Kuala Lumpur, 15 November 2023 – İzmir, salah sebuah bandar yang paling indah di Türkiye yang terletak di rantau Aegean, dinamakan antara ‘Bandar Terbaik’ 2024 oleh siri panduan pengembaraan terkenal, Lonely Planet. Menyediakan maklumat bermanfaat mengenai destinasi di seluruh dunia sejak 1973, Lonely Planet mengumumkan kedudukan bandar tersebut yang tersenarai dalam ‘Pengembaraan Terbaik 2024’, edisi ke-19 destinasi pelancongan yang paling disyorkan oleh siri panduan berkenaan. Senarai tersebut yang disusun oleh sepasukan pakar pengembaraan, dibahagikan kepada lima kategori: negara, rantau, bandar, kelestarian dan nilai. Sebagai salah sebuah ‘Bandar Terbaik’, İzmir meraih penghargaan menerusi kota purbanya, pantai yang mengagumkan, landskap yang menakjubkan serta hidangan makanan dan daya tarikan tersendiri.
İzmir Pergamon Ancient City
İzmir menyerlahkan citarasa, budaya dan gaya hidup tepian pantai
Menurut Lonely Planet, lokasi pantai İzmir merupakan kelebihan utamanya. Bandar berkenaan turut menawarkan gabungan budaya sejarah dan kontemporari yang mengagumkan, hidangan Aegean yang enak dan menyihatkan serta kualiti hidup yang tinggi. Menurut penerbitan tersebut, bazar, lokasi budaya dan seni yang bersejarah, laluan ladang anggur, pantai indah, serta runtuhan tinggalan purba di İzmir kesemuanya menjadi tarikan menarik untuk berkunjung ke rantau ini. Lonely Planet turut menampilkan Festival İzmir Antarabangsa tahunan, diadakan antara Jun dan Julai yang merangkumi pelbagai persembahan konsert dan tarian di lokasi terkenal seperti Smyrna Agora. Panduan tersebut juga menyarankan pengunjung untuk merasa wain tempatan di Urla, salah satu laluan ladang anggur di İzmir.
İzmir Karaburun Seaside
Banyak lagi yang menanti di İzmir
Meskipun bergelar bandar ketiga terbesar di Türkiye, İzmir mempunyai persekitaran santai yang menyumbang kepada kualiti hidup yang tinggi. Biarpun bandar berkenaan dikunjungi oleh jutaan pelancong setiap tahun kerana tarikan bandar purba Ephesus iaitu Tapak Warisan Dunia UNESCO, menurut Lonely Planet, İzmir “masih belum diteroka sepenuhnya”. Bandar ini dibangunkan untuk penghuninya menikmati kehidupan dan memaparkan pantai indah hampir dua kilometer yang menghala ke Bazar Kemeraltı yang serba meriah. Lokasinya yang luar biasa dan laluan mudah ke bandar pesisir lautan dan pantai yang indah ternyata menjadi daya tarikan İzmir. Pantai barat İzmir dikelilingi oleh beberapa kampung yang agak aneh dan penempatan pantai terkenal, dari Foça ke Urla dan dari Karaburun ke Çeşme Peninsula. Di Urla yang terkenal dengan ladang anggur dan wain Turkinya, pengunjung boleh menikmati sajian makanan enak di restoran yang menyediakan hasil segar dari ladang. Pada masa yang sama Alaçatı yang terletak di Çeşme Peninsula, mengetengahkan herba dan makanan laut Aegean. Tambahan pula, İzmir membuktikan keaslian sajian makanan dan minuman yang dimilikinya dengan penyenaraiannya dalam PANDUAN Michelin tahun ini.
Seafood and mezes at Cesme, İzmir
Khazanah Anatolia
Bagi khazanah purba di İzmir, anda boleh mengunjungi Bergama dan Selçuk. Di bandar purba Bergama iaitu Tapak Warisan Budaya Dunia UNESCO dan menempatkan perpustakaan zaman dahulu yang kedua terbesar, anda boleh memulakan perjalanan untuk mengenali sejarah rantau ini sehingga ke zaman prasejarah. Di Selçuk, anda boleh meneroka tinggalan Kuil Artemis yang dianggap sebagai salah satu daripada Tujuh Keajaiban Dunia Purba, bandar purba Ephesus, Tapak Warisan Dunia UNESCO dan penempatan tersegam indah yang memberi nafas kepada Zaman Purba, termasuklah Basilica of St John dan House of the Virgin Mary. Anda juga boleh berkunjung ke Şirince yang terkenal dengan wain buah-buahannya. Dibina di lereng bukit yang menghijau dengan pemandangan pergunungan Selçuk, baru-baru ini Şirince berada dalam senarai ‘Perkampungan Pelancongan Terbaik Dunia 2023’ Pertubuhan Pelancongan Dunia Bangsa-bangsa Bersatu.
İzmir yang serba indah merupakan destinasi popular seni, budaya dan sejarah. Di samping galeri dan muzium yang memaparkan seni tradisional dan kontemporari, bandar berkenaan menarik perhatian dengan penganjuran pelbagai acara. Tarikan terkini bandar tersebut ialah Kilang Budaya dan Seni İzmir yang dibuka di Kilang Alsancak Tekel berusia akhir abad ke-19 yang telah dipulihkan. Kilang Budaya dan Seni İzmir turut menganjurkan acara paling penting bandar berkenaan iaitu Festival Laluan Budaya Ephesus yang berlangsung tahun ini mulai 28 Oktober sehingga 5 November.
İzmir juga merupakan bandar pertama di Türkiye yang dipilih untuk EuroVelo 8 – Laluan Mediterranean, dan menerusi laluan berbasikalnya dan hotel yang diperakui ‘Mesra Basikal’, ia juga destinasi sesuai untuk pengembara yang ingin meneroka rantau ini dengan hanya menggunakan dua roda.