Platform barangan runcit dalam talian yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, HappyFresh telah melancarkan HappyFresh Supermarket untuk membawakan keperluan runcit berkualiti dari beraneka jenis rangkaian bekalan barangan segar dan kering kepada lebih ramai pengguna di Asia Tenggara, sebagai pelengkap kepada strategi sedia ada HappyFresh dalam kerjasamanya dengan rantaian pasaraya di peringkat negara dan rantau, untuk menawarkan lebih banyak lagi pilihan kepada pelanggan.
Dengan lebih 15,000 SKU di tiga zon suhu yang dikawal rapi, HappyFresh Supermarket telah dilancarkan di bandar-bandar utama di Indonesia, Malaysia, dan Thailand, seperti Jakarta, Kuala Lumpur, dan Bangkok, dan sedang pesat berkembang di serata pasaran.
HappyFresh Supermarket menjanjikan nilai untuk wang yang hebat bagi pelanggan dan tiada situasi kehabisan stok, menawarkan penghantaran segera dan pada hari yang sama supaya lebih ramai pelanggan akan terdorong untuk membiasakan diri dengan pembelian barangan runcit secara dalam talian sebagai sebahagian daripada aktiviti membeli-belah dalam talian mereka.
Kuala Lumpur, 8 Februari 2022 – Platform barangan runcit dalam talian yang paling pesat berkembang di Asia Tenggara, HappyFresh, telah melancarkan HappyFresh Supermarket untuk meningkatkan akses kepada barangan runcit segar dan kering dengan memperluaskan kehadiran dark store syarikat tersebut di rantau ini. HappyFresh menyasarkan untuk menyediakan pengalaman pembelian barangan runcit secara dalam talian yang mudah dan menyenangkan, dengan produk-produk berkualiti tinggi yang baru dipilih dengan teliti dibawakan terus ke depan pintu rumah pelanggan, dengan penghantaran percuma bagi setiap pesanan.
HappyFresh memahami bahawa pelanggan perlu mempunyai pilihan dalam pembelian barangan runcit mingguan mereka dalam pelbagai kategori, terutamanya dalam kategori barangan segar, oleh itu terdapat keperluan untuk mempelbagaikan rangkaian barangan yang ditawarkan. Ini akan meningkatkan nilai pesanan dan mendorong penglibatan, yang menjadikannya model yang mampan bagi jangka masa panjang, berbanding dengan misi beli-belah “tambah nilai dan penghantaran segera”. Pelaksanaannya dapat dilakukan oleh HappyFresh Supermarket dengan lebih daripada 15,000 unit penyimpanan stok (SKU) bagi produk segar, kering, dan sejuk beku dalam inventori syarikat tersebut di tiga zon suhu yang sentiasa dikawal rapi. Setelah dilancarkan di Jakarta, Kuala Lumpur, dan Bangkok – dan dalam proses pertumbuhan yang pesat di setiap pasaran, HappyFresh Supermarket akan menawarkan harga yang kompetitif serta memberikan nilai untuk wang yang hebat kepada para pelanggan bagi pembelian mereka, tanpa terjadinya situasi kehabisan stok.
“HappyFresh Supermarket kini semakin hampir dengan visi kami untuk membawakan kemudahan dalam kehidupan pelanggan kami dan dalam tempoh hanya dua bulan selepas pelancaran, kami dapat menyaksikan minat yang mengagumkan dengan pertumbuhan pengguna dari bulan ke bulan sebanyak 300%. Untuk memenuhi permintaan ini, kami akan melancarkan lebih banyak lagi pusat kemudahan untuk meningkatkan kawasan liputan kami dan menyediakan akses yang lebih baik. Barangan runcit sememangnya dalam DNA kami,” kata Guillem Segarra, Ketua Pegawai Eksekutif HappyFresh.
Kesan daripada pandemik, pengguna kini semakin sensitif terhadap harga dan produk. Mereka menginginkan ketelusan serta jenama yang boleh dipercayai, yang dapat menyediakan penyelesaian yang mudah, boleh diharap dan disesuaikan mengikut keperluan mereka. Berbekalkan pengalaman, data dan pengetahuan selama hampir satu dekad, HappyFresh mempunyai pemahaman yang tinggi untuk memenuhi keperluan tersebut, dan dengan itu, dapat menangani masalah yang biasa dihadapi oleh pasaraya fizikal.
Di samping itu, Hunhui Hu, Pengarah Urusan bagi Malaysia menjelaskan, “Selain mengutamakan harga yang kompetitif, pengguna turut meletakkan keutamaan pada kualiti perkhidmatan, kerana itulah kami menubuhkan HappyFresh Supermarket, di mana kami mempunyai kawalan yang lebih terhadap perkhidmatan yang disediakan kepada semua isi rumah. Industri e-dagang di Malaysia telah berkembang dengan pesat dalam tahun-tahun kebelakangan ini, yang didorong oleh peningkatan dalam penggunaan telefon pintar dan kesanggupan pembeli untuk membuat pembelian dari luar negara. Pada tahun 2020 terutamanya, wabak COVID-19 telah mempercepatkan lagi pertumbuhan industri e-dagang. Kira-kira 62% rakyat Malaysia kini membuat pembelian secara dalam talian, kebanyakannya melalui peranti mudah alih (47%), dan ia dijangka akan meningkat sebanyak 31.4%. Pandemik COVID-19 telah mencetuskan transformasi dari segi strategi perniagaan peruncit di Malaysia ke arah e-dagang dan Internet benda (IoT).”
“Industri barangan runcit kini sedang mengalami transformasi yang besar yang didorong oleh perubahan fundamental dalam tabiat membeli-belah. Asia Tenggara pada masa ini berada di titik peralihan transformasi tersebut. Memandangkan ini adalah industri yang bernilai $300 bilion, ia akan membentuk asas kepada bagaimana 100 juta orang seterusnya akan membeli barangan runcit dan ia akan menjadi tumpuan utama kami sebagai sebuah syarikat. Kami percaya bahawa pelanggan kami wajar mempunyai pilihan dari rangkaian produk yang luas, yang dipilih dengan teliti pada harga yang berpatutan, tanpa perlu bertolak ansur dari segi kualiti. HappyFresh Supermarket adalah kedai sehenti anda untuk memenuhi keperluan barangan runcit harian dan mingguan anda, dan kami ingin menyediakan kemudahan ini kepada semua,” tambah Segarra.
HappyFresh percaya bahawa pendemokrasian pembelian barangan runcit di rantau ini perlu dicapai secara mampan. Di pusat-pusat kemudahan HappyFresh Supermarket, pendekatan yang mampan dan prihatin terhadap alam sekitar telah diguna pakai sejak mula beroperasi lagi, antaranya mengurangkan penggunaan plastik serta program pengurusan inventori dengan kerjasama bank makanan tempatan seperti FoodCycle di Jakarta dan Food Aid Foundation di Malaysia. Bank makanan di Malaysia tersebut khususnya mempunyai keutamaan yang selari dengan keutamaan ESG HappyFresh untuk mengedarkan semula lebihan makanan. Pelanggan juga digalakkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka dengan memilih pembungkusan “GoGreen” semasa menyemak keluar. Ini adalah antara langkah kecil yang dilaksanakan dalam rancangan yang lebih besar untuk mengupayakan ekosistem yang mampan.