Geran ArtsFAS kini dibuka untuk permohonan

Yayasan Hasanah menjemput penggiat seni, warisan dan budaya yang mencari pembiayaan untuk memohon

Kuala Lumpur, 9 Jun 2022 – Yayasan Hasanah (“Hasanah”), sebuah yayasan di bawah Khazanah Nasional Bhd (“Khazanah”), kini telah membuka permohonan untuk geran Seni Sepanjang Musim (ArtsFAS) bagi tahun 2022, dengan kerjasama Kementerian Kewangan Malaysia.

ArtsFAS ialah sebuah platform yang mengetengahkan seni, warisan dan budaya Malaysia yang terpelihara dan dipulihara melalui acara terbuka, dengan tujuan mendidik generasi muda dan masyarakat umum. Ini dilaksanakan melalui teknologi, sesi-sesi perkongsian pengetahuan, dan juga acara-acara persembahan seni. Selain itu, ArtsFAS juga melaksanakan pemuliharaan melalui aktivasi, bagi memastikan kebolehcapaian seni oleh semua lapisan masyarakat.

Sebagai sebuah yayasan berasaskan impak, Yayasan Hasanah telah menyumbang sejumlah RM1.68 juta melalui geran ArtsFAS kepada pelbagai program berteraskan kesenian di sembilan negeri sepanjang tahun 2021. Melalui program-program yang disokong, ArtsFAS berjaya menjana peluang ekonomi bagi lebih daripada 1,300 penggiat seni, dan mencapai lebih sejuta individu melalui tontonan media sosial serta penyertaan secara langsung.
Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah Dato’ Shahira Ahmed Bazari berkata “Yayasan Hasanah mengucapkan terima kasih kepada Kementerian Kewangan atas peningkatan dana bagi tahun ini, yang akan membantu usaha memulihkan semula ekosistem seni, warisan dan budaya yang terjejas teruk akibat wabak Covid-19. Bidang impak ini sejajar dengan komitmen kami dalam melindungi dan mempromosikan warisan dan kepelbagaian budaya di Malaysia,”

Kesemua penerima geran ArtsFAS dijangka akan mempamerkan projek masing-masing dalam tempoh di antara September dan Disember 2022, dengan sebilangan projek terpilih dipamerkan semasa acara ArtTober oleh CIMB Group, serta acara RIUH oleh MyCreative Ventures Sdn Bhd.
Ini adalah sebahagian daripada inisiatif TripART, satu kerjasama di antara badan-badan awam-swasta oleh Yayasan Hasanah, CIMB Group dan MyCreative Ventures, bertujuan membantu pemulihan ekosistem seni, warisan, dan budaya.

“Kami berharap usaha-usaha ini dapat dimanfaatkan oleh lebih ramai komuniti seni. Kami juga berharap bahawa projek-projek yang dicadangkan akan mengintegrasikan penggunaan teknologi, dalam usaha kami untuk memulihara warisan budaya, serta meluaskan jangkauan inisiatif dan projek yang dicadangkan ke seluruh negara. Kami ingin memastikan bahawa sebarang projek yang terpilih bukan sahaja mendapat dana, tetapi hasilnya juga dapat mencapai semua lapisan masyarakat.” kata Shahira.

Komuniti seni yang berminat untuk memohon geran ArtsFAS perlu menjalani proses penilaian kelayakan terlebih dahulu. Calon yang didapati layak akan menerima pautan untuk meneruskan proses permohonan secara atas talian.

Untuk menyemak syarat-syarat kelayakan memohon geran ArstFAS, sila ke laman https://www.artsfas.org/apply-now

© 2023 BlackButterfly DesignArts