Perkongsian strategik bertujuan untuk memantapkan kedudukan Medini sebagai destinasi utama bagi syarikat pemula dan PKS Korea di Asia Tenggara
Seoul, 30 September 2024 – Iskandar Investment Berhad (IIB) teruja untuk mengumumkan perkongsian strategik dengan KILSA Global bagi mempercepatkan kemasukan syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Korea ke Asia Tenggara. Kerjasama ini bukan sahaja bertujuan untuk meletakkan Medini dan Iskandar Puteri sebagai hab utama bagi inovator Korean tetapi juga untuk menarik bakat global, pelaburan, dan inovasi ke Johor seterusnya menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negeri Johor.
IIB, pemangkin tranformasi Iskandar Malaysia, terus membangunkan Medini sebagai hab urban mampan dengan fokus kepada teknologi, inovasi dan perkhidmatan perniagaan. Medini dan Iskandar Puteri menawarkan ekosistem kukuh yang menyokong industri canggih. Terletak hanya 45 minit dari Singapura, ketersambungan Medini akan dipertingkatkan tidak lama lagi dengan projek infrastruktur utama seperti Sistem Transit Rapid (RTS), Transit Aliran Autonomi (ART), dan Kereta Api Berkelajuan Tinggi (HSR) yang berpotensi. Projek-projek ini akan mengukuhkan hubungan Medini dengan Singapura serta pasaran ASEAN yang lain, memperkasakan peranannya sebagai pintu masuk utama bagi pelabur global dan sebagai landasan pelancaran ideal untuk perniagaan Korea di pasaran Asia Tenggara dengan lebih 660 juta orang dan gabungan KDNK sejumlah dolar AS 3 trilion.
Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif IIB berkata, “Kerjasama kami dengan KILSA Global membuka peluang baharu yang menarik untuk syarikat pemula dan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) Korea dalam mengukuhkah kewujudannya di Asia Tenggara, sambil menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi rantau ini. Di IIB, kami komited untuk memudahkan perniagaan Korea dengan menyediakan sokongan pelaburan yang komprehensif, menghubungkan mereka dengan agensi utama seperti Invest Johor, Malaysian Investment Development Authority (MIDA) dan Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) untuk proses persediaan yang lancar. Melalui perkongsian ini, kami berhasrat untuk memupuk ekosistem inovasi yang rancak yang mampu menggalakkan kerjasama antara perniagaan Korea, pemain industri tempatan dan institusi pendidikan. Ini akan membolehkan akses kepada bimbingan, rangkaian, dan peluang pembangunan bakat, memastikan inovator Korea mempunyai sumber, infrastruktur dan rangkaian untuk berkembang dan berjaya.”
Sebagai hab inovasi, Medini menganjurkan pelbagai inisiatif strategik seperti Tech Medini dan GBS Iskandar @ Medini, di mana pelbagai syarikat multinasional telah pun mengambil bahagian. Dengan pelaburan infrastruktur berjumlah lebih dolar AS 39 bilion, bandar ini telah menjadi pusat berkembang maju yang dilengkapi dengan fasiliti bertaraf dunia, menjadikannya lokasi ideal untuk perniagaan berkembang di rantau ini.
KILSA Global merupakan platform perkhidmatan pengembangan yang beribu pejabat di Singapura dengan kewujudannya yang kukuh di seluruh Asia Tenggara dan Korea. Syarikat ini pakar dalam membantu perniagaan memasuki pasaran dunia secara lancar dengan menawarkan perkhidmatan pengembangan setempat dan akses kepada rangkaian serantau yang luas. KILSA Global membolehkan pelanggannya membuka peluang yang pelbagai, mewujudkan kehadiran pasaran, dan mempercepatkan pertumbuhan dengan pelaburan yang minimum.
Mr. Philip Jongseok Park, Pengarah Urusan KILSA Global menambah, “Kerjasama ini menyediakan perniagaan Korea gerbang ke salah satu wilayah yang paling pesat berkembang di dunia. Dengan lebih 30,000 PKS Korea sedang aktif mencari pengembangan luar negara dan menyumbang kepada lebih daripada 99% landskap perniagaan Korea, Asia Tenggara menyediakan peluang yang begitu besar. Ekonomi digital rantau ini dijangka akan mencapai dolar AS 300 bilion menjelang 2025, dan kami teruja untuk menghubungkan syarikat pemula dan PKS Korea dengan potensi besar yang ditawarkan Medini dan Iskandar Puteri, terutamanya dalam ruang teknologi dan inovasi.”
Menerusi inisiatif strategik seperti ini, IIB bukan sahaja memudahkan pertumbuhan perniagaan tetapi juga menyumbang kepada transformasi Johor dengan menarik bakat antarabangsa, memupuk inovasi, dan merancakkan industri tempatan. IIB kekal komited untuk membina metropolis masa hadapan yang mampan dan inklusif di Johor.