GMBB DAN KURATOR PHILLIP WONG LAKUKAN #MORETOGETHER BAGI MERAIKAN KEPELBAGAIAN DAN KREATIVITI DENGAN TELUR PECAH 2.022

Telur Pecah 2.022 merupakan pameran seni kontemporari yang akan menampilkan lebih daripada 300 karya seni oleh 128 karyawan Malaysia dalam 10 kategori
Selami bakat artis Malaysia dan karya seni unik mereka di pameran seni Telur Pecah 2.022 yang berlangsung di GMBB dari 12 Oktober hingga 13 November 2022

Kuala Lumpur, 11 Oktober 2022 – GMBB pusat beli-belah komuniti kreatif Malaysia bersama dengan kurator Phillip Wong kembali lagi hari ini dengan edisi kedua pameran seni kontemporari Telur Pecah bagi meraikan kepelbagaian dalam seni yang menampilkan 128 karyawan dari pelbagai latar belakang. Pelancaran rasminya hari ini disempurnakan dan dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan YB Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Bermula pada tahun 2021 sebagai pameran untuk karyawan Malaysia berkongsi dan mempamerkan karya semasa tempoh pandemik, Telur Pecah kini kembali lagi – kini lebih besar dan lebih menarik! Kejayaan edisi pertamanya menjadi pemangkin bagi Telur Pecah 2.022 menjadi platform bukan sahaja untuk merapatkan jurang masyarakat umum Malaysia dengan seni, tetapi menyediakan peluang dan platform untuk menggabungkan karya-karya seni Malaysia. Berlangsung dari 12 Oktober hingga 13 November 2022, Telur Pecah 2.022 akan menampilkan lebih 300 karya seni daripada 128 karyawan bebas Malaysia yang amatur dan terkenal, disusun mengikut 10 kategori. Pameran seni ini dijayakan dengan sokongan pelbagai organisasi seperti Institut Seni Malaysia (MIA), Universiti Teknologi MARA, Aswara Malaysia, Universiti UCSI, Angkatan Pelukis SeMalaysia, Persatuan Seni Rupa Malaysia (PeRUPA), WOW 1.0 dari Kota Kinabalu, HAUS dari Kuching serta penyewa tetap GMBB GERIMIS dan OLFAC3 Perfumes yang akan mengharumkan sudut-sudut tertentu di pameran ini.

Menyedari kepentingan seni dan budaya dalam menggalakkan penyertaan dan meraikan kepelbagaian, GMBB percaya dalam melakukan #MoreTogether untuk, dan bersama-sama, komuniti seni kreatif Malaysia. Lim Ying Xian, Kurator GMBB berkongsi, “Salah satu matlamat diharapkan dapat dicapai oleh GMBB – dan apa yang kami rasa membezakan GMBB – adalah untuk orang ramai melihat bahawa seni ada pada segala-galanya di sekeliling mereka. Seni wujud dalam kisah kita, sejarah kita, kata-kata kita, daripada seni jalanan kepada seni halus, malah seni di sebalik pakaian yang kita pakai, seni ada pada segala-galanya di sekitar kita. Kami berharap dengan menganjurkan pameran seperti ini dapat mewujudkan lebih banyak permintaan untuk produk seni dan budaya tempatan di samping menyediakan platform untuk lebih ramai artis, karyawan dan kreatif untuk mempamerkan bakat dan kepelbagaian mereka kepada orang ramai.”

Ujar Lim lagi, “Telur Pecah merupakan salah satu inisiatif dalam melakukan #MoreTogether untuk komuniti karyawan di Malaysia. Ia merupakan salah satu usaha utama GMBB dalam bidang seni halus, memanfaatkan kepelbagaian dan kebolehcapaian ruang yang dimiliki oleh pusat beli-belah GMBB. Sebagai penganjur Telur Pecah pada tahun 2021, GMBB kembali sekali lagi pada tahun ini dengan pemahaman yang lebih baik tentang keperluan dan cabaran yang dihadapi dalam menganjurkan pameran seni kontemporari.”

Pameran seni pada tahun 2022 ini dilihat lebih besar, menyaksikan GMBB menonjolkan lebih ramai barisan karyawan. Tahun ini, Telur Pecah 2.022 akan menampilkan kumpulan karyawan senior, beberapa artis media baharu yang menarik, serta pemasangan dan pameran solo yang menampilkan pelbagai jenis medium daripada asap kepada pemasangan semula jadi (akar dan pokok menjalar), seni AR dan banyak lagi. “Terdapat juga karyawan yang mengambil bahagian dari Sabah dan Sarawak serta kategori yang menampilkan artis Orang Asli. Visinya adalah untuk membawa semua orang bersama-sama melakukan #MoreTogether dengan komuniti seni kreatif yang lebih luas,” tambah Lim.

Telur Pecah 2.022 disusun oleh Phillip Wong, bekas ahli Lembaga Pembangunan Visual Negara dan penyokong aktif gerakan seni belia selama lebih tiga dekad. Pameran seni kontemporari ini dibina berdasarkan konsep bebas, pada saat ini, inspirasi dan keaslian Malaysia. Dalam era pasca-pandemik ini, Phillip merasakan adanya keperluan untuk mewujudkan platform di mana rakyat Malaysia dapat berkumpul bersama-sama pada ketika ini untuk menyokong seni dan karyawan Malaysia. “Adalah visi saya untuk mewujudkan Telur Pecah sebagai platform di mana semua karyawan di Malaysia tanpa mengira latar belakang mempamerkan karya seni mereka,” kata Phillip. Mengelak dari asyik melakukan perkara yang sama, Phillip berharap rujukan tajuk Telur Pecah itu yang menggambarkan – memecahkan kuning telur sambil menggoreng telur – akan membantu #meanMore dalam memecahkan tradisi konvensyen artistik yang menyekat penghargaan masyarakat umum Malaysia terhadap seni.

Telur Pecah 2.022 menampilkan 10 kategori umum berdasarkan profil setiap karyawan. Pengkategorian ini adalah pilihan oleh Phillip bagi membiarkan setiap karya seni berbicara dengan sendiri, menghasilkan satu pengalaman yang berwarna-warni dan mengujakan yang akan memberikan lebih makna (#meanMore). Dengan barisan karyawan-karyawan kreatif seperti MUSE, INSIDE OUT, GENERATION, GIFTED dan FUTURE, kategori Telur Pecah 2.022 mencerminkan keterangkuman yang menonjolkan kepelbagaian dan keunikan setiap karyawan di Malaysia. GIFTED menampilkan bakat dari kanak-kanak dengan keperluan khas tanpa mengira kekurangan atau keadaan manakala INDIGENOUS mempersembahkan hasil seni dari karyawan Orang Asli di mana akar umbi keturunan mereka merupakan komponen utama dalam melakukan karya mereka. Sementara itu, INSIDE OUT menawarkan peluang yang jarang berlaku untuk artis grafiti mengecat bahagian dalam bangunan dan bukannya di luar, mempromosikan penyertaan walaupun dari kategori yang dahulunya cukup kontroversi seperti grafiti.

Telur Pecah 2.022 akan diadakan di Kesana-Kesini, ruang kongsi GMBB yang terletak di tingkat 3A dan dibuka kepada orang ramai dari 12 Oktober hingga 13 November 2022 dari 11 pagi hingga 8 malam. Kemasukan adalah percuma dan orang ramai dialu-alukan untuk membeli mana-mana karya seni yang dipamerkan.

Selain daripada menyediakan rumah kekal dan sementara untuk artis-artis bebas dan perniagaan kreatif, GMBB juga hadir dengan acara dan kandungan sendiri secara konsisten sambil menyokong komuniti kreatif dan budaya untuk melakukan perkara yang sama. Antara aktiviti bakal dianjurkan yang akan berlangsung di GMBB termasuklah sambutan Halloween yang dipacu komuniti dan satu siri bengkel yang berpusat pada lima elemen – Kayu, Api, Bumi, Logam dan Air.

Untuk maklumat lanjut mengenai GMBB dan Telur Pecah 2.022 serta  perkembangan terkini, sila ikuti kami di akaun Facebook di www.facebook.com/gmbbkl/ atau Instagram di www.instagram.com/gmbb.kl/.

© 2023 BlackButterfly DesignArts