Institusi pemenang anugerah membuka jalan kepada tafsiran kesihatan yang lebih meluas untuk memupuk kerjasama lebih erat di antara disiplin
Kuala Lumpur, 10 Mei 2024 – IMU University (dahulunya dikenali sebagai International Medical University) mengambil langkah berani dan penuh yakin ke hadapan dengan menampilkan jenama dan hala tuju baharu yang lebih strategik dan inklusif sejajar dengan konsep One Health yang didukung oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
One Health memperjuangkan tafsiran kesihatan lebih meluas dan inklusif dengan mengiktiraf kaitan rapat dan hubungan bersama yang wujud di antara manusia, haiwan dan ekosistem. Dengan berbuat demikian, ia memperjuangkan kerjasama dan penyelarasan yang lebih besar antara pelbagai bidang dalam menghadapi penyakit baru muncul, selain bertujuan untuk menangani peranan aktiviti manusia dalam perubahan iklim.
Menerusi semangat yang sama, IMU University akan mengembangkan himpunan programnya dengan merangkumkan aliran pendidikan tambahan, termasuk aliran bukan sains dan kesihatan haiwan, yang menyokong tafsiran yang lebih luas tentang One Health.
“Dalam dunia yang saling berkaitan, penjagaan kesihatan tidak boleh wujud dalam ruang vakum. Dengan mengguna pakai pendekatan pendidikan yang lebih holistik, kami menerima kepelbagaian yang semakin berkembang dalam penjagaan kesihatan supaya dapat menawarkan peluang pembelajaran dan kerjaya yang lebih luas dalam disiplin seperti perniagaan, teknologi dan sains sosial kepada pelajar kami. Dengan demikian, kami menyasarkan untuk memupuk profesional masa hadapan, cendekiawan, penggubal dasar dan pemimpin industri yang didorong oleh tujuan iaitu untuk memberi kesan positif kepada masa hadapan penjagaan kesihatan,” kata Profesor Gerard George, Pengarah Urusan Kumpulan IMU University.
Penjenamaan semula tersebut menandakan langkah seterus universiti dalam menuju tahun ke-32 sebagai sebuah universiti perubatan dan sains kesihatan swasta pertama dan ternama di Malaysia. Sejak penubuhannya, IMU University sentiasa memacu sempadan kecemerlangan dan berkembang menjadi sebuah universiti perubatan swasta yang mencapai status akreditasi sendiri daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). Dalam semakan terbaharu MQA, IMU University tersenarai antara lapan institusi terbaik negara dan reputasinya terus terjamin dengan penerimaan anugerah tertinggi SETARA (Sistem Penarafan Institusi Pengajian TinggiMalaysia) untuk kali ketiga berturut-turut.
Sebagai tanda pengiktirafan kepada pencapaian tersebut, IMU University mengekalkan elemen utama di dalam logo jenamanya untuk menunjukkan kesinambungan institusi, dengan Rod of Asclepius yang tersendiri sebagai bukti kekal legasinya dalam penjagaan kesihatan, manakala glob mewakili cita-citanya yang berterusan untuk memupuk pemimpin berkaliber antarabangsa melalui pendidik bertaraf dunia, inovasi dinamik dan perkongsian global yang kolaboratif.
“Kehadiran dan pengalaman kami yang mapan dalam pendidikan penjagaan kesihatan menjadikan IMU University sebagai pilihan strategik bagi mereka yang mahu mendapatkan pemahaman yang luas tentang kemahiran dan pengetahuan antara disiplin yang berkaitan dengan ekosistem penjagaan kesihatan, untuk kerjaya lebih memuaskan dan memberi kesan,” jelas Profesor Gerard.
Penjenamaan semula dengan pemikiran ke hadapan ini diharapkan dapat menyerlahkan ketangkasan dan komitmen berterusan IMU University dalam memperjuangkan ekuiti kesihatan dan kualiti hidup untuk dunia yang lebih baik melalui kecemerlangan dalam pendidikan, penyelidikan dan inovasi. Bersama-sama dengan tumpuan yang diperbaharui untuk kemampanan, ekuiti kesihatan dan kewarganegaraan global, institusi ini menyasarkan untuk membuka jalan ke hadapan, ke arah matlamatnya untuk disenaraikan dalam kalangan 500 universiti terbaik global.
Untuk maklumat lanjut mengenai IMU University, layari www.imu.edu.my.