Ibu Bapa Meningkatkan Kesihatan Mental Anak-anak melalui Sukan

Petaling Jaya, 7 Oktober 2021 – Pastinya ramai ibu bapa di Malaysia yang memahami betapa sukarnya untuk mengekalkan motivasi anak-anak sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang berlanjutan, apatah lagi apabila sesi permainan bersemuka serta interaksi sosial dengan rakan-rakan telah berkurang. Sekiranya tidak ditangani, keadaan ini dapat menyebabkan apa yang disebut oleh pakar sebagai ‘kelesuan pembelajaran di rumah’.

Menurut ahli psikologi perkembangan dan felo pengajar kanan Universiti Sunway, Elaine Yong, masalah ini berpunca daripada dua faktor. “Kelelahan dan kebosanan,” jelasnya. “Keletihan mental akibat tempoh pembelajaran di rumah yang berlanjutan boleh menyebabkan kelelahan. Manakala masa terluang yang lazimnya dimanfaatkan untuk aktiviti kokurikulum boleh menjadi punca kebosanan, sekaligus menyebabkan mereka menghabiskan lebih masa menatap skrin peranti dan gajet pintar.”

Sungguhpun tiada jalan pintas untuk mengatasi keletihan dan kebosanan, ibu bapa boleh mengambil beberapa langkah bijak bagi membantu mencegah kelesuan pembelajaran di rumah. “Mulakan dengan menetapkan rutin. Rutin harian yang mudah namun konsisten adalah terbaik,” kongsi Elaine. Tambahnya lagi, menjadikan rutin harian satu norma kebiasaan dapat membantu anak-anak menyesuaikan diri. “Ia semudah menyelesaikan 3 atau 4 tugasan yang bersesuaian dengan kemampuan mereka, dan disusun mengikut urutan kegemaran atau tahap kesukaran.”

Sepanjang tempoh PKP di rumah juga, sempadan antara pembelajaran dan istirahat telah menjadi kabur. Meskipun istirahat penting untuk kesihatan mental anak-anak, aspek ini kurang diberikan perhatian. “Mewajibkan hari rehat merupakan permulaan yang baik. Tetapkan satu ‘hari tanpa kerja sekolah’ atau ‘hari tanpa peranti elektronik’ bagi meluangkan masa berkualiti bersama keluarga,” sarannya lagi. “Pada hari rehat tersebut, galakkan anak-anak untuk berjinak-jinak dengan hobi atau sukan.”

Sukan dapat membantu memelihara kesihatan mental anak-anak. “Ia cara positif untuk mengurangkan tekanan dan meningkatkan kualiti tidur,” kongsi Elaine. “Apabila anak-anak kekal cergas, ia dapat membantu meningkatkan tahap perhatian dan fokus mereka. Badan yang cergas mengaktifkan minda.”

Walaupun pandemik dan pelbagai sekatan fizikal telah menjejaskan aktiviti sukan, ibu bapa digalakkan untuk memastikan anak-anak mereka kekal aktif di rumah. “Kecergasan fizikal kritikal untuk pertumbuhan otot dan tulang,” tegas Elaine.

Dengan kebanyakan negeri telah beralih ke sekurang-kurangnya Fasa Kedua Pelan Pemulihan Nasional, rakyat kini dapat memanfaatkan aktiviti riadah luar rumah dengan SOP yang lebih longgar. Elaine menyarankan aktiviti berjalan kaki, berbasikal atau berjoging di sekitar kawasan perumahan bersama keluarga selama 30 minit dua kali seminggu “Jadikannya satu sesi penerokaan alam sekitar kerana ramai anak-anak, khususnya yang tinggal di kawasan bandar, kurang penghayatan terhadap alam sekitar,” tambahnya.

Tiada masalah bagi mereka yang memilih untuk berada di rumah, kerana rumah dapat diubah kepada zon aktif dengan mudah. Begitulah yang dibuktikan oleh ibu bapa yang mendaftarkan anak-anak mereka untuk mengikuti kelas sukan dalam talian menerusi MILO Champions Clinic: E-Coaching.

MILO Champions Clinic: E-Coaching membawakan latihan sukan bertaraf profesional kepada kanak-kanak berumur 7 hingga 12 tahun secara dalam talian. Didatangkan dalam tiga jenis sukan, iaitu futsal, bola keranjang dan badminton, program ini membantu kanak-kanak kekal aktif, selain memupuk nilai-nilai murni sukan yang bermanfaat sepanjang hayat.

Ramai ibu bapa menganggap program ini sebagai alternatif yang baik untuk kelab sukan ketika aktiviti kokurikulum ditutup buat sementar waktu. Antaranya, Sundhary Krishan, 40, seorang ibu dari Kuala Lumpur yang berkata, “MILO Champions Clinic: E-Coaching bukan sahaja memenuhi hasrat anak saya untuk bermain futsal dengan latihan di rumah, tetapi juga membantunya menghilangkan tekanan daripada kelas dalam talian.”

Nur Eliwayaton binti Mohd Alias, 41, dari Sungai Petani, Kedah turut berkongsi pendapat yang sama. “Anak saya sudah tidak sabar-sabar mahu keluar bermain futsal. Jadi, saya sangat teruja dengan MILO Champions Clinic: E-Coaching yang telah memenuhi keinginannya ini di rumah. Dia sungguh meminati program ini sehingga menyuruh saya mendaftarkannya untuk kelas badminton juga,” katanya.

Seorang lagi ibu yang memanfaatkan program MILO Champions Clinic: E-Coaching ialah Rane Chin, 40, dari Batu Caves, Selangor, yang turut mendaftarkan kedua-dua puterinya untuk kelas badminton. “Sukan membantu anak-anak perempuan saya menjadi lebih positif walau berhadapan dengan kesuraman situasi semasa. Malah, ini telah memberi inspirasi kepada kami untuk kekal positif dan teguh sebagai satu keluarga,” katanya.

Untuk maklumat lanjut tentang MILO Champions Clinic E-Coaching, sila layari: https://www.milo.com.my/get-active/milo-champions-clinic-get-active

© 2024 BlackButterfly DesignArts