Gift Of Time: Memperkasa Pemandiri Kanser Payudara dengan Sokongan, Ilmu Pengetahuan, dan Harapan 

  • Pulau Pinang mencatatkan kes kanser payudara tertinggi di negara ini, terutamanya di kalangan wanita berusia 40 hingga 69 tahun 
  • Acara Gift of Time meraikan kekuatan pemandiri kanser payudara, menawarkan ruang sokongan untuk mereka saling berhubung, memahami pilihan rawatan mereka dan melibatkan diri dalam aktiviti memupuk keprihatinan
  • Kemajuan dalam bidang perubatan telah membawa kepada penemuan kaedah rawatan baharu yang direka khusus untuk merawat subjenis kanser payudara tertentu, membolehkan pemandiri kanser payudara lanjutan (Advanced Breast Cancer) menjalani kehidupan dengan lebih baik dan mempunyai lebih banyak masa untuk meraikan pencapaian dalam hidup 
Gift Of Time: Memperkasa Pemandiri Kanser Payudara dengan Sokongan, Ilmu Pengetahuan, dan Harapan 

Pulau Pinang, 3 September 2024 – Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM), dengan sokongan Novartis Malaysia, dan pakar onkologi dari Hospital Adventist Pulau Pinang, menganjurkan satu acara istimewa “Gift of Time” bagi meraikan kedayatahanan dan harapan pemandiri kanser payudara. Ia bertujuan untuk memupuk rangkaian sokongan rakan sebaya di kalangan pemandiri kanser payudara.

Pulau Pinang Mencatatkan Kadar Kanser Payudara Tertinggi

Acara yang diadakan di Pulau Pinang ini merupakan acara kedua dalam siri yang dianjurkan khusus bagi memperingati mereka yang berdepan dengan kesukaran. Inisiatif ini sangat penting kerana Pulau Pinang mencatatkan kes kanser payudara tertinggi di negara ini, dengan 50 kes bagi setiap 100,000 wanita1.

Kanser payudara kekal sebagai kanser yang paling biasa berlaku di kalangan wanita Malaysia2. Berbeza dengan negara-negara Barat, di mana kanser payudara lebih kerap didiagnosis pada wanita lebih tua (antara 60 hingga 70 tahun), wanita di negara-negara Asia biasanya didiagnosis dengan kanser payudara ketika mereka berusia 40 hingga 50 tahun3.

Platform untuk Hubungan Bermakna

Memandangkan kadar prevalens di peringkat tempatan adalah sangat tinggi, acara “Gift of Time” menyediakan ruang yang selamat untuk wanita mencari kekuatan dalam pengalaman masing-masing. Ia termasuk ceramah kesihatan daripada pakar onkologi ternama, sesi perkongsian pemandiri, dan aktiviti memupuk keprihatinan.

Ketua Perkhidmatan Luaran Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia, Dr Dalilah Kamarudin berkata, “Perjalanan melawan kanser bukan sekadar rawatan sahaja. Pemandiri kanser payudara perlu masa untuk menyesuaikan diri dengan realiti baharu. Matlamatnya adalah untuk mencari keseimbangan yang betul antara rawatan dan penjagaan diri bagi memastikan kesihatan fizikal, emosi, dan sosial yang optimum, membawa kepada peningkatan kualiti hidup.”

Gift Of Time: Memperkasa Pemandiri Kanser Payudara dengan Sokongan, Ilmu Pengetahuan, dan Harapan 

Perkongsian Pemandiri Kanser Sebanyak Tiga Kali

Salah seorang pemandiri kanser payudara yang berusia 48 tahun turut berkongsi pengalamannya melawan penyakit itu. Ujarnya, “Kisah saya bermula dengan kanser ovari pada usia 25 tahun, dikuti pula dengan kanser payudara dan kemudiannya berulang lagi. Ia telah memberikan pengajaran yang tidak ternilai kepada saya. Setiap episod menuntut saya untuk menilai semula kehidupan dan menerima perubahan.

Saya yakin dengan mencari makna menerusi cabaran ini dan menjadi lebih kuat setiap kali dilanda kesukaran. Harapan bukan sekadar mengenai kelangsungan hidup; ia mengenai transformasi dan menghargai kehidupan dengan cara baharu, sama seperti rama-rama yang mengalami proses metamorfosis.”   

Acara itu juga bertujuan untuk memaklumkan pemandiri kanser payudara mengenai pelbagai jenis kanser payudara dan inovasi dalam bidang perubatan yang dapat membantu mereka menjalani kehidupan dengan baik dan lebih lama.

Rawatan Bersasar untuk Jenis Kanser Payudara yang Berbeza

Gift Of Time: Memperkasa Pemandiri Kanser Payudara dengan Sokongan, Ilmu Pengetahuan, dan Harapan 

Pakar Perunding Onkologi Hospital Adventist Pulau Pinang, Dr Ang Soo Fan berkongsi, “Kemajuan yang signifikan telah dibuat dalam pengklasifikasian kanser payudara, jelas menunjukkan bahawa tidak semua kanser payudara mempamerkan sifat yang sama. Ia secara amnya boleh diklasifikasikan kepada kanser payudara positif hormon, HER2+ dan triple-negatif. Perbezaan ini telah membawa kepada rawatan yang disesuaikan mengikut subjenis kanser payudara, latar belakang, masalah perubatan, dan keperluan sosial pesakit.”

Sementara itu, Pakar Perunding Onkologi Hospital Adventist Pulau Pinang, Dr Kiley Loh berkata, “Di peringkat tempatan, ramai pesakit kanser didiagnosis pada tahap lanjutan. Walaupun ia merupakan diagnosis yang serius, penting untuk diingatkan bahawa inovasi perubatan masa kini semakin maju. Apabila mempertimbangkan pilihan rawatan, faktor kualiti hidup adalah sama penting dengan kelangsungan hidup. Dengan menggabungkan rawatan yang betul, senaman yang kerap dan amalan gaya hidup yang sihat, pemandiri kanser payudara boleh menikmati kesihatan yang lebih baik.”

Kerjasama adalah Penting dalam Usaha Meningkatkan Penjagaan dan Kesembuhan Pesakit

Presiden Negara Novartis Malaysia dan Brunei, Mohamed Elwakil menjelaskan, “Gift of Time” adalah sebuah platform yang telah kami bina untuk melangkaui batasan untuk para pesakit.  Siri acara ini membolehkan kami membawa lebih banyak rakan kongsi, hospital, kumpulan advokasi pesakit, pertubuhan bukan kerajaan, untuk memberikan perkhidmatan kepada lebih ramai pesakit selain menyediakan rawatan berinovatif. Kami berharap untuk menjalinkan lebih banyak lagi kerjasama di masa depan.

Kami gembira dengan kejayaan yang dicapai oleh acara seperti ini, di mana para pesakit dan penjaga yang menghadiri acara “Gift of Time” berasa lebih bermotivasi. Semua peserta dari Pulau Pinang berkata mereka pasti akan mengambil bahagian dalam acara lain seperti ini jika diberi peluang.

Saya yakin ini adalah kerana kami telah membuat persediaan yang baik dan memahami bahawa sokongan rakan sebaya memainkan peranan yang penting dalam pemandiri kanser4. Dengan menyediakan ruang di mana mereka boleh membentuk hubungan dengan pemandiri kanser yang lain, kami dapat menangani halangan psikososial yang masih menjadi keperluan yang tidak dipenuhi bagi sesetengah pesakit kanser payudara.”   

Acara ini juga merupakan acara APPISx pertama di Malaysia, sebuah inisiatif peringkat negara yang selari dengan platform serantau (Asia Pasifik, Timur Tengah dan Afrika) yang lebih besar dikenali sebagai APPIS (Perikatan & Perkongsian Inovasi & Penyelesaian untuk Para Pesakit).

APPIS menyasarkan untuk menyatukan komuniti pesakit dan pemegang taruh utama dalam ekosistem penjagaan kesihatan bagi menangani halangan di Malaysia dan rantau ini. Sejak ia ditubuhkan, lebih 2,000 orang dari lebih 60 negara, termasuk 400 organisasi pesakit, pembuat dasar, pembiaya, pakar perubatan, ahli akademik, dan inovator digital, telah berkumpul untuk berkongsi idea tentang cara untuk meningkatkan akses dan kesembuhan pesakit.

Mengenai Novartis Malaysia 

Novartis mempunyai warisan dan legasi yang lama di Malaysia. Diasaskan pada 1971, kami merupakan sebuah syarikat multinasional terkemuka dengan hampir 700 kakitangan yang berkhidmat di bahagian Novartis International dan Novartis Corporate Center di Kuala Lumpur. Selama kehadiran kami di Malaysia sepanjang 50 tahun, Novartis Malaysia terus melaksanakan matlamat korporat untuk membayangkan semula perubatan untuk menambah baik dan memanjangkan hayat lebih 32 juta rakyat Malaysia.  

Pada 2022, Novartis Malaysia telah diiktiraf sebagai Penaja Terbaik oleh Clinical Research Malaysia kerana memulakan 24 kajian klinikal baharu. Kami juga mempunyai rekod prestasi yang terbukti dalam meluaskan akses kepada ubat-ubatan inovatif kami dalam sektor swasta atau awam melalui kerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia. Menerusi kerjasama tersebut, Novartis telah berjaya menyentuh kehidupan lebih daripada 1.7 juta pesakit Malaysia.  

Pejabat Novartis Malaysia terletak di bangunan baharu yang termaju bernama Plaza Imazium di Damansara Utama, Petaling Jaya. Novartis Malaysia menduduki 2 tingkat dan merupakan salah satu daripada 20 pejabat di Malaysia yang telah menerima pensijilan LEED Gold dan pejabat pertama menerima pensjilian WELL Silver. 

Rujukan

  1. Azman, N., Hami, R., Mohd Mujar, N., Fadzillah, N., Hussin, H., Shaukat, S., & Mohd Shariff, N. (2019). Long-term Survivorship of Breast Cancer Patients and Its Prognostic Factors: A Tertiary Oncological Center Experience in Penang. Malaysian Journal of Medicine and Health Sciences, 2636-9346
  2. Hisham, A., Yip, C.. (2004).  Overview of breast cancer in Malaysian women: A problem with late diagnosis. Asian Journal of Surgery, 27(2), 130-133. https://doi.org/10.1016/s1015-9584(09)60326-2
  3. Leong, S. P., Shen, Z., Liu, T., Agarwal, G., Tajima, T., Paik, N., Sandelin, K., Derossis, A., Cody, H., & Foulkes, W. D. (2010). Is breast cancer the same disease in Asian and Western countries? World Journal of Surgery, 34(10), 2308–2324. https://doi.org/10.1007/s00268-010-0683-1
  4. Kiemen, A., Czornik, M., & Weis, J. (2023). How effective is peer-to-peer support in cancer patients and survivors? A systematic review. Journal of Cancer Research and Clinical Oncology, 149(11), 9461–9485. https://doi.org/10.1007/s00432-023-04753-8
© 2024 BlackButterfly DesignArts