Geran Khas Hasanah 2022 dirancakkan dengan penganugerahan kepada 8 organisasi bernilai RM4.5 juta

Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan menawarkan geran bernilai sehingga RM100 juta merentasi lima bidang impak

Kuala Lumpur, 8 Jun 2022 – Yayasan Hasanah (“Hasanah”), sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd (“Khazanah”),  hari ini mengumumkan lapan penerima pertama Geran Khas Hasanah 2022 (HSG2022) dengan jumlah geran sebanyak RM4.5 juta yang telah diperuntukkan untuk projek-projek yang menangani cabaran-cabaran paling kritikal yang dihadapi oleh rakyat Malaysia.

Daripada lapan penerima, tiga tertumpu kepada akses pendidikan, empat kepada pembangunan komuniti dan satu kepada alam sekitar. Mereka adalah:

  • Global Education Leaders Malaysia Berhad (PEMIMPIN GSL) dengan projek untuk membina kapasiti bagi 30 pemimpin sekolah di 15 sekolah Orang Asli, yang akan memberi manfaat kepada ratusan pelajar.
  • USAINS Holding Sdn Bhd yang akan menyediakan bimbingan tuisyen dalam talian untuk 200 pelajar dari 10 sekolah bagi memastikan mereka mampu mencapai prestasi yang lebih baik dalam peperiksaan Sijil Penilaian Menengah (SPM).
  • Bring the Opportunity Programme (BTOP) PLT dengan projek yang bertujuan untuk berkongsi ilmu pengetahuan dan meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental melalui kumpulan barisan hadapan dari kelab Pembimbing Rakan Sebaya (PRS) atau Peer-Mentors yang akan menyediakan perkhidmatan sokongan kepada unit bimbingan dan kaunseling serta para pelajar di sekolah.
  • DIA Academy Sdn Bhd dengan projek yang bertujuan untuk memperkasakan penerima bantuan kurang upaya yang disasarkan, dengan pekerjaan sepenuh masa dan pemilikan perniagaan mikro supaya dapat menyara diri dari segi kewangan. 
  • Pepper Labs Sdn Bhd (Masala Wheels) dengan projek yang bertujuan untuk meningkatkan kemahiran 40 usahawan mikro daripada komuniti B40 di Selangor dan Kuala Lumpur serta meningkatkan pendapatan untuk 30 lagi usahawan melalui ekosistem rantaian bekalan dari awal ke akhir yang mampan. 
  • Peduli Insan and USAINS Infotech Sdn Bhd yang akan menyediakan sumber mata pencarian dan penjanaan pendapatan bagi komuniti B40 di Kedah melalui pemindahan teknologi daripada inovator sosial dari Universiti Sains Malaysia (USM).
  • Pertubuhan Pelindung Alam Malaysia dengan projek yang akan melatih, melengkapkan dan menempatkan 118 Orang Asli tempatan yang sedia ada dan 10 orang baharu sebagai renjer hidupan liar untuk meronda kawasan hutan Perias-Balah, mencegah pemburuan haram harimau, dan memulakan pemantauan jangka panjang terhadap hidupan liar lain menggunakan petunjuk haiwan dan tinjauan perangkap kamera.

Pengarah urusan dan pemegang amanah Yayasan Hasanah, Dato’ Shahira Ahmed Bazari berkata bahawa HSG2022 terus membina asas teras Hasanah dalam pembinaan jangka panjang negara serta komitmen kepada pihak berkepentingan dalam menegakkan nilai pemerkasaan, amanah, integriti, keterangkuman, keterkaitan dan keaslian.

“Kami komited untuk membina negara satu orang pada satu masa, merentasi semua lapisan masyarakat. Kami menggalakkan semua organisasi Malaysia yang layak untuk memohon dan turut menghadiri bengkel-bengkel yang ditawarkan di mana kami menyediakan panduan tentang cara memohon dalam lima bidang impak iaitu Pendidikan; Pembangunan Komuniti; Persekitaran; Seni dan Ruang Awam dan Pengetahuan.”

HSG2022 merupakan inisiatif kerjasama oleh Yayasan Hasanah dan Kementerian Kewangan yang bertujuan untuk memangkin impak sosial pada skala untuk Malaysia yang lebih inklusif dan progresif.

Pemohon yang layak digalakkan untuk mengemukakan cadangan dan dokumentasi berkaitan melalui portal dalam talian HSG2022 di https://yayasanhasanah.org/hasanah-special-grant-2022/. Permohonan akan ditutup tidak lama lagi, jadi inilah masanya buat perusahaan sosial dan badan bukan untung untuk tidak melepaskan peluang merebut penganugerahan geran daripada dana keseluruhan bernilai RM100 juta ini. Permohonan geran dipertimbangkan sepanjang masa, jadi usah berlengah!

Geran Khas Hasanah 2022 dirancakkan dengan penganugerahan kepada 8 organisasi bernilai RM4.5 juta – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts