Iskandar Puteri, 5 September 2024: Iskandar Investment Berhad (IIB) memperkukuh dedikasinya dalam memperkasa belia di Johor dan memupuk pembangunan bakat melalui inisiatif peningkatan kemahiran dengan menyokong Karnival STEM Johor 2024. Dihadiri lebih daripada 1,500 penyertaan, Karnival STEM Johor ini dianjurkan oleh Jabatan Pendidikan Negeri Johor dengan kerjasama Iskandar Investment Berhad melalui cabang pendidikannya, EduCity Iskandar, Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), dan Yayasan Raja Zarith Sofiah Johor, bertempat di Kompleks Sukan EduCity
Karnival STEM Johor adalah acara tahunan yang bertujuan untuk mempromosikan dan memupuk kemahiran dalam Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) dalam kalangan pelajar dan peminat muda. Tahun ini, acara tersebut menekankan kepentingan pendidikan STEM sebagai asas untuk pembangunan bakat masa depan. Karnival ini berfungsi sebagai platform dinamik untuk pelajar membangunkan dan meningkatkan kemahiran mereka dalam bidang berkaitan STEM, yang penting untuk berjaya dalam landskap teknologi yang semakin pesat berubah pada masa kini. Pada tahun ini, sebanyak 418 pelajar dari pelbagai sekolah di seluruh Johor telah mempersembahkan bakat mereka dalam dua belas kategori berbeza, dengan kebanyakan pemenang berasal dari sekolah-sekolah di daerah Johor Bahru.
YB Tuan Aznan Tamim, EXCO Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor, menyatakan, “Kerajaan Negeri Johor menyediakan pendidikan yang komprehensif dan berkualiti kepada 584,737 pelajar, sejajar dengan penekanan Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail terhadap kepentingan pendidikan bagi rakyat Johor. Karnival STEM ini merupakan platform yang bernilai untuk pelajar meningkatkan pemikiran kreatif dan inovatif mereka, menggalakkan persaingan sihat, serta meneroka bidang STEM yang dinamik dan sentiasa berkembang.”
“Karnival STEM Johor adalah platform penting untuk melengkapkan bakat Johor dengan kemahiran, pengetahuan, dan peluang yang diperlukan untuk berjaya dalam tenaga kerja masa depan, selaras dengan permintaan industri. Kami percaya inisiatif ini memudahkan kerjasama yang bermakna antara institusi pendidikan, pemain industri, dan bakat muda, memupuk pemindahan pengetahuan dan mewujudkan peluang rangkaian yang bernilai. Ini mencerminkan komitmen IIB yang teguh untuk meningkatkan pendidikan, kebajikan sosial, dan pembangunan mampan sebagai tonggak utama kemajuan dan kemakmuran Johor. Dengan menyokong dan melabur dalam inisiatif ini, kami selaras dengan visi Johor untuk mencapai 60% pendaftaran pelajar dalam aliran Sains, Teknologi, Kejuruteraan, dan Matematik (STEM) menjelang 2028,” kata Dato’ Idzham Mohd Hashim, Presiden/Ketua Eksekutif Iskandar Investment Berhad.
EduCity Iskandar, anak syarikat milik penuh IIB, adalah hab pendidikan multi-kampus pertama di Malaysia. Terletak secara strategik di Iskandar Puteri, Johor, ia menawarkan pelajar dan profesional akses kepada program yang diiktiraf di peringkat antarabangsa, ruang pembelajaran kolaboratif, dan komuniti sokongan yang memupuk pertumbuhan dan inovasi. Dengan sumber bertaraf dunia, kemudahan sukan moden, dan ekosistem inovasi yang berkembang maju, EduCity Iskandar komited untuk membentuk pemimpin masa depan.