- 70% mangsa penipuan di Malaysia tidak melaporkan kejadian kepada pihak berkuasa.
- Penipuan berasaskan AI semakin meningkat: 25% rakyat Malaysia tidak pasti mengenai penglibatan AI dalam kes penipuan.
- Whoscall memperkukuhkan kerjasama dan usaha berasaskan AI untuk memerangi penipuan di Malaysia.
Kuala Lumpur, 3 Oktober 2024 – Kes ‘scam’ atau penipuan dalam talian dilihat terus menyebabkan kerugian kewangan dan emosi yang serius di Malaysia, dengan State of Scam Report 2024 mendedahkan bahawa rakyat Malaysia mengalami kerugian yang mengejutkan sebanyak USD12.8 bilion akibat scam sepanjang tahun lepas. Kerugian ini mewakili 3% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK), menekankan keperluan mendesak untuk langkah-langkah pencegahan yang lebih kukuh.
State of Scam Report 2024 yang dijalankan oleh Global Anti-Scam Alliance (GASA) dengan kerjasama Whoscall dan ScamAdviser, menerusi tinjauan terhadap 1,202 rakyat Malaysia mendedahkan pandangan kritikal tentang perjuangan negara ini terhadap skim penipuan. Lebih membimbangkan, 70% daripada mangsa penipuan tidak melaporkan kes mereka kepada pihak berkuasa, menurun 5% berbanding tahun sebelumnya, menunjukkan keperluan untuk memperkukuh keyakinan orang ramai terhadap proses pelaporan. Daripada mereka yang disoal selidik, 32% responden melaporkan mengalami kerugian kewangan akibat penipuan.
Peningkatan penipuan berasaskan kecerdasan buatan (AI) dilihat amat membimbangkan, di mana 25% rakyat Malaysia menyatakan ketidakpastian sama ada AI terlibat dalam penipuan yang mereka hadapi. Jurang kesedaran ini menyebabkan rakyat Malaysia lebih terdedah kepada penipuan yang lebih canggih, yang mengeksploitasi teknologi maju untuk memperdaya mangsa, seperti video deepfake dan peniruan suara, menjadikannya lebih sukar untuk dikesan.
Penipuan atau scam telah menjadi kebimbangan harian bagi ramai rakyat Malaysia. Laporan tersebut mendapati bahawa 74% responden berdepan dengan penipuan sekurang-kurangnya sekali sebulan, dengan 43% melaporkan peningkatan cubaan penipuan dalam setahun yang lalu. Kaedah penghantaran scam yang biasa termasuk panggilan telefon, aplikasi mesej segera, dan platform media sosial seperti WhatsApp, Telegram, dan Facebook, di mana scammer dilihat semakin aktif. Lebih ketara, penipuan melalui teks dan SMS juga meningkat sebanyak 8% berbanding tahun 2023.
Kesan emosi yang dilaporkan terhadap mangsa dilihat cukup memberikan kesan, dengan 57% melaporkan impak emosi yang teruk berdasarkan dari pengalaman mereka. Tekanan ini bertambah buruk dengan kerugian kewangan; purata kerugian setiap mangsa dilaporkan sebanyak USD2,726, dengan hanya 2% yang berjaya mendapatkan semula wang mereka sepenuhnya — penurunan ketara berbanding 8% pada tahun sebelumnya.
Mengulas mengenai laporan tersebut, Manwoo Joo, Ketua Pegawai Operasi Gogolook menekankan kepentingan pencegahan penipuan secara proaktif dalam landskap digital masa kini. “Dengan aplikasi anti-penipuan yang canggih seperti Whoscall berperanan sebagai barisan pertahanan pertama terhadap scammer, kita dapat mengurangkan risiko menjadi mangsa penipuan dengan ketara. Whoscall sedang giat bekerjasama dengan kerajaan tempatan seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan CyberSecurity Malaysia untuk memperkukuhkan usaha dalam menangani scammer dan meningkatkan perlindungan awam. Kami sentiasa meneroka kemajuan dalam teknologi, termasuk ciri-ciri berasaskan AI, bagi mengatasi taktik penipuan yang semakin berkembang. Matlamat kami adalah untuk memanfaatkan penyelesaian canggih bagi menyediakan rakyat Malaysia dengan solusi yang diperlukan untuk mengenal pasti dan menghentikan penipuan sebelum ia mendatangkan lebih banyak keburukan.”
Whoscall adalah satu-satunya aplikasi anti-penipuan yang dipercayai dan diluluskan oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan baru-baru ini dilantik oleh CyberSecurity Malaysia serta Pos Malaysia sebagai rakan strategik Anti-Penipuan mereka. Bukan sekadar panggilan dan mesej teks sahaja, Whoscall baru-baru ini memperkenalkan ciri terbarunya, Auto Web Checker. Fungsi baharu ini menyediakan amaran masa nyata kepada rakyat Malaysia apabila pengguna secara tidak sengaja melawat laman web penipuan, membantu mencegah kebocoran data peribadi dan kecurian akaun.
Laporan tersebut turut menekankan:
- Kelajuan Penipuan: 33% daripada penipuan berlaku dalam tempoh 24 jam selepas hubungan pertama, manakala 20% lagi melaporkan penipuan selesai dalam beberapa minit sahaja. Ini menyerlahkan betapa pentingnya untuk kita sentiasa berwaspada kerana scammer sering mengambil kesempatan dengan cepat sekali.
- Taktik Penipuan Popular: Pada kadar 23%, penipuan pelaburan merupakan jenis penipuan paling kerap berlaku di Malaysia, diikuti oleh kecurian identiti pada kadar 21%. Penipuan membeli-belah berada di tempat ketiga dengan kadar 20%.
- Erosi Kepercayaan: Akibat daripada pengalaman penipuan ini, 63% rakyat Malaysia melaporkan penurunan kepercayaan terhadap platform dalam talian dan transaksi digital.
Berdasarkan penemuan ini, pakar menggesa agar pendidikan awam dipertingkatkan untuk membantu orang ramai mengenali dan melaporkan penipuan, peningkatan ketelusan dalam proses pelaporan, serta tindak balas penguatkuasaan undang-undang yang lebih kukuh. Keperluan untuk strategi yang menyeluruh, melibatkan penggunaan teknologi dan penglibatan komuniti, kini lebih penting berbanding sebelum ini ketika Malaysia berdepan dengan isu penipuan yang semakin meluas ini.
Selain itu, GASA dan Gogolook telah mengumumkan penganjuran Global Anti-Scam Summit (GASS) yang pertama di Asia Tenggara, yang akan berlangsung di Suntec Singapura pada 21-22 Oktober 2024. Disokong oleh kerajaan Singapura, sidang kemuncak ini merupakan perhimpunan terbesar pihak berkepentingan anti-penipuan merentasi pelbagai sektor, yang akan mengumpulkan pakar dari GASA, syarikat global utama seperti Amazon, Google, Gogolook, Mastercard, dan Meta, serta pegawai penguatkuasaan undang-undang, pihak berkuasa kewangan, dan organisasi bukan keuntungan. Peserta dari Australia, New Zealand, Thailand, India, Malaysia, Singapura, Taiwan, Hong Kong, Jepun, Filipina, serta Belanda, United Kingdom, Amerika Syarikat dan negara-negara lain akan menumpukan kepada tema “The Network to Defeat a Network,” dengan matlamat untuk memupuk kerjasama dan membangunkan strategi melindungi pengguna daripada penipuan. GASS juga akan memperkenalkan penemuan terkini daripada Asia Scam Report, yang bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai penipuan digital dan meletakkan asas bagi pembangunan dasar serta advokasi pada masa hadapan dalam inisiatif anti-penipuan global dan aplikasi AI. Selain Asia Scam Report, laporan individu mengikut negara juga akan diedarkan, menawarkan penyelidikan mendalam mengenai landskap penipuan di setiap negara yang terlibat.
Bagi menyertai Global Anti-Scam Summit Singapore Chapter, sila layari laman web rasmi: https://www.gasa.org/gass-2024-asia.
Untuk maklumat lanjut, sila layari akaun media sosial Whoscall di https://www.facebook.com/whoscall.malaysia/ dan https://www.tiktok.com/@whoscall.malaysia
Muat turun laporan penuh Whoscall Asia Scam Report – The State of Scams in Malaysia: https://www.gasa.org/research
Ketahui cara Whoscall boleh membantu dalam mencegah penipuan: https://whoscall.com/ms
Kami mengajak semua rakyat Malaysia untuk memuat turun Whoscall dalam usaha membenteras penipuan dan bersama-sama melindungi komuniti kita.