Jelajah Saya Digital @ Kuala Terengganu Tingkat Gaya Hidup Pintar Menerusi Digitalisasi

Jelajah Saya Digital @ Kuala Terengganu Tingkat Gaya Hidup Pintar Menerusi Digitalisasi

Kuala Terengganu, 8 Jun 2024 – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), agensi peneraju ekonomi digital negara di bawah seliaan Kementerian Digital (KD), hari ini telah menganjurkan siri program Jelajah Saya Digital (JSD) yang bertempat di KTCC Mall, Kuala Terengganu, Terengganu selama dua hari dan dihadiri lebih 1,500 orang.

Selaras dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam mendukung misi dan visi negara untuk melahirkan lebih ramai generasi celik digital, program JSD amat bertepatan di dalam membuka peluang kepada masyarakat tempatan untuk meningkatkan kemahiran dan membudayakan gaya hidup digital di kalangan mereka. Selain dari berkongsi dengan rakyat mengenai literasi digital dan siber, JSD kali ini juga menumpukan kepada kelebihan strategi pemasaran menggunakan konten video dan aplikasi TikTok untuk para usahawan.

Kempen Saya Digital diperkenalkan pada akhir tahun 2020 dan setakat Mei 2024, program ini telah menjelajahi ke 66 lokasi dan berjaya melatih seramai 22,877 orang peserta dari seluruh negara. Bagi tahun ini juga MDEC menyasarkan seramai 40,000 peserta untuk menyertai program JSD di 31 lokasi.

Antara program lain dibawah Kempen Saya Digital adalah eUsahawan dan MyDigitalMaker. Melalui program eUsahawan ini MDEC berjaya melatih seramai 563,543 pelajar Institusi Pengajian Tinggi (IPT), pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan usahawan di seluruh negara dengan menjana jualan terkumpul melebihi RM1.24 bilion dan di Terengganu sahaja, seramai 39,665 usahawan telah mengambil peluang dan menjana jualan terkumpul melebihi RM47.13 Juta.

Jelajah Saya Digital @ Kuala Terengganu Tingkat Gaya Hidup Pintar Menerusi Digitalisasi

Manakala program MyDigitalMaker telah memberi impak kepada lebih 2.5 juta pelajar sekolah di seluruh negara melalui penglibatan dalam aktiviti pembuatan digital, seperti Kempen ‘Hour of Code’, Pertandingan Berasaskan Pembuatan Digital dan MyDigitalMaker Fair. Daripada jumlah tersebut lebih kurang 150,000 pelajar dari 500 sekolah di Terengganu telah terlibat secara langsung.

Jelajah Saya Digital @ Kuala Terengganu Tingkat Gaya Hidup Pintar Menerusi Digitalisasi

Antara aktiviti menarik yang telah dijalankan di program JSD @ Kuala Terengganu termasuklah sesi perkongsian oleh MDEC dan rakan strategik, klinik literasi digital dan siber, sesi latihan, gerai pameran, serta aktiviti menarik lain seperti cabutan bertuah, dan siaran langsung program eSports yang menyaksikan penyertaan lebih 500 peserta.

Acara ini telah dirasmikan bersama oleh YBrs. Encik Amiruddin bin Abdul Shukor, Naib Presiden Kanan/Ketua Perkhidmatan Korporat Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan YBrs. Encik Abdul Hadi bin Ismail, Pengurus Pembangunan Perniagaan, Terengganu Advanced Joint Digital Intelligent Corporation (TAJDID).

JSD adalah sebuah inisiatif yang memberi tumpuan kepada empat teras utama iaitu, Saya Digital Literasi, Saya Digital Bisnes, Saya Digital Freelance, dan Saya Digital Kerjaya yang memberi manfaat kepada golongan sasar iaitu B40, graduan menganggur, warga emas, orang kelainan upaya, pelajar sekolah, serta universiti termasuk usahawan mikro, kecil, dan sederhana.

Program Jelajah Saya Digital merupakan platform terbaik untuk memperkukuhkan kemahiran digital di kalangan rakyat, termasuk usahawan, dengan mengambil peluang yang ada supaya Rakyat dapat memainkan peranan penting dalam perkembangan ekonomi digital negara.

Rakan-rakan strategik MDEC yang menjayakan JSD iaitu Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), TM-Unifi Business, Jazro, F-Secure dan PTDotCom Media Digital turut mengadakan sesi perkongsian dalam acara ini.

Untuk maklumat lanjut dan untuk menyertai siri Jelajah Saya Digital, sila layari https://mdec.my/sayadigital .

© 2024 BlackButterfly DesignArts