GEMPAR: ArtsFAS 2022 buka semula geran untuk acara seni & budaya Malaysia!

Kembali atas permintaan ramai, penggiat seni diseru mohon pembiayaan yang menawarkan hingga RM250,000, selewatnya 30 Nov 2022

Kuala Lumpur, 21 November 2022 – Untuk tempoh yang terhad, Yayasan Hasanah, sebuah yayasan Khazanah Nasional Bhd, telah membuka semula permohonan geran Seni Sepanjang Musim atau Arts for All Seasons (ArtsFAS) yang menawarkan sehingga RM250,000 untuk setiap pemohon yang layak. Setelah disahkan layak, pemohon boleh membuat permohonan selewatnya 30 November 2022.

Geran ArtsFAS 2022 terbuka kepada semua organisasi seni, budaya dan warisan di Malaysia. Untuk layak memohon, acara atau pameran yang dibuka kepada orang ramai yang dicadangkan dalam permohonan tersebut mesti dianjurkan pada atau sebelum 31 Disember 2022.

Menyediakan platform untuk mengangkat seni, warisan dan budaya Malaysia yang dipelihara dan dipelihara melalui acara yang dibuka kepada orang ramai, ArtsFAS bertujuan untuk mendidik generasi muda dan masyarakat umum melalui teknologi, pertukaran pengetahuan dan acara seni. Pada masa yang sama, usaha pemuliharaan ini dilaksanakan melalui ‘pengaktifan’ seni, menjadikan seni sebuah pengalaman yang boleh diakses oleh semua.

Setakat tahun ini, Yayasan Hasanah telah menganugerahkan geran berjumlah RM3 juta kepada 26 pertubuhan seni, budaya dan warisan menerusi inisiatif geran tahunan ArtsFAS 2022 bagi merancakkan semula ekonomi kreatif. Melalui geran ini, kira-kira 1,000 penggiat seni, budaya dan warisan dijangka mendapat manfaat daripada peluang ekonomi yang terjana, sambil menghidangkan sebuah siri pengalaman seni dan budaya yang menghiburkan buat rakyat Malaysia.

Masih berlangsung sekarang sehingga akhir tahun ini, ArtsFAS 2022, yang diuruskan bersama Kementerian Kewangan, menyokong lebih 50 persembahan, produksi teater, bengkel, pameran, webinar, persembahan berkumpulan dan acara lain, yang diadakan di Lembah Klang serta hampir semua negeri di Malaysia. Pada tahun lepas, yayasan berasaskan impak itu menyumbang RM1.68 juta melalui geran ArtsFAS 2021.

Pengarah Urusan dan Pemegang Amanah Yayasan Hasanah, Dato’ Shahira Ahmed Bazari berkata, “Yayasan Hasanah terus menyokong persada seni, warisan dan budaya Malaysia dan pada tahun ini, kami berhasrat untuk mengagihkan dana yang lebih besar untuk lebih banyak projek dan inisiatif berasaskan impak oleh rakan kerjasama kami melalui ArtsFAS, dengan kerjasama Kementerian Kewangan. Kami mengalu-alukan pemohon baharu yang memerlukan sokongan untuk persembahan, pameran dan juga demonstrasi seni mereka yang akan mempamerkan kekayaan warisan pelbagai budaya kita di seluruh negara untuk semua rakyat Malaysia.”

Permohonan untuk geran ArtsFAS hendaklah menggariskan aktiviti yang dicadangkan, menyenaraikan objektif yang jelas dan mempunyai belanjawan terperinci tentang bagaimana pembiayaan akan membolehkan projek tersebut mencapai objektifnya.

Untuk kriteria dan butiran penuh tentang cara memohon, layari www.artsfas.org/apply-now.

© 2023 BlackButterfly DesignArts