[Johor Bahru, Malaysia – 5 October 2023] – IKEA Tebrau dan Pusat Beli-belah Toppen telah mengumumkan kerjasama dengan Johor Darul Ta’zim FC (JDT), yang turut dikenali sebagai Harimau Selatan.
Kerjasama yang mengujakan ini bertujuan menyemarakkan minat terhadap bola sepak dan memperkukuh hubungan komuniti dalam persekitaran suasana bola sepak yang berkembang pesat di Johor.
Sebagai suatu komponen penting kerjasama ini, Toppen bakal menjadi destinasi kepada rumah kelab peminat khusus di atas bumbung terbuka pusat beli-belah ini, iaitu The Topp. Dijadualkan untuk dibuka pada awal tahun 2024, rumah kelab ini akan menampilkan gudang barangan dan ruang yang direka khusus untuk peminat JDT berhimpun di luar stadium. Toppen kini sedang dalam proses untuk mendapatkan tayangan langsung semua perlawanan JDT, yang akan menjadikannya destinasi tunggal di Johor, selain stadium JDT, yang membolehkan peminat menikmati tayangan langsung perlawanan JDT secara konsisten bersama-sama dengan rakan penggemar. Butiran kerjasama itu diumumkan pada sidang media yang diadakan di Ibu Pejabat JDT pada 5 Oktober 2023.
Sementara itu, IKEA Tebrau sedang memuktamadkan suatu konsep unik yang menawari para peminat peluang untuk menikmati makanan IKEA kegemaran mereka sambil menghayati inspirasi perabot rumah, yang mengambil tempat di stadium JDT. Komponen lain kerjasama ini merangkumi penyelesaian reka bentuk IKEA for Business bagi kawasan-kawasan penting di stadium JDT, dan promosi khas untuk peminat JDT di IKEA Tebrau.
Kerjasama ini ditunjangi oleh wawasan yang dikongsi bersama untuk menggalakkan komuniti menjalani gaya hidup yang aktif. Di Toppen, komitmen ini dicerminkan oleh pelbagai kemudahan di atas bumbung terbuka di The Topp, yang merangkumi gelanggang untuk pelbagai tujuan, taman luncur, dan tembok mendaki percuma hinggalah pelbagai aktiviti yang dianjurkan daripada kelas Zumba mingguan hinggalah larian komuniti. Hal ini disokong seterusnya oleh gabungan penyewa kukuh yang menjadikan sukan dan kesejahteraan lebih mudah diakses oleh orang ramai.
Arnoud Bakker, Pengarah Komersial, Ikano Centres, berkata, “Destinasi pertemuan Ikano Centres bukan sekadar destinasi untuk membeli-belah semata-mata. Kami komited untuk mempertingkatkan pengalaman untuk komuniti kami, dan kerjasama ini merupakan pengembangan secara semula jadi bagi misi kami dalam mewujudkan destinasi yang melibatkan dan menginspirasikan para pengunjung kami. Sememangnya dimaklumi bahawa sukan mempunyai kuasa yang unik dalam menyatukan masyarakat dan memupuk perhubungan, dan inilah sebabnya destinasi kami komited terhadap pembinaan komuniti. Kami teruja untuk bekerjasama dengan JDT dalam memperkukuh hubungan kami dengan para peminat bola sepak di Selatan Malaysia dan mewujudkan rumah kedua bagi penyokong JDT di Johor Bahru.”
Tony Vatuiu, Pengurus Cawangan IKEA Tebrau, berkata, “Matlamat kami adalah untuk membentuk kehidupan seharian yang lebih sejahtera untuk warga Johor dengan kelengkapan rumah yang direka dengan baik, berfungsi, serta berkualiti pada harga yang berpatutan. Kami amat bersukacita kerana berpeluang menjadikan IKEA Tebrau lebih mudah diakses melalui kerjasama ini. Saya benar-benar merasakan bahawa kerjasama antara IKEA Tebrau, Toppen, dan JDT akan menjadi ‘pasukan idaman’ jenama yang digemari ramai.”
Sinergi antara jenama ini melangkaui minat mereka terhadap bola sepak dan merangkumi semangat kerjasama dan kekitaan, sekali gus menggambarkan inti pati sukan itu sendiri.
“JDT berasa gembira untuk bekerjasama dengan IKEA Tebrau dan Toppen dalam misi bersama kami dalam menyatupadukan komuniti menerusi kuasa sukan. Kerjasama ini bukan hanya mengenai perlawanan sukan, malah juga mengenai usaha mencipta rasa kekitaan dan keterujaan untuk para peminat kami.”, jelas Alistair Edwards, Ketua Pegawai Operasi JDT.
Pada awal tahun ini, IKEA Tebrau dan JDT bekerjasama secara eksklusif dengan Toppen untuk Pelancaran Fan Token, yang menampilkan sesi ramah mesra (meet and greet), barangan JDT eksklusif, tayangan perlawanan langsung, dan aktiviti bertemakan bola sepak yang menarik untuk pembeli-belah.
Sementara butiran penuh kerjasama sedang dimuktamadkan, komponen lain kerjasama merangkumi acara penting yang menampilkan jenama dan pemain JDT di IKEA Tebrau dan Toppen, anugerah peminat setia, kehadiran jenama di stadium JDT, komitmen CSR berkala antara ketiga-tiga jenama, forum yang berterusan untuk perkongsian pengetahuan mengenai bidang-bidang seperti pengurusan fasiliti dan operasi, keselamatan dan sekuriti, serta pengurusan projek.
Untuk butiran lanjut, sila layari www.toppen.my.