IJM Land Menerangi Sambutan Deepavali Untuk Keluarga Kurang Berkemampuan

IJM Land berkongsi kasih sayang kepada enam keluarga kurang berkemampuan di Seremban untuk sambutan perayaan yang meriah

Seremban, 14 Oktober 2022 IJM Land Berhad (IJM Land) sentiasa berdedikasi untuk menambah keceriaan kepada golongan kurang bernasib baik di Seremban selama ini, dan Program Deepavali Charity Cheer tahun ini merupakan satu lagi tanda komitmen IJM Land untuk menjadi tonggak utama dalam masyarakat dengan menyediakan bantuan kewangan dan barangan runcit bagi merayakan Deepavali yang penuh bermakna untuk enam keluarga kurang berkemampuan.

Demi memanfaatkan komuniti di Seremban, IJM Land menghulurkan bantuan kepada keluarga kurang berkemampuan ini bagi memastikan mereka juga dapat menikmati dan menghayati sinaran Diyas semasa perayaan Deepavali tanpa perlu memikirkan kos untuk persiapan perayaan pada tahun ini. Keluarga-keluarga ini berasal dari kumpulan berpendapatan rendah dengan pekerjaan biasa – di mana sesetengah daripada mereka adalah penduduk asal komuniti dan merupakan pekerja kolar biru.

Dato’ Hoo Kim See, Pengurus Besar Kanan IJM Land (Wilayah Tengah) menyatakan bahawa mereka teguh dalam misi mereka untuk mengadakan program Deepavali Charity Cheer bagi meringankan beban kewangan mereka untuk sambutan perayaan yang meriah.

“Keluarga yang kami hubungi memainkan peranan sokongan dalam masyarakat setempat – justeru, sumbangan mereka kepada masyarakat sebagai pekerja kolar biru patut dihargai.  Oleh itu, kami ingin mengiktiraf mereka dan menunjukkan penghargaan kami terhadap sumbangan mereka dengan menghulurkan bantuan ini,” kata Dato’ Hoo.

Setiap keluarga menerima bantuan wang tunai RM1,000  dan kotak keceriaan yang terdiri daripada barangan runcit seperti beras, minyak masak, tepung, biskut dan barangan keperluan lain bernilai RM600. Salah seorang penerima bantuan adalah Encik Chandrasegaran, 31 tahun, beliau terlibat dalam kemalangan jalan raya pada 2009 dan bergelut untuk mengekalkan pekerjaannya disebabkan kecederaan. Walau bagaimanapun, ini tidak menghalang beliau daripada bekerja sebagai buruh am di sekitar komunitinya dengan mengecat rumah, memotong rumput dan kerja-kerja lain sebelum mendapat pekerjaan tetap pada bulan Mac 2022 sebagai pekerja am kutipan sisa pepejal.

Puan Nirmala Devi, 37 tahun, seorang petugas kebersihan di sebuah sekolah menengah, merupakan seorang lagi penerima sumbangan tersebut. Beliau menunjukkan semangat ketabahan kerana beliau bertungkus-lumus untuk menyara hidup dan berkhidmat untuk komuniti sekeliling. Beliau juga mengambil peranan sebagai pencari nafkah kerana pekerjaan suaminya yang tidak tetap.  IJM Land juga telah menghubungi Puan Dedani, 40 tahun, dan Puan Mahaletchumi, 34 tahun, yang juga merupakan petugas kebersihan dan berada dalam situasi yang sama dengan Puan Nirmala.

“Kami sentiasa mengambil berat terhadap keluarga-keluarga di Seremban kerana kami percaya terdapat ramai individu yang sentiasa bekerja keras bukan sahaja untuk menyara keluarga mereka tetapi juga untuk menyumbang kembali kepada masyarakat setempat. Sejajar dengan semangat Deepavali, kami berharap untuk memupuk sifat murah hati dan kesejahteraan keluarga agar mereka dapat menyambut musim perayaan dengan penuh kebahagiaan,” tambah Dato’ Hoo.

Selama bertahun-tahun, IJM Land telah menjayakan misinya untuk membantu masyarakat Seremban.  Sejak tahun 2010, IJM Land telah menyumbang kepada lebih 600 buah keluarga untuk mencipta detik-detik bermakna dan kenangan manis bersama keluarga tersayang.  Selain Tahun Baru Cina, Hari Raya Aidilfitri, atau Deepavali, IJM Land sentiasa mengingati masyarakat setempat dengan melancarkan pelbagai program amal kemasyarakatan seperti Home Rehabilitation Programme (myHome), Program Mesra Ramadan, Deepavali Charity Cheer Programme, Bantuan Baucar Sara Hidup, Preschool Subsidy Programme, Helping Hands: Homes Initiative, dan banyak lagi untuk membantu komuniti di Negeri Sembilan.

Untuk maklumat lanjut mengenai inisiatif-inisiatif di atas, sila layari http://seremban2.ijmland.com/.

© 2023 BlackButterfly DesignArts