Jadual Perjalanan – Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang!

Raikan Bulan Kemerdekaan dengan Menjejaki Semula Tapak Tinggalan Warisan Di Dua Daerah Bersejarah Negeri Selangor

Sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-64 untuk tahun 2021, kali ini pihak Tourism Selangor akan kongsikan jadual perjalanan seharian ke Daerah Kuala Selangor dan Klang. Kedua-dua Daerah dalam Negeri Selangor ini mempunyai pelbagai tinggalan sejarah yang boleh anda jejaki semula. Bagi Daerah Kuala Selangor, selepas memperoleh perkenan dari DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj, Majlis Daerah Kuala Selangor kini dengan rasminya sudah diisytiharkan sebagai Majlis Perbandaran Kuala Selangor. Daerah Kuala Selangor dan Klang adalah dua destinasi yang amat sesuai untuk dilawati sempena menyemarakkan semangat menyambut Hari Kebangsaan Malaysia yang jatuh pada 31 Ogos 2021.

Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

10.00 a.m.       :Pelajari sulur-galur sejarah di Muzium Sejarah Kuala Selangor

11.00 a.m.       :Nikmati keindahan tinggalan sejarah Bukit Malawati, Kuala Selangor

12.00 p.m.       :Makan tengah hari berlaukkan menu tempatan di Rabitah Catering

2.00 p.m.          :Persinggahan di tapak tinggalan sejarah Kota Raja Mahadi

3.00 p.m.          :Lawatan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz

4.00 p.m.          :Kunjungi kawasan Diraja Istana Alam Shah 

5.00 p.m.         :Saksikan keunikan senibina Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang

  1. Pelajari Susur-galur Sejarah di Muzium Sejarah Kuala Selangor
Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

Tempat ini adalah tempat yang paling sesuai untuk belajar dan selami kembali sejarah tentang Daerah Kuala Selangor. Sekitar tahun 1960, Muzium yang terletak di Bukit Malawati, Kuala Selangor ini merupakan tempat kediaman rasmi buat Pegawai-pegawai Daerah. Muzium ini menyediakan maklumat berkenaan sejarah Daerah ini melalui kronologi yang dipamerkan mengikut tujuh seksyen. Informasi juga disampaikan menerusi teknik interaktif untuk kemudahan pelawat.

  • Nikmati Keindahan Tinggalan Sejarah di Bukit Malawati, Kuala Selangor
Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

Bukit Malawati merupakan destinasi popular di kalangan warga tempatan kerana keindahan dan keunikannya yang tersendiri. Ianya juga adalah bukit ikonik di Daerah Kuala Selangor yang menempatkan pelbagai tinggalan sejarah dari zaman Kesultanan Selangor seperti Perigi Beracun dan Meriam Penggawa. Keunikan yang terdapat di Bukit Malawati juga termasuk Rumah Api Kuala Selangor — habitat buat pelbagai spesies monyet seperti lotong. Selain itu, perkhidmatan trem ke sekitar Bukit Malawati akan beroperasi pada hari minggu dan cuti umum bagi memudahkan perjalanan pengunjung.

  • Makan Tengahari di Rabitah Catering, Kuala Selangor
Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

Rabitah Catering adalah tempat yang sempurna untuk mengisi perut anda dengan juadah lauk masakan tempatan dan masakan Jawa yang pelbagai termasuk menu ikan, daging, ayam dan sayur-sayuran seperti ulam-ulaman kampung. Anda juga boleh menikmati nasi campur berlaukkan lauk unik seperti daging salai dan gulai urat keting. Kedai makan ini mula beroperasi seawal 6:30 pagi sehingga 4:30 petang untuk pelanggan singgah dan nikmati hidangan lazat yang mereka sajikan.

  • Persinggahan di tapak tinggalan sejarah Kota Raja Mahadi, Klang
Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

Selepas menjejaki warisan tinggalan sejarah di Daerah Kuala Selangor, Daerah Klang merupakan destinasi yang berdekatan bagi menyambung perjalanan jejak warisan kali ini. Kota Raja Mahadi yang tertetak di Bukit Kota Klang ini merupakan tapak sejarah yang pernah menjadi saksi perang saudara yang berlaku diantara Raja Mahadi dan Raja Abdullah pada kurun ke-19. Perang itu berlaku atas sebab pergelutan kuasa untuk menakluki Sungai Selangor yang strategik serta kawasan sekitarnya.

  • Lawatan ke Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz, Klang
Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

Perjalanan jejak warisan tidak sempurna tanpa lawatan ke mana-mana Muzium atau Galeri. Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz di Daerah Klang merupakan tempat yang ideal bagi mempelajari tentang sejarah dan warisan Diraja Kesultanan Selangor. Bangunan Galeri yang telah dibina pada tahun 1909 ini dahulu dikenali sebagai Bangunan Sultan Suleiman. Bangunan ini juga pernah dijadikan sebagai bangunan pentadbiran British ketika zaman pemerintahan British dan ketika Perang Dunia ke-2, bangunan ini telah menjadi Ibu Pejabat bagi tentera Jepun. Kemudian, pada tahun 2007, DYMM Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj telah memberi perkenan dan merasmikan bangunan ini sebagai Galeri Diraja Sultan Abdul Aziz.

  • Kunjungi Kawasan Diraja, Istana Alam Shah, Klang
Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

Terletak di Daerah bersejarah Klang, Istana ini merupakan bangunan Diraja yang menjadi lokasi DYMM Sultan Selangor melaksanakan tugas-tugas rasmi Baginda dan juga merupakan tempat untuk menjalankan adat istiadat Diraja Negeri Selangor. Istana yang dibina pada tahun 1905 ini telah menjadi saksi pembangunan Daerah Klang dan juga merupakan tempat kelahiran buat DYMM Sultan Selangor yang ke-7, Almarhum DYMM Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj

  • Akhiri Jejak Warisan dengan Menyaksikan Keunikan Senibina Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang
Jejak Warisan Daerah Kuala Selangor Dan Klang

Masjid Diraja Sultan Suleiman, Klang merupakan salah satu masjid di Negeri Selangor yang mempunyai senibina yang unik dan menarik. Masjid ini telah dibina pada tahun 1932 dan dirasmikan oleh Almarhum DYMM Sultan Alaeddin Suleiman Shah pada tahun 1934. Selain dari senibina dan konsep yang unik, di masjid ini juga terdapat satu anak tangga dikenali sebagai Tangga Diraja yang menyambungkan antara Istana Alam Shah dan Makam Diraja Klang. Masjid yang berusia ini masih lagi gah berdiri hasil usaha konservatif demi mengekalkan sentuhan-sentuhan barat yang asli pada senibinanya.

Selesai sudah jejak warisan kali ini yang melibatkan dua Daerah bersejarah, Kuala Selangor dan Klang. Bukan sahaja dalam Bulan Kemerdekaan, tetapi pada setiap masa, usaha mengenali dan mendalami sejarah tempatan perlu diberikan penekanan oleh warganegara bagi memupuk perasaan cinta akan tanah air, dan mendapatkan pengajaran dari kisah-kisah silam yang amat bersejarah.

Dalam usaha melindungi diri dan keluarga dari virus Covid-19, anda diingatkan untuk terus patuh dengan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh pihak Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuk memakai topeng muka, mempraktikkan penjarakan sosial dan sentiasa memakai pembersih tangan. Pendaftaran masuk melalui aplikasi “SElangkah: Langkah Masuk Dengan Selamat” juga adalah penting di setiap premis yang anda lawati.

Sila ikuti perkembangan semasa dari Tourism Selangor dengan mengikuti laman media sosial rasmi Instagram, Facebook, Twitter, TikTok dan saluran YouTube Tourism Selangor untuk sebarang kemas-kini. Layari www.selangor.travel, laman sesawang rasmi Tourism Selangor untuk mendapatkan idea dan inspirasi dalam merangka perjalanan anda ke Negeri Selangor. #ImagineNowExperienceSoon.Untuk informasi lanjut, layari laman sesawang rasmi Tourism Selangor di Selangor.Travel.

© 2023 BlackButterfly DesignArts