IJM Land memperkenalkan Kempen Drop ’n Go – 5KG dengan tujuan untuk membolehkan usaha kitar semula dilaksanakan dengan lebih berkesan di kawasan perumahan Seremban 2
Seremban, 8 Jun 2022 – Kitar semula sudah lama berada di dalam senarai kita untuk memupuk kesedaran terhadap alam sekitar, namun ramai rakyat Malaysia masih bergelut untuk menjadikan kitar semula sebagai satu tabiat yang konsisten. Sempena Hari Alam Sekitar Sedunia, yang disambut pada 5 Jun setiap tahun, pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, IJM Land Berhad (IJM Land) menggalakkan rakyat Malaysia untuk membina masa depan yang lebih hijau dengan anjuran Kempen DROP ‘n GO – 5KG, usahasama dengan SWM Environment Sdn Bhd (SWM Environment), SWCorp Negeri Sembilan (SWCorp) dan Jabatan Alam Sekitar Negeri Sembilan (JAS NS) untuk meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan kitar semula di kalangan masyarakat, yang disokong oleh Persatuan Penduduk bagi mengembangkan usaha yang dilakukan dengan lebih efektif di kawasan perbandaran Seremban 2.
Kempen DROP ‘n GO – 5KG adalah usaha berterusan daripada program KITARecycle IJM Land yang telah dilaksanakan pada Januari 2022. Inisiatif kerjasama alam sekitar oleh IJM Land dan SWM Environment ini adalah untuk menggalakkan penduduk Seremban 2 mendaftar sebagai ahli KITARecycle dan mendidik mereka tentang cara mengitar semula sisa domestik / sisa pepejal isi rumah mereka (seperti kertas, tin aluminium, plastik dan e-sisa) melalui program KITARecycle. Untuk membudayakan amalan kitar semula dalam kalangan penduduk, IJM Land telah menyumbangkan ‘rumah KITARecycle’ iaitu tong kitar semula yang berbentuk rumah dibuat khas sebagai tempat pengumpulan barangan kitar semula di enam lokasi berasingan di kawasan perumahan Seremban 2 bagi penduduk mengasingkan dan mengitar semula barang mereka dan pada masa yang sama, menekankan komitmen mereka untuk memupuk tabiat kitar semula yang mampan dan holistik.
Dato Hoo Kim See, Pengurus Besar Kanan IJM Land Berhad (Wilayah Tengah) berkata selain daripada usaha komuniti dan program amal yang berterusan, IJM Land sentiasa mencari pelbagai saluran untuk membantu komuniti mereka berbakti semula kepada alam sekitar. Oleh sebab penduduk sentiasa mementingkan kesejahteraan persekitaran mereka, IJM Land percaya bahawa inisiatif ini akan dapat menyediakan saluran yang sesuai untuk mereka menjalankan tanggungjawab dan peranan masing-masing demi masa depan yang lestari.
“Terdapat banyak usaha alam sekitar yang telah dilaksanakan di sekitar Seremban 2 pada tahun-tahun yang lepas, namun kami percaya bahawa Program KITARecycle IJM Land dapat memberikan motivasi yang optimum kepada komuniti untuk menggandakan usaha mereka dalam menjadikan bumi kita tempat yang lebih baik untuk generasi akan datang,” tambah Dato Hoo.
Kempen DROP ‘n GO – 5KG telah diadakan pada hari Ahad, 5 Jun 2022 di pusat pengumpulan KITARecycle yang terletak di enam Taman perumahan iaitu Rimbun Ara, Rimbun Harmoni, Saujana Tropika, Summer, Vision Homes, dan Aviva Green. Walaupun dengan hujan renyai, ini tidak menghalang semangat penduduk untuk menyertai kempen ini, sebanyak 1,000 KG sisa yang boleh dikitar semula berjaya dikumpulkan pada hari itu. Penduduk yang mengambil bahagian dalam kempen ini digalakkan untuk menjadi ahli program KITARecycle (satu program ganjaran kitar semula yang dimiliki oleh SWM Environment) dengan mendaftarkan diri di aplikasi KITARecycle untuk mengesan tahap kitar semula mereka. Aplikasi ini dapat mendorong penduduk untuk mula memupuk tabiat kitar semula.
Ahli aplikasi KITARecycle yang berdaftar boleh mendapat Mata Ganjaran Kitar Semula (Recyle Points) yang boleh digunakan untuk menebus wang tunai melalui perbankan dalam talian. Selain daripada Recycle Points, IJM Land juga telah menghadiahkan 600 hadiah misteri khas untuk 100 keluarga pertama yang melawat tempat pengumpulan KITARecycle di setiap Taman semasa Kempen DROP ‘n GO.
“Dengan sokongan padu daripada SWM Environment, SWCorp, JAS NS dan Persatuan Penduduk, kami sangat teruja dengan menggalakkan penglibatan dan komitmen penduduk kami dalam inisiatif ini demi mencipta bumi yang lebih hijau untuk generasi akan datang. Kami juga berharap usaha ini akan terus menjadi sebutan dan dialu-alukan di kalangan komuniti kami agar lebih banyak ‘rumah KITARecycle’ dapat disediakan pada masa yang akan datang,” kata Dato Hoo.
Persatuan Penduduk di perbandaran IJM Land Seremban 2 yang berminat untuk memiliki sebuah ‘rumah KITARecycle’ di komuniti berpagar dan berpengawal mereka boleh menghubungi Bahagian Brand, Communication & CSR IJM Land (Tel: 06-7613888 ext. 115 / 116) untuk pertanyaan lanjut dan juga untuk mengatur sesi webinar tentang prosedur memulakan inisiatif ini.
Untuk maklumat lebih lanjut mengenai inisiatif di atas, sila layari: http://seremban2.ijmland.com/.