Pejuang Tindakan Iklim dan Kemanusiaan Mohamed Nasheed Menerima Anugerah Warga Global Berprestij
LONDON, Nov. 28, 2024 (GLOBE NEWSWIRE) -- Aktivis perintis hak asasi manusia dan pejuang tindakan iklim, Mohamed Nasheed telah diumumkan sebagai penerima Anugerah Warga Global 2024. Beliau merupakan bekas Presiden Maldives dan pada masa ini memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung Forum Kerentanan Iklim. Penghormatan tahunan ini disampaikan oleh firma penasihat mastautin dan kewarganegaraan antarabangsa terkemuka, Henley & Partners, dengan kerjasama Andan Foundation, sebuah organisasi kemanusiaan bukan untung Switzerland, sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau yang berkesan dalam memajukan hak asasi manusia dan daya tahan iklim di seluruh dunia.
Anugerah berprestij itu memberikan penghormatan kepada individu yang menunjukkan keberanian dan komitmen luar biasa dalam memperbaiki dan menyokong komuniti global dan telah disampaikan pada majlis gala semasa Persidangan Kewarganegaraan Global tahunan yang ke-18 di Singapura. Persidangan itu menghimpunkan presiden dan perdana menteri, menteri dan pegawai kanan kerajaan yang lain, ahli akademik terkemuka, serta penasihat pelanggan peribadi peringkat tinggi dan profesional pengurusan kekayaan.
Presiden Nasheed menerima Anugerah Warga Global berdasarkan komitmennya yang tidak berbelah bahagi terhadap kelestarian alam sekitar dan perjuangan kemanusiaan, khususnya dalam memperjuangkan daya tahan iklim untuk negara yang rentan. Sejak berkhidmat sebagai presiden Maldives pertama yang dipilih secara demokratik, beliau telah memainkan peranan penting dalam menangani krisis iklim global. Sebagai Setiausaha Agung Forum Kerentanan Iklim yang mewakili 70 negara, beliau telah mengetuai pelbagai usaha advokasi. Beliau telah memperjuangkan tenaga yang boleh diperbaharui dan mengetuai projek daya tahan iklim di Maldives dan pada peringkat antarabangsa. Inisiatif beliau telah membentuk dasar iklim global yang signifikan, terutamanya bagi negara rentan yang paling berisiko dilanda kesan perubahan iklim. Dasar ini berpotensi memperbaiki keadaan hidup di seluruh dunia.
Pengerusi Henley & Partners dan Pengasas Andan, Dr. Christian H. Kaelin mengulas mengenai pengiktirafan tersebut. “Dedikasi Presiden Nasheed terhadap usaha kemanusiaan dan tindakan iklim untuk komuniti rentan benar-benar luar biasa. Sebagai pejuang berdedikasi bagi bumi kita dan penduduk dunia yang paling berisiko, beliau telah menguatkan lagi seruan penting bagi mencapai daya tahan iklim dan kesaksamaan sosial di seluruh dunia. Nasheed merangkul semangat kewarganegaraan global, merapatkan jurang dan memperjuangkan masa depan yang lestari bagi golongan paling rentan. Kami berbesar hati dapat memberikan pengiktirafan ini kepada seorang pemimpin yang mempunyai visi melangkaui sempadan dan generasi.”
Proses pemilihan Anugerah Warga Global tersebut dibuat berdasarkan keputusan majoriti Jawatankuasa Anugerah Warga Global. Anugerah itu sendiri terdiri daripada pingat arca yang direka khas oleh artis Itali terkemuka Antonio Nocera, sijil anugerah yang ditandatangani oleh Pengerusi Jawatankuasa Anugerah Warga Global dan hadiah berbentuk wang sebanyak USD 20,000, yang digunakan untuk menyokong usaha kemanusiaan penerima anugerah. Di samping itu, Henley & Partners komited untuk bekerjasama rapat dengan penerima anugerah untuk tempoh satu tahun, meningkatkan kesedaran mengenai usaha mereka dan menyokong projek yang dipilih melalui rangkaian firma itu yang merangkumi lebih 60 pejabat di seluruh dunia.
Sejak penubuhannya, Anugerah Warga Global telah memberikan penghormatan kepada ramai individu luar biasa. Penerima penghormatan pertama anugerah ialah usahawan Jerman, Harald Höppner, yang telah menubuhkan projek bantuan kemanusian pelarian Sea-Watch. Penerima-penerima lain termasuklah Dr. Imtiaz Sooliman, Pengasas kepada Yayasan Gift of the Givers, organisasi bantuan bencana terbesar Africa dan Monique Morrow, Pengasas Bersama The Humanized Internet, sebuah projek identiti digital yang menyasarkan untuk membawakan harapan kepada kira-kira 1.1 bilion individu di dunia yang tidak dapat mengesahkan identiti mereka dari segi undang-undang. Diep Vuong, Pengasas Bersama dan Presiden Pacific Links Foundation, telah menerima anugerah tersebut atas usaha beliau di Asia Tenggara yang memperjuangkan hak asasi bagi mereka yang menjadi hamba akibat pemerdagangan manusia. Prof. Dr. Padraig O’Malley menerima Anugerah Warga Global sebagai pengiktirafan bagi usaha beliau dalam penyelesaian persengketaan dan pendamaian di Iraq, Ireland Utara dan Afrika Selatan. Tahun lalu anugerah itu diberikan kepada tokoh kemanusiaan, kedermawanan dan Sekolah Yayasan Future Prowess untuk anak yatim dan kanak-kanak kurang bernasib baik, Zannah Bukar Mustapha atas peranan penting beliau dalam pengantaraan pembebasan lebih 100 pelajar perempuan di Chibok yang diculik oleh kumpulan pemberontak Islam Boko Haram di Nigeria pada April 2014, sehingga mencetuskan kempen antarabangsa #BringBackOurGirls.
Nasheed merakamkan ucapan terima kasih kepada Henley & Partners dan Andan Foundation atas pengiktirafan terhadap kerja beliau serta berkata, “Saya amat berbesar hati menerima anugerah ini, yang menekankan komitmen bersama kami untuk menangani krisis iklim dan melindungi golongan yang paling berisiko. Perubahan sebenar bermula dengan perpaduan dan bersama-sama, kemanusiaan bersama mampu mengatasi cabaran yang membentuk masa depan kita."
Hubungan Media:
Sarah Nicklin
Ketua PR Kumpulan
[email protected]
+27 72 464 8965
A photo accompanying this announcement is available at https://www.globenewswire.com/NewsRoom/AttachmentNg/6656c0dc-fc12-4ebd-b19d-841562a91067