IMU & Hospital Tuanku Ja’afar Mempersedia Orang Awam Untuk Kecemasan Kesihatan

Acara Setengah Hari Bersama Orang Awam Menunjukkan Teknik Menyelamatkan Nyawa Berdasarkan Pelbagai Senario Kecemasan

Seremban, 5 September 2022 – Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), universiti sains kesihatan swasta yang pertama dan terkemuka di Malaysia, dengan kerjasama Hospital Tuanku Ja’afar Seremban, telah menganjurkan hari kesihatan awam bertujuan mendidik orang ramai tentang cara untuk bertindak dengan pantas semasa bencana dan kecemasan.

Acara separuh hari yang diadakan di Kompleks Belia dan Sukan Paroi itu dirasmikan oleh EXCO Kerajaan Negeri Sembilan dan Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan YB Tuan Veerapan A/L Superamaniam, yang mewakili Menteri Besar Negeri Sembilan.

IMU & Hospital Tuanku Ja’afar Mempersedia Orang Awam Untuk Kecemasan Kesihatan
YB Veerapan Superamaniam demonstrating CPR

Acara ini merupakan program pendidikan dan kesedaran awam terbesar yang pertama tentang pengurusan bencana dan kecemasan kesihatan yang dimulakan oleh IMU sebagai sebahagian daripada projek khidmat masyarakat.

Pada majlis itu, orang ramai dengan bantuan sukarelawan dari Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) dan kakitangan Hospital Tuanku Ja’afar Seremban telah diajar tentang pelbagai teknik menyelamatkan nyawa semasa kecemasan. Ini termasuk resusitasi kardiopulmonari (CPR), yang berguna untuk kecemasan seperti serangan jantung atau hampir lemas; tekanan dada bagi sesiapa yang tercekik; penstabilan anggota badan sebelum menggerakkan seseorang yang mengalami patah tulang; dan langkah penjagaan dan keselamatan yang lain.

Menurut Prof Datuk Lokman bin Sulaiman, Pro Naib Canselor, Penyelidikan, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU), acara itu dianjurkan sebagai sebahagian daripada khidmat komuniti berterusan IMU dalam mendidik orang ramai untuk membantu menyelamatkan nyawa semasa kecemasan atau bencana.

“Sesiapa sahaja yang berada dalam keadaan kecemasan boleh menjadi penggerak balas utama jika mereka dilengkapi dengan teknik menyelamatkan nyawa dan lebih banyak nyawa boleh diselamatkan dengan teknik yang betul sementara menunggu ketibaan paramedik.”

 “Pada tahun 2020, punca kematian tertinggi dalam kalangan orang dewasa ialah Penyakit Jantung Iskemia (IHD). Lemas dalam kalangan kanak-kanak berumur lima tahun dan ke bawah menduduki tempat keempat. Sebahagian daripada kematian ini boleh dielakkan jika tindakan dapat diambil segera oleh ibu bapa, ahli keluarga atau orang awam,” katanya lagi.

Fakulti Perubatan IMU yang mengambil bahagian dalam demonstrasi kecemasan terdiri daripada Obstetrik & Ginekologi, Pediatrik, Ortopedik, Oftalmologi, ENT, Pembedahan Am, Perubatan Keluarga dan Perubatan.

Acara yang turut diadakan sempena Ulang Tahun ke-30 IMU yang bertemakan ‘Memupuk Pemimpin Hari Ini’, IMU berharap dapat melahirkan lebih ramai penggerak balas pertama dalam kalangan orang ramai yang akan memimpin dan membantu semasa kecemasan bagi membantu menyelamatkan lebih banyak nyawa.

Khadijah Kubra binti Nor Firdaus yang menyertai acara hari ini juga menjadi sukarelawan untuk demonstrasi kecemasan. Beliau berasa amat gembira kerana dapat mempelajari teknik pertolongan cemas.

“Kita harus mengetahui pertolongan cemas supaya dapat memberi pertolongan semasa kecemasan. Acara hari ini amat berguna dan saya berharap lebih ramai akan menyertai program seperti ini dan pelajarilah dari pakar perubatan dan bukan dari YouTube,” ujar beliau.

Roslan bin Haji Khalili, seorang lagi sukarelawan dikalangan peserta acara hari ini berkata acara sebegini harus diadakan dengan lebih kerap bagi orang awam supaya lebih ramai dengan pengetahuan pertolongan cemas dapat menghulurkan pertolongan semasa kecemasan.

Tentang International Medical University

Ditubuhkan pada 1992, Universiti Perubatan Antarabangsa (IMU) ialah sebuah universiti perubatan dan sains kesihatan swasta yang pertama dan paling terkenal di Malaysia. Hari ini, IMU menawarkan 41 program profesional kesihatan di peringkat pra-universiti, prasiswazah dan pascasiswazah dalam bidang Perubatan, Pergigian, Farmasi, Sains Kesihatan dan Pengajian Pasca Siswazah. IMU telah mewujudkan rangkaian global yang kukuh yang menyediakan pelajar peluang pembelajaran dan latihan yang lebih luas melalui perjanjian pemindahan kreditnya dengan 36 buah universiti berprestij di seluruh dunia. Di IMU, pelajar bercita-cita untuk menjadi pakar penjagaan kesihatan masa depan yang komited kepada pembelajaran sepanjang hayat dan disemai dengan semangat kewarganegaraan yang baik, kepimpinan dan tingkah laku beretika.

Pada tahun 2017 dan 2019, IMU telah dianugerahkan penarafan 6 bintang SETARA dwitahunan (Berdaya Saing Tinggi) di bawah Universiti Matang oleh Kementerian Pengajian Tinggi Kami juga dinilai sebagai universiti 5 bintang oleh Kedudukan Universiti Dunia Quacquarelli Symonds (QS).

Meraikan Ulang Tahun ke-30 kami pada tahun 2022 dengan tema ‘Memupuk Pemimpin Hari Ini’, kami kekal fokus pada falsafah utama yang membimbing pengasas kami; Akses kepada pendidikan sains kesihatan berkualiti, inovasi dan imaginasi sebagai asas, serta pandangan dan refleksi berterusan untuk menggambarkan dan merealisasikan masa depan IMU. Pelan strategik kami bertujuan untuk mengukuhkan kepimpinan kami dalam pendidikan perubatan dan penjagaan kesihatan melalui kualiti dan memastikan penyampaian dan penawaran kami sejajar dengan keperluan masyarakat dan era digital.

Untuk maklumat lanjut sila layari laman web IMU di www.imu.edu.my atau blog di http://imunews.imu.edu.my.

© 2023 BlackButterfly DesignArts