Hospital Pakar Regency Naik Taraf Kemudahan Diagnostik Perubatan dengan Teknologi Angiografi Dwisatah

Teknologi terkini ini membolehkan Regency pertingkatkan kualiti penjagaan dan diagnosis  penyakit yang paling membimbangkan rakyat Malaysia – penyakit arteri koronari dan strok.

Johor Bahru, 7 April 2023 – Orang ramai sering kali terlepas pandang tentang betapa pentingnya alat perubatan dalam situasi kecemasan atau prosedur pembedahan  sedangkan ia penting untuk menghasilkan keputusan positif bagi pesakit. Hospital Pakar Regency (Regency) telah memperkenalkan sistem angiografi dwisatah (biplane) untuk menghasilkan imej berkualiti tinggi dengan jumlah radiasi yang paling rendah.

Angiografi adalah sejenis X-ray yang digunakan untuk memeriksa saluran darah untuk membolehkan doktor meninjau sebarang masalah. Sistem angiografi dwisatah ini mempunyai kelebihan berbanding angiogram dan prosedur lazim. Peranti ini dilengkapi dengan teknologi untuk memberikan ketepatan dalam proses diagnosis dan membimbing profesional penjagaan kesihatan dalam prosedur intervensi kardiologi dan radiologi.

Semasa menerangkan tentang manfaat alat ini, Dr Yeow Kee Min, Perunding Radiologi Klinikal dan Radiologi Intervensi, Hospital Pakar Regency berkata, “Sistem angiografi dwisatah direka bentuk berasaskan teknologi yang memberikan hasil diagnostik intraoperasi jitu, dan ini bermakna kita boleh menghasilkan imej yang tepat semasa pembedahan. Alat ini menggunakan kombinasi dua pengesan berbeza yang terletak di dua kawasan berbeza, yang memberikan panduan yang lebih baik semasa rawatan. Dengan kelebihan ini, resolusi kontras tinggi bole dihasilkan pada mana-mana sudut dan tidak mengira saiz pesakit. 

“Angiografi menggunakan radiasi pengionan, dengan dos radiasi yang boleh menimbulkan bahaya jika dos terlalu tinggi. “Dengan sistem angiografi dwisatah ini, profesional penjagaan kesihatan boleh mendapatkan imej berkualiti tinggi menggunakan pengimejan 3D termaju dan visualisasi butiran seperti salur darah, peranti, tisu dan tulang tanpa memerlukan dos radiasi yang lebih tinggi. “

Dilengkapi Teknologi Jitu untuk Pembedahan Kardiovaskular 

Penyakit jantung koronari merupakan punca sekundar kematian  di kalangan rakyat Malaysiai. Angiografi dwisatah menyediakan teknologi untuk melakukan angiografi invasif minimum lebih pantas dan pada dos radiasi yang rendah kepada doktor dan pesakit berbanding alat angiografi konvensional. Teknologi angiografi dwisatah ini mampu menambah baik diagnosis dan rawatan kes yang sukar.

Teknologi  ini juga mempunyai keupayaan untuk menambah baik hasil klinikal bukan sahaja untuk penyakit arteri koronari tetapi juga mampu merawat strok dan tumor dalam masa sebenar.  Hasil penyelidikan menunjukkan bahawa strok  adalah punca kematian yang ketiga di Malaysia, dengan purata umur pesakit strok antara 54 dan 63 tahun. Sistem angiografi dwisatah membolehkan profesional penjagaan kesihatan merakam, memeriksa, dan mengedit imej dengan serta-merta, memperbaiki aliran kerja klinikal dan  pesakit tidak perlu dipindahkan ke pengimbas CT. Ciri kelebihan ini amat penting dalam situasi kecemasan di mana masa itu emas.

Hospital Pakar Regency Naik Taraf Kemudahan Diagnostik Perubatan

Dr Paul Ling Kah Hing, Perunding Kardiologi dan Perubatan Dalaman, Hospital Pakar Regency menambah, “Teknologi angiografi dwisatah dapat mengesan dan menghasilkan imej tajam bagi objek yang bergerak dan resolusi kontras tinggi walaupun pada sudut curam. Ini amat penting untuk penyakit kardiovaskular rumit dan rawatan intervensi yang diberikan kerana alat ini masih boleh menghasilkan imej arteri koronari berkualiti tinggi walaupun pesakit bernafas atau bergerak, tanpa sebarang gangguan terhadap kualiti imej. Dos radiasi juga dikurangkan sebanyak 60% dengan ciri denyutan x-ray yang optimum, menjadikan kaedah ini lebih selamat untuk pesakit.”

Semasa menerangkan tentang kaedah penggunaan dan manfaat mesin untuk  pesakit neurologi, Dr Ganesan ArthimulamPerunding Radiologi Klinikal dan Radiologi Intervensi, Hospital Pakar Regency berkata, “Teknologi angiografi dwisatah dengan tiub X-Ray hak miliknya menyediakan tahap keterlihatan yang lebih tinggi bagi salur-salur darah halus yang berada di dalam tengkorak dan otak kita. Teknologi pengesannya dengan Lengan-C yang boleh dikemudi menawarkan kualiti imej yang lebih baik pada mana-mana sudut, membantu doktor memahami anatomi vaskular dan proses penyakit unik setiap pesakit dengan lebih baik. Menerusi teknologi ini, pihak yang melakukan intervensi boleh menentukan pendekatan rawatan optimum untuk menghasilkan keputusan terbaik mungkin bagi pesakit kami.”

Mengulas mengenai pelaburan baharu itu, Serena Yong, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Hospital Pakar Regency,  berkata, “Di Regency, kami mengutamakan usaha untuk mencari cara baharu meningkatkan kualiti penjagaan yang kami berikan kepada pesakit kami; inilah sebabnya kami terus melabur dalam teknologi. Sistem angiografi dwisatah ini menghasilkan imej berkualiti tinggi sambil mengeluarkan jumlah radiasi yang paling kecil, membolehkan profesional penjagaan kesihatan memberikan penjagaan sebaik mungkin kepada pesakit tidak kira sama ada kes mereka mudah atau rumit. Ini sesungguhnya membuktikan komitmen kami memajukan perubatan jitu di Regency bagi menyediakan rawatan berkualiti tertinggi untuk pesakit kami bukan sahaja di kawasan Selatan Malaysia tetapi juga di seluruh Asia.

“Kami percaya langkah mendiagnosis pesakit dengan cepat dan tepat amatlah penting bagi menyediakan rawatan yang sesuai tanpa berlengah. Usaha melengkapkan jabatan radiologi kami dengan kemajuan teknologi terkini dalam bidang perubatan adalah sebahagian daripada misi berterusan kami untuk mencapai kualiti penjagaan pesakit yang lebih tinggi di Selatan Malaysia dan kawasan sekitar,”  tambah Serena.

© 2023 BlackButterfly DesignArts