Perubatan Veterinar di Universiti IMU, menerangkan bagaimana pengajian dalam bidang ini sebenarnya membuka pintu kepada pelbagai kerjaya.
“Kesihatan dan kebajikan manusia serta haiwan saling berkait dalam banyak cara. Haiwan peliharaan menjadi peneman setia, haiwan ternakan membekalkan sumber makanan, manakala biodiversiti pula melindungi keseluruhan ekosistem,” ujar Profesor Watanabe. “Ringkasnya, kita bergantung kepada haiwan, dan penting untuk kita tahu cara menjaga mereka dengan betul dan penuh tanggungjawab. Bahkan haiwan ternakan yang akhirnya akan disembelih pun berhak untuk hidup dalam keadaan yang paling berperikemanusiaan dengan kesakitan minimum. Di sinilah peranan utama sains bioveterinar.”
Apa sebenarnya sains bioveterinar?
Walaupun bidang ini sudah lama berkembang di banyak negara, ia masih agak baharu di Malaysia dan hanya ditawarkan di beberapa buah universiti. Pengajian ini menggabungkan ilmu perubatan seperti anatomi, fisiologi, mikrobiologi dan patologi, bersama pengetahuan dalam penjagaan serta pengurusan haiwan. Pelajar dalam bidang ini turut berpeluang mempelajari kemahiran klinikal asas seperti teknik memegang haiwan dengan selamat, cara pengendalian, serta penjagaan kejururawatan asas.
Umumnya, bidang ini memberi tumpuan kepada enam spesies utama haiwan iaitu anjing, kucing, kuda, lembu, kambing/biri-biri, ayam dan babi, yang merangkumi haiwan peliharaan dan ternakan. Graduan sains bioveterinar boleh memilih untuk melanjutkan pengajian ke peringkat profesional sebagai doktor haiwan. Pada masa ini, Malaysia hanya mempunyai sekitar 3,000 orang doktor haiwan sahaja, sedangkan keperluan sebenar dianggarkan sekurang-kurangnya 6,000[1] orang. Selain itu, mereka juga boleh menceburi pelbagai kerjaya lain dalam bidang berkaitan haiwan, termasuklah penjagaan ternakan, pembantu veterinar, penyelidikan dan pengurusan ladang.
Pada asasnya, sains bioveterinar menekankan layanan beretika dan bertanggungjawab terhadap haiwan. Menurut Profesor Watanabe, pendekatan ini juga berperanan penting dalam melindungi kesihatan awam, iaitu dengan memastikan tahap kebersihan dan piawaian tertentu sentiasa dipatuhi, sekali gus mengurangkan pencemaran alam sekitar dan mencegah penyakit zoonotik yang boleh berjangkit kepada manusia.
Justeru, skop sains bioveterinar sebenarnya jauh lebih luas daripada apa yang disedari oleh kebanyakan orang, dan ia membuka laluan kerjaya yang mungkin tidak pernah difikirkan sebelum ini.
Gambaran Yang Lebih Besar
Semua makhluk yang hidup saling berkait rapat. Oleh itu, kesihatan dan kebajikan haiwan bukanlah urusan pencinta haiwan semata-mata. Sebahagian besar dunia masih bergantung kepada haiwan dan produk berasaskan haiwan, di mana pengeluaran daging dunia telah meningkat lebih tiga kali ganda dalam tempoh 50 tahun terakhir[2]. Pada masa yang sama, hubungan emosi antara manusia dan haiwan peliharaan telah menyumbang kepada perkembangan pesat industri haiwan peliharaan, yang bernilai lebih USD246 bilion di seluruh dunia pada tahun 2023, dan dijangka melebihi USD427 bilion menjelang tahun 2032[3].
Perkembangan ini turut dapat dilihat di peringkat tempatan, dengan lebih 50% rakyat Malaysia memiliki haiwan peliharaan. Ini telah menyumbang kepada pertumbuhan sebanyak 25% dalam sektor penjagaan haiwan pada tahun 2022, merangkumi perkhidmatan penjagaan haiwan, jualan haiwan peliharaan dan perkhidmatan veterinar.[4]
“Apabila kita berusaha menjaga kesihatan haiwan, kita sebenarnya turut menjaga kesihatan alam sekitar, dan secara tidak langsung, kesihatan manusia juga. Saya beri satu contoh: saya merupakan pakar klinikal haiwan kecil, dan setiap kali saya berbincang dengan pemilik haiwan, saya selalu tekankan bahawa mereka bertanggungjawab untuk memberikan ubat cacing kepada anjing dan kucing mereka. Ini kerana haiwan yang dijangkiti boleh menyebarkan telur parasit ke persekitaran, dan sesetengahnya boleh menjangkiti manusia. Contohnya, kanak-kanak yang bermain di taman permainan berisiko untuk dijangkiti dan boleh jatuh sakit dengan serius. Jadi, menjadi pemilik haiwan yang bertanggungjawab juga bermakna kita prihatin terhadap kesihatan dan kesejahteraan sesama manusia kerana semuanya saling berkait,” jelas Profesor Watanabe.
Sebagai contoh lain, pengurusan ternakan yang mengutamakan kesihatan haiwan dapat mengurangkan risiko penyakit dan keperluan untuk pelupusan secara besar-besaran. Pengurusan ternakan yang cekap dan beretika amat penting untuk jaminan keselamatan makanan – sesuatu yang sangat kritikal di banyak negara. Justeru, ia perlu dilakukan secara mampan. Selain itu, memastikan haiwan sentiasa sihat juga membantu mengelakkan penggunaan antibiotik secara berlebihan atau sembarangan, yang akhirnya boleh memberi kesan buruk kepada kesihatan manusia, jelas beliau lagi.
Memartabatkan Tahap Kesihatan dan Kesejahteraan Haiwan
“Rasa hormat terhadap kesejahteraan bersama ini perlu dipupuk sedari kecil lagi supaya kita dapat membina piawaian yang lebih baik dalam cara kita menyantuni haiwan. Perubahan minda bukan sesuatu yang berlaku dalam sekelip mata, sebaliknya memerlukan masa. Ia perlu bermula dengan pendidikan serta kesedaran, sama ada di rumah, di sekolah mahupun dalam masyarakat secara keseluruhan, supaya kita dapat memupuk rasa belas kasihan terhadap semua makhluk hidup,” ujar Profesor Watanabe.
“Bekerja dengan haiwan, terutamanya dalam memastikan kesihatan dan kesejahteraan mereka, boleh menjadi sesuatu yang mencabar. Malah sebagai pelajar, anda akan terdedah kepada pelbagai persekitaran seperti klinik veterinar, ladang ayam, kandang kuda dan tempat-tempat lain yang mungkin tidak selesa, kerana ia bukan sekadar bermain dengan haiwan peliharaan yang comel! Penting untuk memahami realiti sebenar bidang ini. Namun begitu, minat yang mendalam dan rasa kasih sayang yang tulen terhadap haiwan akan menjadi sumber kekuatan untuk terus bertahan.
Menurut beliau, pengalaman ini boleh membawa anda ke pelbagai laluan kerjaya dan mungkin dapat membantu anda menemui kerjaya atau misi hidup yang benar-benar memberi makna dan kepuasan dalam hidup.
[1] Malaysia needs 6,000 veterinarians to meet industry demands
[2] Meat and Dairy Production – Our World in Data
[3] Pet Care Market Size, Growth, Industry Share, Analysis, 2032
[4] DOSM: Malaysia’s pet care sector jumps 25pc in 2023, grab-and-go meals boost economic output by RM15.6b | Malay Mail