HIDUP INI TETAP MANIS

Apabila anak anda yang sihat dan aktif disahkan menghidap diabetes, ia seolah-olah mengucar-kacirkan segala keseimbangan hidup. Sebagai ibu atau ayah, ia satu ketika yang penuh kekeliruan yang menenggelamkan anda dalam perasaan. Perunding Endokrinologi Pediatrik di IMU Healthcare dan Pensyarah Kanan dalam Pediatrik di Universiti Perubatan Antarabangsa, Dr Meenal Mavinkurve, memberi sedikit pencerahan dan berkongsi pendapatnya mengenai apa maksudnya apabila disahkan menghidap diabetes kanak-kanak.

HIDUP INI TETAP MANIS

“Kanak-kanak yang menghidap melitus diabetes boleh mencapai apa sahaja,” kata Dr Meenal Mavinkurve. Beliau menemui ramai ibu bapa yang berasa terkejut, tidak berdaya dan berputus asa apabila anak mereka disahkan menghidap diabetes. Tetapi, Dr Meenal menekankan keadaan itu ada penyelesaiannya, ia boleh diuruskan dan kerjasama di antara keluarga dan pasukan rawatan diabetes mampu membuka setiap pintu peluang kepada kanak-kanak penghidap diabetes.

“Saya benar-benar mahu pesakit dan ibu bapa memahami yang kanak-kanak penghidap diabetes boleh berjaya, malah boleh lebih baik lagi berbanding kanak-kanak lain yang tidak menghidap diabetes. Tidak dinafikan ia adalah sukar, diselang-seli dengan permainan emosi dan rutin kehidupan baharu, tetapi akhirnya kerjasamalah yang dapat membantu kanak-kanak ini menikmati KEMANISAN hidup sama seperti rakan sebaya mereka,” ujar Dr Meenal, ketika bercakap mengenai kepentingan untuk mengiktiraf dan memberi tumpuan kepada penyelesaian supaya ibu bapa boleh memberi sokongan lebih baik kepada kanak-kanak penghidap diabetes.

Apakah melitus diabetes?

Mula-mula, mari kita lihat apakah melitus diabetes. Ia berkisar tentang insulin, sejenis hormon penting yang dikeluarkan organ pankreas. Insulin memainkan peranan penting untuk mendapatkan glukosa, yang merupakan satu sumber tenaga, ke dalam sel-sel kita. Melitus diabetes adalah keadaan di mana kurangnya insulin atau tindakannya berkurangan (rintangan insulin). Kedua-dua keadaan ini boleh membawa kepada paras glukosa yang tinggi dalam aliran darah. Itulah melitus diabetes.

Jenis melitus diabetes paling biasa di kalangan kanak-kanak adalah Jenis 1 (iaitu kekurangan insulin, atau T1DM) dan Jenis 2 (rintangan insulin, atau T2DM). T1DM adalah keadaan autoimun, di mana badan menghasilkan antibodi yang memusnahkan sel-sel beta di dalam pankreas. Sel-sel itulah yang bertanggungjawab menghasilkan insulin. Keadaan T2DM pula, badan masih boleh menghasilkan insulin, tetapi insulin kurang bertindak. 

Gejala dan tanda diabetes

Gejala biasa adalah seperti di dalam kempen Diabetes 4Ts UK (United Kingdom) iaitu dahaga (thirsty), tandas (toilet), lebih kurus (thinner) dan letih (tired). Terlalu dahaga, banyak kencing, terjaga pada waktu malam untuk membuang air kecil atau kencing di katil pada waktu malam adalah gejala penting yang perlu diberi perhatian pada kanak-kanak, kerana ia mungkin isyarat diagnosis diabetes. Sesetengah ibu bapa mungkin ada memberitahu mengenai semut di dalam tandas, kerana semut tertarik kepada “air kencing manis” (glukosa dalam air kencing). Kanak-kanak juga boleh mengalami jangkitan (jangkitan kulat), penurunan berat badan yang tidak dapat dijelaskan atau kegagalan untuk menambah berat badan walaupun lapar. “Penting bagi ibu bapa untuk meminta doktor memantau berat badan anak mereka dan menyimpan rekodnya, tidak kira sama ada anak mereka sakit atau tidak. Pertumbuhan adalah isyarat yang baik mengenai kesihatan kanak-kanak,” Dr Meenal mengingatkan.

“Sekiranya anda mendapati adanya gejala dan tanda-tanda itu, bersegeralah berjumpa doktor. Ibu bapa perlu bertanya kemungkinan adanya diabetes dan sama ada ujian glukosa dan keton perlu dilakukan,” nasihat Dr Meenal.

Ia bermula dengan kesedaran

Salah satu langkah penting yang boleh membawa kepada diagnosis diabetes lebih awal adalah kesedaran bahawa melitus diabetes adalah penyakit yang boleh dihidapi kanak-kanak juga dan pengenalan awal setiap gejala boleh membantu diagnosis dan rawatan awal.

“Jika gejala-gejala tersebut tidak dikesan dari awal, ia boleh melarat dan menjadi lebih teruk dengan gejala muntah, kelesuan, sesak nafas dan sakit perut,” jelas beliau. Itu adalah gejala-gejala ketoasidosis diabetik (DKA), sejenis diabetes yang kronik.

Walaupun begitu, kadangkala kita boleh keliru dengan gejala yang sama seperti keadaan pediatrik biasa yang lain. Kajian terbaharu oleh Mavinkurve et al, 2021 bertajuk ‘Is Misdiagnosis of Type 1 Diabetes Mellitus in Malaysian Children a Common Phenomenon?, 2021, menunjukkan kadar salah diagnosis di kalangan kanak-kanak Malaysia dengan T1DM ialah 38.7 peratus. Dalam kajian ini, dilaporkan bahawa kanak-kanak biasanya didiagnosis secara salah sebagai berpenyakit pernafasan atau gastrousus oleh profesional penjagaan kesihatan. Kanak-kanak yang berumur kurang lima tahun berisiko lebih tinggi untuk tersalah diagnosis. Mereka datang ke hospital dengan gejala DKA, lalu dimasukkan ke wad unit rawatan rapi. Secara keseluruhannya, kajian tersebut menekankan bahawa mencegah salah diagnosis sebagai faktor penting dalam mencegah DKA dan berada lama dalam wad hospital.

Angka yang semakin meningkat

Pada tahun 2019, Atlas Persekutuan Diabetes Antarabangsa (IDF 9th ed, 2019) melaporkan 977 kes diabetes di kalangan kanak-kanak berusia di bawah 18 tahun di Malaysia. Angka tersebut meningkat lebih dua kali ganda bagi kes yang didaftarkan pada tahun 2008 di bawah Pendaftaran Diabetes di kalangan Kanak-Kanak dan Remaja, Malaysia. Laporan akhbar The Star menyatakankan bahawa ia “mencadangkan secara puratanya, kira-kira 57 kanak-kanak disahkan menghidap diabetes setiap tahun (suggests on average, about 57 children are being diagnosed with diabetes each year).” [1]

Daripada kedua-dua jenis diabetes tersebut, yang paling biasa dihidapi kanak-kanak adalah Jenis 1 yang menyumbang lebih daripada 90 peratus kes melitus diabetes di seluruh dunia. Kadar diabetes T1DM di kalangan kanak-kanak telah meningkat di seluruh dunia dan diagnosis sedang dibuat ke atas kanak-kanak yang jauh lebih muda juga. Di Malaysia, purata umur diagnosis adalah antara tujuh hingga lapan tahun.

Di dalam kes diabetes Jenis 2, faktor risiko yang diketahui ialah obesiti dan ia semakin meningkat di Malaysia. Keadaan ini biasa dilihat dalam kumpulan umur remaja. “Walaupun wujud kaitan yang kuat antara obesiti dan T2DM, terdapat faktor lain yang turut mempengaruhi seperti sejarah keluarga dan latar belakang etnik,” jelas Dr Meenal.

Mengemudi risiko

Diagnosis melitus diabetes, tidak kira T1DM atau T2DM, datang bersama risiko komplikasi termasuk tekanan darah tinggi, paras kolesterol tidak normal, penyakit hati berlemak bukan kerana alkohol dan kesan buruk pada buah pinggang, saraf dan mata. Dalam kedua-dua jenis diabetes kanak-kanak tersebut, doktor memantau komplikasi dengan berhati-hati dan menanganinya apabila ia muncul. Namun begitu, kawalan glukosa secara optimum dan memastikan pematuhan adalah asas dalam mencegah komplikasi.

Umumnya, saringan untuk komplikasi sedemikian bermula beberapa tahun selepas diagnosis, tetapi berbeza mengikut jenis diabetes dan usia pesakit semasa diagnosis. Sebagai contoh, T2DM perlu pemeriksaan komplikasi dari sejak didiagnosis. Bagi T1DM pula, saringan bermula selepas beberapa tahun. “Dalam kes T2DM, penting untuk menyaring komplikasi berkaitan obesiti; ini termasuklah apnea tidur obstruktif (masalah berdengkur) dan hati berlemak bukan kerana alkohol. Bagi kanak-kanak perempuan pula, sindrom ovari polikistik (masalah haid) perlu diuruskan bersama-sama,” kata Dr Meenal.

Mengurus diabetes

Menguruskan diabetes kanak-kanak perlukan perkongsian di antara ibu bapa, kanak-kanak dan pasukan penjagaan kesihatan. Pasukan ini biasanya terdiri daripada doktor, pendidik jururawat diabetes, pakar diet dan ahli psikologi; dan setiap daripada mereka mempunyai peranan penting. Banyak yang perlu dipelajari dari pihak keluarga, dan banyak yang perlu disampaikan oleh pasukan perubatan. “Kerjasama dan perkongsian umpama pelekat yang menyokong kanak-kanak untuk mencapai potensinya,” kata Dr Meenal.

Prinsip asas pengurusan T1DM adalah untuk meniru fungsi pankreas. Oleh itu, kanak-kanak dan ibu bapa perlu belajar bagaimana untuk memeriksa paras glukosa (menggunakan glucometer) beberapa kali sehari, selain perlu memahami keadaan yang boleh menyebabkan turun naiknya paras glukosa dan tindakan yang perlu diambil. Mereka perlu belajar tentang insulin yang berbeza-beza, cara menyuntiknya, berapa banyak yang perlu disuntik dan cara mengira karbohidrat dalam makanan. Umumnya, kanak-kanak dengan T1DM memerlukan insulin bersama semua makanan mereka dan insulin waktu malam yang bertindak lebih panjang. Rutin ini mungkin berbeza mengikut nasihat doktor tetapi rejim dengan beberapa suntikan harian  adalah yang terbaik untuk meniru fungsi pankreas. Bagi kanak-kanak penghidap T2DM, mereka juga perlu memahami mengenai ubat hipoglisemik oral yang diprekripsikan.

Menyokong anak diabetes

Sejurus disahkan menghidap T1DM, ada banyak tugasan baharu yang perlu dipelajari dan dilakukan untuk anak itu sepanjang hidupnya. Dapat difahami juga naluri seorang ibu atau ayah yang pastinya mahu menggalas semua tugas itu demi si anak. Tetapi, kanak-kanak itu akan menjadi dewasa dan berdikari dalam semua aspek kehidupan. Oleh itu, adalah penting bagi ibu bapa untuk beransur-ansur menyerahkan tanggungjawab penjagaan kendiri diabetes kepada anak mereka, seraya terus memberi sokongan setiap masa. Ini bagi membolehkan kanak-kanak itu berdikari, bertanggungjawab dan yakin dalam penjagaan kendiri diabetes mereka dari semasa ke semasa. Kanak-kanak penghidap diabetes masih boleh terlibat dalam penjagaan diabetes dengan melakukan perkara mudah seperti menyediakan barangan pemeriksaan glukosa dan seterusnya pemeriksaan glukosa tanpa pengawasan apabila sudah lebih berdikari. Kanak-kanak bersekolah juga perlu belajar cara menyuntik insulin sendiri. “Ini mengenai menyerahkan tanggungjawab secara perlahan-lahan, sambil memastikan ada sentiasa ada memberikan sokongan berterusan,” kata Dr Meenal.

Diabetes dan diet

Menghidap diabetes bukan bermakna tidak boleh langsung mengambil benda manis dan bergula dalam diet. Semuanya mengenai kesederhanaan dan mengikuti diet sihat sama seperti kanak-kanak lain yang tidak menghidap diabetes. Namun begitu, kanak-kanak penghidap diabetes perlu mengira jumlah karbohidrat di dalam makanan manis yang mereka makan dan menyuntik insulin untuknya. Bagi kanak-kanak penghidap T2DM yang obes atau dengan berat berlebihan, perlu lebih penekanan kepada menghadkan pilihan makanan padat kalori.

Sesetengah ibu bapa akan memberi anak mereka makanan ‘bebas karbohidrat’ untuk mengelak pemberian insulin. Namun begitu, ia tidak digalakkan kerana saranannya adalah untuk kanak-kanak ini mengambil makanan sihat yang seimbang. Penting untuk memupuk hubungan yang baik dengan makanan dan insulin bagi kanak-kanak diabetes dari sejak mereka disahkan penghidap diabetes. 

Ibu bapa dan pesakit sudah pasti akan keletihan dengan pelbagai tugas – pemeriksaan glukosa, mengira karbohidrat dan mengira dos insulin – dan segala keputusan yang perlu dibuat untuk anak penghidap diabetes. Tetapi, penting untuk anda ingat bahawa bukan setiap hari anda akan mendapat satu siri bacaan glukosa yang sempurna, kata Dr Meenal. “Ada masanya bacaannya turun naik, dan mencapai bacaan glukosa yang sempurna pada setiap jam setiap hari bukanlah objektif utama. Berusaha untuk memahami sebab-musabab turun naiknya bacaan itu dan membetulkannya adalah jauh lebih penting,” tambah beliau.

Ada jalan penyelesaian

Bagi kanak-kanak yang disahkan menghidap melitus diabetis, jalan di hadapan akan ditandai dengan hari-hari yang baik dan sukar. Pesakit dan keluarga boleh mendapatkan sokongan dari doktor mereka dan bekerjasama untuk memastikan kanak-kanak penghidap diabetes menikmati zaman kanak-kanak yang indah dan bernilai sama seperti kanak-kanak lain. Kesedaran dan pendidikan mengenai diabetes kanak-kanak melalui sumber yang boleh dipercayai adalah begitu penting.

Menamatkan perbincangan, Dr Meenal mengakhirinya dengan satu pesanan. “Melitus diabetes boleh jadi satu keadaan yang kronik, tetapi ada jalan penyelesaiannya. Dengan jalan penyelesaian itu dan kerjasama, kita mampu membantu kanak-kanak penghidap diabetes untuk mencapai potensi yang sewajarnya.”

Hidup dengan diabetes – sesuatu yang manis.


© 2023 BlackButterfly DesignArts