Hari Harimau Antarabangsa: Menyelamatkan Harimau Malaya Dari Ambang Kepupusan

Pemerkasaan undang-undang demi memulihara dan melindungi habitat Harimau Malaya

Kuala Lumpur, 8 Ogos 2022 — Projek Improving Connectivity Central Forest Spine (IC-CFS) terus menyokong usaha perlindungan landskap harimau di kawasan Central Forest Spine dengan keluasan 6.71 juta hektar. Pelbagai usaha sedang giat dijalankan bagi meningkatkan kapasiti kerajaan Persekutuan dan Negeri dalam memulihara dan mengurus hutan dengan lebih baik, serta mengukuhkan penguatkuasaan undang-undang bagi mengurangkan jenayah hidupan liar dan perhutanan.

Sebagai tanda komitmen dalam mencapai matlamat ini, Projek IC-CFS turut bekerjasama dengan agensi kerajaan dan entiti swasta, termasuk Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pahang dan Johor, serta Perbadanan Taman Negeri Perak dan Perbadanan Taman Negara Johor bagi meningkatkan lagi usaha pemuliharaan Harimau Malaya dan habitatnya.

IC-CFS Logo

Harimau Malaya yang hanya boleh ditemui di Semenanjung Malaysia mengalami penurunan populasi yang kritikal. Menurut Tinjauan Harimau Kebangsaan Pertama yang dijalankan pada tahun 2016 hingga 2020 oleh PERHILITAN, populasi Harimau Malaya di habitat liar berjumlah kurang daripada 150 ekor. Sekiranya tiada tindakan luar biasa yang diambil oleh pihak berkaitan, Malaysia dijangka kehilangan spesies berharga ini dalam masa terdekat. Bagi memastikan Harimau Malaya terus hidup, langkah luar biasa perlu diambil segera bagi menangani ancaman kepupusan termasuk pemuliharaan habitat serta pembasmian pemburuan haiwan liar secara haram.

“Baru-baru ini, PERHILITAN berjaya menahan 3 pemburu haram di Tapak Ramsar, Tasek Bera,  Pahang melalui Operasi Bersepadu Khazanah (OBK). Operasi tersebut dijalankan oleh pegawai daripada PERHILITAN, bersama Jabatan Perhutanan Negeri Pahang dan Veteran Angkatan Tentera Malaysia dan Orang Asli (VeTOA). Operasi bersepadu antara agensi kerajaan dalam melindungi habitat hidupan liar diperlukan bagi melaksanakan penguatkuasaan secara berkesan” kata Dato’ Abdul Kadir bin Abu Hashim, Ketua Pengarah PERHILITAN.

Usaha penguatkuasaan diperkasakan lagi melaui Projek IC-CFS, di mana 21 pegawai daripada Jabatan Perhutanan Negeri Perak, Pahang dan Johor, serta pegawai dari Perbadanan Taman Negara Johor dan Perbadanan Taman Negeri Perak diberi kuasa di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 [Akta 176]. “Dengan kapasiti penguatkuasaan yang lebih besar, kami berharap bilangan pemburuan haram dapat dikurangkan dengan ketara atau dihapuskan terus bagi melindungi habitat harimau di landskap Central Forest Spine”, kata Dr. Samsudin Musa, Pengurus Projek IC-CFS.

Sebagai usaha tambahan dalam melindungi Harimau Malaya dan habitatnya, Projek IC-CFS turut memberi sokongan kepada PERHILITAN dalam menubuhkan Local Community Rangers (LCR) bagi menjalankan program yang meliputi penghapusan jerat, pemantauan hidupan liar dan rondaan. Program- program ini telah dilaksanakan dengan sokongan daripada PELINDUNG; sebuah NGO tempatan. Pada awal tahun 2022, program LCR telah ditubuhkan di bawah seliaan PERHILITAN dengan LCR dilantik sebagai Renjer Hidupan Liar di bawah Program Perlindungan Biodiversiti dan Rondaan (BP3).

Menurut Dato’ Zahari Ibrahim, Pengarah Projek Kebangsaan Projek IC-CFS, usaha pemuliharaan mampan membawa manfaat kepada hutan dan hidupan liar kita. Dengan peningkatan pemantauan hidupan liar global, kini terdapat  40% lebih banyak harimau di habitat liar berdasarkan Senarai Merah Spesies Terancam yang terkini, oleh Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi. Keadaan sama turut dirasai di Malaysia dengan penemuan 4 anak Harimau Malaya baru-baru ini yang dikesan melalui perangkap kamera. Ini memberi kita petunjuk bahawa terdapat pembiakan populasi harimau yang sihat. Pemuliharaan habitat harimau dan penyediaan kawasan perlindungan yang selamat bagi semua hidupan liar dalam memastikan harimau terus membiak dalam persekitaran yang selamat dan kondusif amat diperlukan.

Hari Harimau Antarabangsa, yang disambut pada 29 Julai setiap tahun, merupakan tarikh penting bagi Malaysia, lebih-labih lagi dengan ancaman yang dihadapi oleh Harimau Malaya. Harimau Malaya merupakan kebanggaan negara sepertimana terpampang jelas pada lambang jata negara ini. Usaha berterusan di bawah Projek IC-CFS yang memfokuskan kepada perlindungan dan pengurusan landskap hutan yang mampan bagi kawasan habitat harimau kritikal selaras dengan Pelan Induk Central Forest Spine diharap mampu menyokong usaha negara bagi menangani kepupusan Harimau Malaya dan memastikan Harimau Malaya terus bebas berkeliaran di hutan kita bagi generasi akan datang.

© 2023 BlackButterfly DesignArts