Kuala Lumpur, 12 Oktober 2020 – Herbalife Nutrition, iaitu syarikat pemakanan global bertaraf perdana telah menjalin kolaborasi dengan Persatuan Pemakanan Malaysia (NSM) untuk melanjutkan usaha mendidik orang ramai mengenai pemakanan di seluruh negara. Kerjasama ini melibatkan dua organisasi yang akan berganding bahu dalam pelbagai inisiatif serta program-program yang dijadualkan.
“Berdasarkan Tinjauan Mitos Pemakanan Asia Pasifik 2020 kami, lebih daripada tujuh dalam 10 warga Malaysia berminat untuk mendapatkan nasihat pemakanan daripada pakar kesihatan. Sehubungan itu, kami berbesar hati untuk menggalas tanggungjawab yang lebih besar untuk mendidik orang ramai tentang pemakanan di samping NSM, iaitu sebuah organisasi terbilang yang mengendong usaha pendidikan dan kesedaran mengenai pemakanan sejak 35 tahun yang lalu,” ujar Pengurus Besar/Pengarah Herbalife Nutrition Malaysia, Steven Chin. “Kerjasama kami ini diterajui oleh kepercayaan yang dikongsi bersama untuk menggalakkan gaya hidup dan pemakanan sihat dalam kalangan warga Malaysia tanpa mengira latar belakang mereka.”
Kolaborasi ini memperkukuhkan lagi hubungan antara Herbalife Nutrition dan NSM, dan bakal memupuk persefahaman yang lebih baik antara kedua-dua belah pihak. Dengan berganding bahu, inisiatif-inisiatif yang dirumus akan menggembleng kepakaran mereka demi kebaikan warga umum. Aktiviti-aktiviti yang dirancang meliputi konten pendidikan seperti artikel media yang dikarang bersama oleh barisan pakar mereka mengenai pelbagai subjek seperti pemakanan dan kesihatan.
“NSM didorong oleh satu kepercayaan, yakni individu mampu memelihara kesihatan diri mereka dengan lebih baik menerusi ilmu pemakanan yang betul. Atas dasar ini, kami menjalin usaha sama dengan pelbagai organisasi untuk membawakan inisiatif-inisiatif pendidikan buat warga umum di seluruh rantau Asia Tenggara. Kami mempunyai hubungan yang erat dan bekerjasama secara rapat dengan organisasi-organisasi serantau seperti Asia Public Health Nutrition Network (SEA-PHN), Southeast Asia Probiotics Scientific and Regulatory Experts Network (SEA Probiotics SREN) dan Federation of Asian Nutrition Societies (FANS) untuk mewujudkan kesedaran mengenai kepentingan pemakanan sihat dan gaya hidup aktif. Kami berbesar hati untuk menjalin kolaborasi dengan Herbalife Nutrition dan yakin bahawa usaha sama ini dapat menaik taraf kehidupan warga Malaysia menerusi pembekalan maklumat pemakanan yang betul untuk mencegah penyakit-penyakit kronik yang berkaitan dengan diet,” jelas Dr. Tee E Siong, Presiden NSM.
Kolaborasi ini hadir ketika kesihatan warga Malaysia menjadi fokus negara seperti yang ditunjukkan oleh Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2019. Menurut tinjauan tersebut, satu dalam dua orang dewasa di Malaysia mempunyai berat badan berlebihan atau berstatus obes, manakala diabetes, tekanan darah tinggi dan kolesterol tinggi merupakan penyakit tidak berjangkit (NCD) utama yang paling berleluasa dalam kalangan warga Malaysia, yang turut menjadi faktor risiko utama bagi penyakit kardiovaskular (CVD) – penyebab kematian utama di Malaysia. Ia turut menunjukkan bahawa 1.7 juta individu di Malaysia hidup dengan tiga faktor risiko utama ketika ini, manakala 3.4 juta individu hidup dengan dua faktor risiko tersebut[1].
“Hasil tinjauan ini seharusnya diberi perhatian, khususnya kerana penyakit-penyakit seperti ini berkait rapat dengan obesiti yang boleh dielakkan menerusi diet dan amalan pemakanan yang betul. Menerusi kerjasama yang dijalin dengan NSM, kami ingin mendidik orang ramai tentang manfaat pemakanan yang baik, agar gaya hidup yang sihat boleh dijurusi demi kebaikan diri masing-masing dalam jangka panjang,” simpul Steven Chin.