Have Halal, Will Travel Rai Budaya Majmuk Singapore dengan ‘Together at The Table 2022’

Malaysia, 11 Oktober 2022 – Have Halal, Will Travel (HHWT) kini menampilkan Singapura sebagai tarikan pelancongan di selatan Malaysia dengan nafas baharu. Baru-baru ini, platform kembara dan gaya hidup terbesar bagi golongan Muslim di Asia ini telah melancarkan sebuah festival makanan dengan tema khusus “Together At The Table 2022” (“Bersama Di Meja Makan 2022”). Acara ini diadakan selari dengan Pesta Makanan Singapura 2022 dengan kerjasama Lembaga Pelancongan Singapura bagi memenuhi permintaan untuk kulinari halal yang semakin meningkat di rantau ini.

“Biarpun lebih terkenal sebagai kota pencakar langit dengan persekitaran yang indah dan rapi, Singapura juga mempunyai presint budaya seperti Chinatown, Little India, Kampong Gelam, dan Katong-Joo Chiat. Kami berhasrat untuk membantu pengunjung daripada segenap lapisan masyarakat untuk menerokai pelbagai pilihan makanan halal yang merupakan permata tersembunyi yang terletak di dalam empat kawasan terkenal ini. Terdapat banyak pengalaman baru yang tersembunyi yang boleh diterokai di setiap sudut di Singapura,” kata Tengku Suzana, pengasas bersama HHWT.

Aktiviti Together At The Table 2022

Bermula sekarang sehingga 23 Oktober 2022, terdapat pelbagai aktiviti bertemakan makanan halal yang boleh dinikmati menerusi acara “Together At The Table 2022”. Aktiviti-aktiviti ini termasuklah tiga kelas pakar, dua pengalaman bersantap khas, dan beberapa jelajah makanan khusus ke presint di Singapura.

Melalui acara ini, peserta berpeluang merasai pengalaman menjamu selera yang khusus untuk memperkenalkan semula ramuan Nusantara yang sudah dilupakan serta jarang ditemui melalui  santapan khas. Peserta juga boleh mendalami dan mempertingkatkan kemahiran kulinari menerusi tiga kelas pakar yang berbeza: sebuah sesi perkongsian ilmu mengenai daging dengan The Meatery, peruncit daging premium milik Muslim. Bagi mereka yang tidak begitu menggemari daging, terdapat juga sesi mempelajari cara membuat pasta segar dengan Tipo a pasta café, dan kelas bimbingan ‘mocktail’ yang dikendalikan oleh Picanhas, sebuah restoran stik halal di Singapura.

Makanan Halal Di Hujung Jari

Seiring dengan kempen ‘Together At The Table, HHWT juga melancarkan platform perdagangan sosial, Tribes, buat pengembara Muslim untuk menemui destinasi dan mendapatkan cadangan daripada komuniti mengenai penginapan, aktiviti, lokasi makanan, apa yang boleh dibeli dan cara untuk ke sana.

Platform yang dipacu komuniti ini membolehkan ahli-ahli Tribes berinteraksi melalui perkongsian kandungan yang membantu pengguna membuat keputusan yang lebih baik untuk aktiviti pengembaraan dan pembelian mereka. Para ahli juga boleh menyumbang dengan berkongsi reviu, menyunting senarai atau mencadangkan senarai baharu untuk memperolehi mata, yang seterusnya boleh digunakan untuk membeli tawaran eksklusif dalam talian. Antara aktiviti yang ada termasuklah sesi santap persendirian, kelas masakan pakar dan aktiviti jelajah.

Pilih Tribes untuk perjalanan ke Singapura anda yang seterusnya!

© 2023 BlackButterfly DesignArts