Iskandar Puteri, 19 Jun 2024 – Iskandar Investment Berhad (IIB), pemaju induk Iskandar Puteri, melalui River Retreat Sdn Bhd, telah memeterai kerjasama strategik dengan TM-NXERA, usaha sama antara TM dan Singtel, untuk memperkasakan ekonomi digital dan membina masa depan yang mampan bagi rantau ini.
Kerjasama strategik dengan TM-NXERA dalam membangunkan infrastruktur digital yang mampan, berhiperhubung dan dikuasakan AI, dalam membangunkan infrastruktur AI dan digital yang canggih di Iskandar Puteri melakar satu peristiwa penting dalam usaha mereka mengorak langkah untuk menjadi peneraju Hab Digital dan Inovasi untuk Johor. Projek ini akan melibatkan pelaburan sekitar RM9 bilion oleh pihak-pihak yang akan membangunkan infrastruktur di Iskandar Puteri.
Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif, Iskandar Investment Berhad, berkata: “Keputusan TM-NXERA untuk mewujudkan infrastruktur AI dan digitalnya yang canggih di Iskandar Puteri merupakan satu pencapaian penting bagi komuniti kami. Ianya bukan sekadar pembangunan infrastruktur semata-mata; bahkan ianya tentang memupuk inovasi dan menggalakkan pertumbuhan di rantau ini.”
Mr Bill Chang, Ketua Pegawai Eksekutif NXERA dan unit Digital InfraCo Singtel, menyatakan: “Kami teruja untuk bekerjasama dengan IIB dalam membangunkan infrastruktur digital yang amat penting ini di Iskandar Puteri. Inisiatif ini sejajar dengan visi kami untuk memperkasakan ekonomi dan komuniti digital di seluruh rantau ini, dan kami yakin usaha ini akan menyerlahkan potensi yang luas untuk perniagaan di Johor dan Singapura.
Encik Amar Huzaimi Md Deris, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM berkata: “Langkah strategik ini mengukuhkan komitmen kami dalam memajukan teknologi dan memupuk inovasi di Malaysia. Johor merupakan destinasi utama bagi pengembangan infrastruktur digital TM yang dipacu oleh ketersambungan domestik dan antarabangsa kami yang mantap. Usaha sama ini merupakan langkah utama dalam misi kami untuk meletakkan Malaysia sebagai hab digital serantau dan ke arah visi kami untuk menjadi Penjana Pendigitalan menjelang 2030.
Kerjasama ini juga sejajar dengan agenda nasional Malaysia termasuk Rangka Tindakan MyDIGITAL, yang menekankan kepentingan infrastruktur digital dalam memacu kerajaan dan ekonomi yang didayakan secara digital. Selain itu, ianya mendokong matlamat negara untuk menarik RM70 bilion dalam pelaburan menjelang 2025, seperti yang digariskan dalam Rangka Induk MyDIGITAL dan Pelan Induk Perindustrian Nasional 2030.
Infrastruktur digital baharu ini akan menghasilkan pelbagai manfaat bagi Iskandar Puteri, membuka peluang dan mencipta nilai dalam pelbagai cara. Ianya akan menambah peluang pelaburan dengan menarik syarikat teknologi baharu dan merangsang pelaburan berasaskan teknologi. Selain itu, ia juga akan meningkatkan kemahiran tenaga kerja dengan menyediakan peluang kepada bakat tempatan untuk membangunkan kemahiran digital mereka.
Infrastruktur ini akan dibina dengan memberi fokus kepada kemampanan, sejajar dengan visi IIB untuk mewujudkan Net Zero Carbon CBD di Medini. Pembangunan ini akan mempertingkatkan ekosistem perniagaan dengan memudahkan pembangunan pelbagai industri dipacu teknologi dalam Iskandar Puteri. Tambahan pula, ianya akan menambah ketersambungan dasar laut antara Johor dan Singapura yang menyokong perkembangan ekonomi digital di kedua negara.
Dengan komitmen bersama untuk kemajuan dan kemakmuran di rantau ini, kerjasama strategik ini memperkukuhkan hubungan dinamik antara Johor dan Singapura, memantapkan usaha yang akan membuka jalan ke arah masa hadapan yang lebih cerah didaya inovasi dan pertumbuhan ekonomi.
Kedua-dua pihak yakin dengan kemampuan kerjasama ini yang bukan sahaja memperkukuh infrastruktur digital Iskandar Puteri tetapi juga menyerlahkan potensi menarik dalam inovasi dan peluang. Bersama-sama, mereka bertekad untuk menjadikan Iskandar Puteri sebagai gerbang pilihan ke Asia Tenggara serta mercu inovasi, kemampanan dan kemakmuran ekonomi.