Iskandar Puteri, 27 Mac 2024 – Iskandar Investment Berhad (IIB), pemaju induk Iskandar Puteri, menggariskan komitmennya yang dalam mendukung prinsip Alam Sekitar, Sosial, dan Tadbir Urus (ESG). Keazaman ini dibuktikan melalui perjanjian kerjasama strategik dengan Cenergi SEA Berhad (Cenergi), anak syarikat UEM Group Berhad, yang telah dimeterai dalam satu majlis pertukaran dokumen yang dihadiri oleh Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB, dan Hairol Azizi Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Berhad.
Kerjasama strategik ini menandakan satu langkah penting bagi rancangan IIB untuk penubuhan Net Zero Carbon Central Business District (CBD) di rantau itu yang menumpukan pada digital, inovasi, dan perkhidmatan perniagaan global (GBS) di Medini. Sebagai peneraju sektor tenaga bersih, Cenergi akan membawakan kepakarannya yang luas merentasi keseluruhan spektrum penyelesaian mampan. Model perniagaan mereka yang diiktiraf oleh industri merangkumi tiga bidang utama iaitu Tenaga Boleh Diperbaharui, Kecekapan Tenaga, dan Usaha Niaga Baharu.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim berkata, “Kami berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan Cenergi dan memanfaatkan sepenuhnya kepakaran luas mereka dalam penyelesaian tenaga mampan. Kerjasama ini, bersama dengan usaha kolektif sepuluh rakan kongsi yang kami hormati, menandakan detik penting dalam perjalanan kami menuju aspirasi sifar bersih kami di Medini. Dengan gabungan semua kepakaran yang ada, kami yakin dapat membuat kemajuan yang signifikan ke arah mewujudkan net zero carbon CBD pertama yang menumpukan kepada digital, inovasi, dan GBS. Ini merupakan langkah penting ke arah membina masa depan yang lebih mampan, dan kami komited untuk merealisasikan aspirasi ini demi kebaikan generasi akan datang.”
Objektif kerjasama ini adalah untuk menggabungkan kepakaran yang dimiliki oleh IIB dan Cenergi bagi menjayakan pelbagai inisiatif penerokaan tenaga boleh diperbaharui (RE). Ini termasuklah penerokaan menggunakan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) untuk mencapai matlamat kemampanan IIB yang terdekat. Dengan menggabungkan kepakaran pembangunan IIB dan pengetahuan luas Cenergi mengenai penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, kerjasama ini akan mempercepatkan lagi pewujudan net zero carbon CBD Medini.
Sasaran utamanya adalah mencapai sokongan penggunaan tenaga boleh diperbaharui sebanyak 50% merentasi semua aset IIB menjelang 2030. Matlamat besar ini akan dijayakan menerusi pendekatan serampang dua mata:
Pelan hala tuju IIB ke arah sifar bersih tidak terhenti pada tenaga boleh diperbaharui sahaja, ia turut merangkumi lima vertikal strategik yang termasuk bidang tumpuan inisiatif ESG utama IIB seperti Tenaga, Sisa, Air, Bangunan Hijau, dan Mobiliti Mampan. Kesemua tonggak ini menandakan fokus utama inisiatif ESG IIB. Inisiatif ini menjadi pelengkap kepada kerjasama yang diumumkan sebelum ini dengan tujuh pemain industri kenderaan elektrik (EV), mengukuhkan lagi komitmen IIB untuk mewujudkan sebuah ekosistem mampan yang komprehensif di Medini, Iskandar Puteri.
Cenergi menawarkan rangkaian keupayaan yang komprehensif, merangkumi reka bentuk, pembinaan, kepakaran teknikal, pilihan pembiayaan, dan sokongan operasi. Selain itu, penglibatan mereka dalam aktiviti Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) selari dengan usaha penyelesaian mampan IIB.
Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif IIB, Dato’ Idzham Mohd Hashim menegaskan, “IIB berpegang teguh kepada komitmennya untuk mencapai matlamat mampan kami, dan kerjasama dengan Cenergi ini merupakan satu langkah penting ke hadapan dalam merealisasikan objektif ini. Kami berbangga untuk menerajui usaha ke arah masa depan yang mampan di rantau ini, menunjukkan kepimpinan yang utuh dalam menjaga alam sekitar untuk generasi akan datang.”
“Di IIB, kami sedar dan mengakui bahawa mencapai pelepasan karbon sifar bersih memerlukan usaha bersepadu daripada semua segmen masyarakat. Pendekatan kerjasama ini adalah penting dalam merealisasikan aspirasi jangka panjang kami. Kami bertekad untuk mencapai kejayaan dalam bidang yang serba mencabar ini, dengan sokongan rakan strategik kami. Dengan pelbagai cabaran besar yang menanti di hadapan, IIB mengalu-alukan kerjasama strategik dan libat urus dengan semua pemegang taruh termasuk agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan, institusi kewangan, organisasi global, institusi swasta, rakan strategik, pakar akademik, dan juga ahli sains,” tambah Dato’ Idzham lagi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi SEA Berhad, Hairol Azizi Tajudin berkata, “Kerjasama kami dengan IIB merangkumi dua objektif utama iaitu menyediakan Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (REC) untuk memantapkan inisiatif hijau IIB dan membekalkan tenaga solar untuk menjana kuasa Medini Zon Karbon Sifar Bersih (NZCC) dan Zon RE IIB, selaras dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR). Menerusi kerjasama ini, kami menyasarkan untuk menyokong komitmen IIB terhadap kemampanan dan menyumbang kepada pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui di rantau ini.”
Cenergi menyertai pemain industri lain termasuk Maybank, Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC), Nano Malaysia Bhd, Handal Indah Sdn Bhd, Handal Green Mobility Sdn Bhd, Kumpool Sdn Bhd, Yinson Green Technologies (M) Sdn Bhd, GO TO U (M) Sdn Bhd, and UN Global Compact Network Malaysia dan Brunei (UNGCMYB), untuk bekerjasama dengan IIB dalam perjalanan mereka ke arah mewujudkan net zero carbon CBD.