Program myHome IJM Land sasar meningkatkan kehidupan golongan kurang bernasib baik
Seremban, 23 November 2022 – Setiap insan sudah pasti mengimpikan suasana kediaman yang selesa dan bahagia ibarat syurga. Demi memenuhi keperluan mereka, IJM Land Berhad, pemaju hartanah terkemuka di Seremban 2, berpegang teguh pada misi mereka untuk menyediakan kediaman yang selesa untuk golongan kurang berkemampuan dan mereka telah mengejutkan lima sekeluarga yang tinggal di Seremban dengan rumah yang telah diubah suai sepenuhnya melalui Program Pemulihan Rumah (myHome) tahunan mereka.
Slogan IJM Land iaitu “Bringing Life to Ordinary Spaces” mencerminkan usaha syarikat tersebut untuk mewujudkan mahligai yang indah lagi selamat untuk keluarga yang memerlukan. Diketuai oleh Encik Chai Kian Soon, Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad, program amal tersebut kini kembali untuk tahun ke-13 untuk meningkatkan kehidupan seorang ibu tunggal berusia 42 tahun, Puan Wan Chew Liean. Beliau dibelenggu kesusahan setelah kematian suami beliau secara tiba-tiba akibat kegagalan jantung dan paru-paru pada tahun 2020. Kini, Puan Wan berusaha membesarkan empat orang anaknya hanya dengan pendapatan sebagai pengedar surat khabar.
Walaupun dengan penerimaan bantuan kewangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Puan Wan masih tidak mampu menampung perbelanjaan membaiki rumahnya yang rosak akibat ribut dan serangan anai-anai.
“Kali pertama kami bertemu Puan Wan sekeluarga adalah semasa program amal Tahun Baru Cina IJM Land pada tahun 2021 – ketika itulah kami mendapati bahawa Puan Wan dan anak-anak menghuni rumah yang usang dan kami bertekad untuk melakukan sesuatu untuk memastikan mereka sekeluarga menduduki di rumah yang selamat. Kediaman yang bukan sahaja selesa namun juga lengkap dengan keperluan asas,” kata Encik Chai.
Senyuman terukir di wajah Puan Wan dan keluarganya apabila mereka melihat rumah usang mereka telah diubah suai menjadi serba baharu. Kerja-kerja pembaikan oleh IJM Land yang mengambil masa satu setengah bulan melibatkan kerja mengecat, membaiki dan menggantikan bumbung baru, menyediakan tandas yang serba lengkap dengan pemasangan tangki septik dengan paip bawah tanah, membaiki dinding kayu luaran dan menggantikannya dengan papan pasir simen, memasang longkang konkrit, dan pagar pautan rantai dengan pintu pagar.
Sejurus penerimaan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan semasa majlis penyerahan, IJM Land turut menghadiahkan barangan keperluan lain kepada Puan Wan sekeluarga, termasuk komputer meja untuk pembelajaran kanak-kanak, barangan elektrik, barangan runcit serta pelitup muka untuk mengurangkan beban mereka. Selain itu, pemaju hartanah itu juga mendapat sokongan besar daripada rakan kongsinya, termasuk Golden Hover Group of Companies yang menyumbang barangan perabot bernilai RM3,500, FWT Construction Sdn Bhd, Jotun Paints (Malaysia) Sdn Bhd dan Midas Touch PTL.
“Matlamat kami adalah untuk menyediakan kehidupan yang lebih baik kepada mereka yang berada dalam kesusahan. Oleh itu, kami di IJM Land bersama-sama rakan kongsi berganding bahu untuk menjayakan projek ini demi merealisasikan impian mereka yang sangat memerlukan. Kami berterima kasih kepada rakan kongsi kami untuk sokongan dan sumbangan mereka yang telah membawa kebaikan yang tidak terhingga kepada banyak keluarga yang kurang bernasib baik di Seremban,” kata Encik Chai.
Bersandarkan moto ‘We Make Good Better’, Program Pemulihan Rumah IJM Land merupakan aktiviti Tanggungjawab Sosial Korporat utama syarikat tersebut yang dijalankan setiap tahun.
Untuk maklumat lanjut tentang program myHome, sila layari http://seremban2.ijmland.com/.