Teknologi inovatif Diolko yang mengoptimumkan tren LRT bagi penghantaran perbatuan terakhir bakal mengurangkan pelepasan CO2 iStore iSend sehingga 80%
Kuala Lumpur, 6 November 2024 – Diolko, penyedia perkhidmatan penghantaran perbatuan terakhir (last mile delivery) mampan Malaysia, mengumumkan kerjasama baharu dengan syarikat e-pemenuhan terkemuka iStore iSend. Kerjasama ini bermatlamat untuk mengurangkan impak alam sekitar penghantaran perbatuan terakhir iStore iSend dengan ketara, sekali gus menawarkan pilihan yang lebih mesra alam di samping mengekalkan piawaian tinggi khidmat penghantaran iStore iSend yang dikenali ramai.
iStore iSend dijangka akan mengurangkan pelepasan bahan seperti karbon dioksida (CO2e) sehingga 80% daripada rangkaian perkhidmatannya menerusi kerjasama dengan Diolko. Setakat ini, data daripada ujian rintis perkhidmatan menunjukkan Diolko berjaya menurunkan pelepasan karbon iStore iSend sehingga 70%. Pengurangan kadar ini akan terus meningkat seiring dengan pengukuhan kerjasama yang terjalin anatara kedua-dua syarikat. Diolko menghantar bungkusan kepada pengguna menggunakan kapasiti landasan sedia ada, serta mengurangkan kesesakan jalan raya dan penggunaan bahan api. Rakan penghantar bermotosikal dan van pula akan mengendalikan penghantaran dalam radius 5-10km daripada stesen tren setempat dan pendekatan ini mengurangkan keperluan untuk perjalanan kenderaan secara jarak jauh.
“Kami teruja untuk bekerjasama dengan iStore iSend bagi menawarkan kaedah penghantaran perbatuan terakhir yang mampan,” kata CEO Diolko, Yoann Gueguen. “Kami juga membantu iStore iSend untuk mengukuhkan kelebihan daya saingnya di samping menjajarkan matlamat mampan mereka menggunakan rangkaian tren serta mengurangkan kesesakan trafik. Kerjasama ini mewakili anjakan yang besar bagi kedua-dua syarikat dalam menyumbang kepada masa depan sektor logistik yang bersifat mesra alam.”
“iStore iSend komited untuk mengurangkan jejak alam sekitar kami. Bagi tujuan ini, kami telah lama mencari rakan penghantar perbatuan terakhir yang berkeupayaan untuk menyediakan perkhidmatan yang mampan. Walaupun kami melaksanakan langkah-langkah mesra alam seperti pembungkusan yang mampan, ketiadaan rakan perkhidmatan perbatuan terakhir yang sesuai menjadi cabaran sejak sekian lama. Diolko mengisi lompang ini dengan model penghantaran yang inovatif, yang memanfaatkan rangkaian tren Malaysia dalam mengoptimumkan kadar kecekapan penghantaran dan meminimumkan impak kepada alam sekitar,” kata Ketua Pegawai Eksekutif iStore iSend, Joe Khoo.
Diolko akan menguruskan kira-kira 6,000 bungkusan setiap bulan, dan berkeupayaan untuk mengendalikan sehingga 40,000 bungkusan bagi menyokong sasaran kemampanan iStore iSend.
Troli penghantaran Diolko, yang direka khusus untuk penghantaran selamat menggunakan tren, diiktiraf oleh badan penarafan pihak ketiga dan diluluskan oleh APAD untuk digunakan dalam rangkaian LRT. Langkah ini menjamin aspek keselamatan dan kecekapan seiring dengan peluasan perkhidmatan Diolko. Di samping itu, Diolko membekalkan data terperinci pelepasan karbon pada tahap setiap bungkusan bagi membantu klien Diolko menjejak dan mendokumenkan impak alam sekitar bagi tujuan pelaporan ESG.
Pada masa akan datang, Diolko merancang untuk meluaskan perkhidmatannya di luar kawasan Lembah Klang ke bandar-bandar utama di Malaysia dan ke seluruh rantau Asia Tenggara. Syarikat ini juga merancang untuk meluaskan rangkaiannya dengan menyepadukan sistem perkhidmatan awam lain seperti MRT, KTM dan KLIA Ekspres. Langkah ini dijangka akan meluaskan liputan dan mengurangkan kadar pelepasan merangkumi kawasan yang lebih luas.
Kerjasama ini bukan sahaja membuktikan komitmen Diolko dalam aspek kemampanan tetapi ia juga menetapkan penanda aras baharu bagi sistem logistik yang mesra alam di Malaysia. Dengan lebih banyak syarikat seperti iStore iSend mengutamakan pendekatan yang mesra alam, pendekatan inovatif Diolko dalam penghantaran perbatuan terakhir dijangka akan terus mengukuhkan kedudukannya sebagai peneraju dalam hala tuju industri yang beralih kepada masa depan yang lebih mampan.