Industri Kreatif Mahu Kesinambungan Geran Kerajaan, Pinjaman, Sokongan dan Peluang Pekerjaan dalam Belanjawan 2021

Kuala Lumpur, 5 November 2020 – Geran dan pinjaman, sokongan pemasaran dan promosi serta peluang pekerjaan adalah tiga keutamaan dalam senarai harapan industri kreatif Malaysia untuk Belanjawan 2021 yang akan datang, menurut tinjauan pendapat yang dilakukan oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd (MyCreative) pada bulan Oktober.

Bertajuk “Harapan Peserta Ekonomi Kreatif Malaysia untuk Belanjawan 2021”, tinjauan itu mendapat maklumbalas daripada 365 pengamal kreatif dan perniagaan mewakili antara salah satu sektor yang paling terkesan dengan wabak pandemik Covid-19, berharap akan mendapat sokongan Kerajaan dalam Belanjawan yang akan dibentangkan di Parlimen Jumaat ini.

Ini dibuktikan dengan fakta 70% responden memilih Geran dan Pinjaman Kerajaan sebagai keutamaan dalam harapan mereka. Turut menjadi agenda utama adalah permintaan bantuan untuk pemasaran dan promosi dengan 42.2% serta peluang pekerjaan dengan 39.5% menyenaraikannya sebagai antara keutamaan mereka.

Kayu ukur Kerajaan yang diklasifikasikan ‘sangat penting’ dari responden adalah termasuk :
• Menyertakan sektor kreatif, seni dan budaya sebagai sektor penting dalam Pelan Pemulihan COVID-19 negara (81 peratus)
• Memastikan sokongan terhadap organisasi kebudayaan dapat dinikmati artis dan profesional kreatif lain yang bekerja sendiri (80.8 peratus)
• Membentuk sektor ekonomi yang lebih mapan untuk membangunkan karier dan perniagaan. (80.1 peratus)

Berdasarkan kelangsungan ekonomi dan kewangan mereka, sebilangan responden juga berpendapat bahawa Kerajaan harus mengambil langkah-langkah memajukan Ekonomi Kreatif secara mapan supaya dapat memberi manfaat ekonomi dan sosial.

Cadangan lain dari responden adalah supaya pihak berwajib ‘fokus pada seni dalam pembelajaran untuk mencungkil bakat untuk masa depan ekosistem kreatif’.

Pengerusi MyCreative, Mohd Naguib berkata, “Dalam masa sukar ini, kita perlu merancakkan kembali industri kreatif – supaya menjadi berdaya tahan dari kesan wabak pandemik ini dan terus menyuarakan pendapat yang mempunyai konteks dan pengisian dalam memperjuangkan kesusahan rakyat dalam negara. Kelangsungan bakat-bakat baru dan transformasi atau penyesuaiannya dengan norma baru juga adalah penting tetapi kami berharap ianya dapat dicapai dengan perbelanjaan kewangan yang berhemah dan mapan. Dalam Belanjawan 2021 yang akan datang, MyCreative berharap dan bersedia untuk membantu dalam memberikan penyelesaian kepada isu-isu yang diketengahkan dalam tinjauan pendapat, terutamanya dengan menawarkan latihan, peningkatan kemahiran dan pengembangan kecekapan dan keterampilan yang bernilai selama tempoh pekerjaan atau aktiviti perniagaan mereka yang terkesan.”

“Kami juga berharap agar ‘Pelan PENJANA untuk Industri Kreatif’ dapat diperluaskan lagi, terutamanya untuk sektor-sektor yang telah mendapat banyak permohonan dan cadangan yang baik, seperti muzik, seni persembahan, seni tradisional & kraf, filem dan sastera, untuk terus menyokong mereka,” tambahnya.

Pengamal kreatif masih boleh mendapatkan sokongan melalui pelbagai program dan inisiatif di bawah MyCreative seperti Geran Pemasaran dan Promosi Digital, Geran Pemasaran dan Promosi Digital (GPPD) , Program Halaju Digital, Geran Pemulihan Industri Kreatif (GPIK), Inisiatif Pemulihan CENDANA, pinjaman mudah termasuk Pinjaman Pengantaraan Bagi Pernerbit Kandungan Industri Kreatif (PPKK), Pinjaman Mikro Bagi Usahawan Kreatif (PMUK), dan Pinjaman Pemulihan Perniagaan Industri Kreatif (PPPK), serta Pinjaman Pelaburan.

Mohd Naguib merumuskan, “Kami memahami bahawa ini adalah masa yang sukar bagi perniagaan dan individu, tetapi saya berharap kita dapat memberikan semangat dan sokongan kepada pengamal kreatif yang terjejas teruk oleh wabak pandemik ini dengan terus memberi inspirasi kepada mereka mencari peluang-peluang baru serta kolaborasi, baik secara digital atau dalam talian melalui pelbagai program kemahiran yang ditawarkan oleh MyCreative.”

Untuk maklumat lanjut berkenaan program-program Mycreative di bawah peruntukan PENJANA, layari www.mycreative.com.my/penjana.

Industri Kreatif Mahu Kesinambungan Geran Kerajaan, Pinjaman, Sokongan dan Peluang Pekerjaan dalam Belanjawan 2021
© 2023 BlackButterfly DesignArts