IKEA Malaysia Umum Fokus Strategik 2025: Kemampumilikan dan Pertumbuhan Omni-saluran yang Lestari

IKEA Mengukuhkan Komitmen terhadap Kemampumilikan, Kelestarian, dan Mewujudkan  Kehidupan Sehari-hari yang Lebih Baik untuk Rakyat Malaysia

IKEA Malaysia Umum Fokus Strategik 2025: Kemampumilikan dan Pertumbuhan Omni-saluran yang Lestari

Batu Kawan, 12 September 2024 – Hari ini, IKEA Malaysia mengadakan acara IKEA Blueprint 2025 sulungnya di IKEA Batu Kawan, yang mengumumkan fokus utama syarikat itu bagi tahun 2025.

Meskipun pasaran runcit kian memulih, kemampumilikan terus menjadi fokus IKEA, sekali gus menonjolkan komitmen syarikat itu untuk mamastikan lebih ramai rakyat Malaysia mampu memiliki kelengkapan rumah yang berkualiti dan lestari. Selain pelan untuk terus memacu pertumbuhan omni-salurannya, IKEA turut menjadikan tidur sebagai tawaran strategik dan mengumumkan koleksi baharu yang dinanti-nantikan oleh pelanggan.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, “Di IKEA, visi kami tidak pernah berubah, iaitu mewujudkan kehidupan sehari-hari yang lebih baik buat ramai orang. Dengan kos yang kian meningkat, matlamat untuk memenuhi impian dan keperluan orang ramai lebih kukuh berbanding sebelum ini. Sama ada  ia tentang penjimatan kos, cabaran ruang hidup yang lebih kecil, ataupun keinginan untuk tidur lebih lena. Pada tahun 2025, kami tetap komited untuk membantu pelanggan kami mewujudkan kehidupan lebih baik di rumah, dan menjadikannya lebih mampu milik daripada apa yang dibayangkan,” tambahnya.

Kemampumilikan Berbanding Keuntungan                                                  

Menurut laporan “IKEA Life at Home 2023”, lebih daripada satu pertiga rakyat Malaysia mendedahkan bahawa kewangan isi rumah dan pendapatan boleh guna mereka adalah kebimbangan utama (38%), diikuti kegusaran terhadap keadaan ekonomi (36%).

“Kemampumilikan adalah asas perniagaan IKEA. Dalam iklim ekonomi semasa, kami sedar orang ramai kini lebih berhemat dalam perbelanjaan untuk kelengkapan rumah. Oleh itu, seiring dengan penurunan inflasi, kami percaya ini adalah masa terbaik untuk peruncit seperti IKEA melabur dalam kemampumilikan harga, dan bukannya keuntungan, bagi memastikan seramai mungkin orang mampu memiliki penyelesaian kelengkapan rumah yang menepati keperluan mereka,” kongsi Pruys.

Justeru, pada tahun akan datang, IKEA menjadikan ribuan lagi produknya lebih mampu milik. Peruncit kelengkapan rumah itu telah memperkenalkan ‘Harga Baharu Lebih Rendah’ untuk lebih 2,000 produk paling popular, susulan penurunan harga bagi lebih 300 produk pada awal tahun ini. Pruys menjelaskan bahawa ‘Harga Baharu Lebih Rendah’ bukannya diskaun, tetapi satu janji yang menjiwai falsafah IKEA, iaitu ‘kelengkapan rumah yang bermutu tinggi harus dinikmati semua orang’.

Menyusun Strategi Kelestarian

Selain itu, IKEA juga berusaha menjadikan penyelesaian mampu miliknya diakses oleh lebih ramai rakyat Malaysia menerusi cara lebih lestari. Sentiasa memimpin melalui teladan, IKEA tahun ini terus melipatgandakan komitmennya terhadap kelestarian.

Dalam langkah penting untuk mengurangkan jejak alam sekitar, IKEA akan menambah 9 kenderaan elektrik (EV) kepada armadanya untuk ‘penghantaran jarak terakhir’ menjelang akhir tahun 2024, menjadikannya sejumlah 12 EV. Malah, syarikat itu juga merancang untuk menambah lagi 10 lagi EV pada tahun 2025, bagi mempercepat usahanya ke arah mencapai penghantaran rumah yang lestari 100% menjelang tahun 2030.

Pruys menambah, “Dengan e-dagang menyumbang 16.5% daripada jumlah pendapatan pada tahun kewangan 2024, pengembangan armada EV kami adalah kunci kepada strategi pertumbuhan omni-saluran kami. Sebanyak 8,567 penghantaran telah dibuat melalui EV pada tahun lalu, dan kami teruja untuk melihat angka ini meningkat dalam peralihan IKEA kepada penyelesaian penghantaran yang lebih lestari.”

Tingkatkan Kehidupan di Rumah Anda: Tawaran IKEA 2025

IKEA telah memperkenalkan pelbagai tawaran baharu dan strategik untuk tahun 2025. Daripada koleksi baharu hingga kepada penyelesaian tidur yang mampu milik, pastinya ada sesuatu untuk setiap orang.

Mengiktiraf kepentingan tidur untuk kehidupan sehari-hari yang lebih baik, IKEA menumpukan fokus khusus pada tidur tahun ini. Laporan ‘IKEA Life at Home’ mendapati, lebih daripada satu pertiga rakyat Malaysia menganggap tidur sebagai kunci penting untuk memelihara kesejahteraan mental di rumah, manakala kajian daripada ‘Asian Journal of Medicine and Health Sciences’ mendedahkan 9 daripada 10 rakyat Malaysia mengalami insomnia. Selaras dengan Festival Tidur IKEA yang berlangsung sepanjang bulan September di semua gedung IKEA, IKEA memfokuskan pada keperluan asas yang mampu milik bagi membantu rakyat Malaysia mendapat tidur berkualiti.

IKEA Malaysia Umum Fokus Strategik 2025: Kemampumilikan dan Pertumbuhan Omni-saluran yang Lestari
IKEA Malaysia Umum Fokus Strategik 2025: Kemampumilikan dan Pertumbuhan Omni-saluran yang Lestari
IKEA Malaysia Umum Fokus Strategik 2025: Kemampumilikan dan Pertumbuhan Omni-saluran yang Lestari

Koleksi baharu, SKOGSDUVA, BRÄNNBOLL dan GRAFJÄLLET

Pelanggan juga boleh menantikan koleksi baharu daripada IKEA pada 2025, yang direka khas bagi memenuhi keperluan pelbagai pelanggan dari semua lapisan umur. Ini termasuk BRÄNNBOLL untuk pemain permainan digital amatur, koleksi SKOGSDUVA untuk kanak-kanak yang berinspirasikan keajaiban hutan, dan barangan fungsian daripada koleksi GRAFJÄLLET. Selain itu, IKEA turut bekerjasama dengan sebuah perusahaan sosial bagi menyokong komuniti seniman wanita yang terlibat dalam koleksi MÄVINN-nya, yang menampilkan kraf buatan tangan seperti bakul, permaidani dan sarung kusyen. Bukan itu sahaja, IKEA akan membawa kembali kegemaran bermusim seperti FOSSTA, VINTERFINT, dan GOKVÄLLÅ bagi menceriakan lagi musim perayaan anda.

“Tahun kewangan 2025 menjanjikan pelbagai pelan yang menarik. Kami sangat teruja dengan apa yang akan datang, sementara kami terus mengutamakan penyediaan produk yang mampu milik, lestari, dan inovatif untuk pelanggan kami. Kami tidak sabar lagi untuk mengalu-alukan lebih ramai rakyat Malaysia menyertai IKEA Family dan menjadikan IKEA sebagai destinasi utama mereka bagi penyelesaian kelengkapan rumah yang berkualiti,” demikian akhiri Pruys.

© 2024 BlackButterfly DesignArts