Garis Panduan Kolaboratif Malaysia Diiktiraf di Peringkat Global di Kongres Dunia IASP 2025

Garis Panduan Kolaboratif Malaysia Diiktiraf di Peringkat Global di Kongres Dunia IASP 2025

Kuala Lumpur, 19 Jun 2025 – Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (CMCF) telah diberi penghormatan untuk mewakili Malaysia di Kongres Dunia Persatuan Antarabangsa bagi Pencegahan Bunuh Diri (International Association for Suicide Prevention, IASP) ke-32 yang diadakan di Vienna, Austria. Di sana, CMCF membentangkan usaha pencegahan bunuh diri di Malaysia termasuk pelancaran terkini Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri Secara Beretika. Garis panduan ini, yang telah dilancarkan awal bulan Jun oleh Menteri Komunikasi YB Datuk Fahmi Fadzil, telah dipilih daripada lebih 700 penyerahan abstrak global untuk diketengahkan di kongres berprestij ini, sekaligus menonjolkan kepimpinan Malaysia dalam bidang kawal selia kendiri kandungan beretika dan penglibatan media untuk pencegahan bunuh diri.

Kongres ini menghimpunkan lebih 800 penyelidik, pengamal klinikal, penggubal dasar dan aktivis dari seluruh dunia untuk berkongsi ilmu, bertukar amalan terbaik dan bekerjasama dalam strategi menangani isu kesihatan awam ini. Antara negara yang turut serta termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Ireland, Iran, India, Pakistan, Scotland, Brazil, Australia, Maghribi, Ghana, Sepanyol, Hong Kong, Perancis, dan Malaysia.

Dalam Simposium 07: Media & Isu Bunuh Diri (Bahagian 1), Ketua Pegawai Eksekutif CMCF, Mediha Mahmood menekankan peranan Malaysia sebagai peneraju dalam meningkatkan kesedaran mengenai pencegahan bunuh diri melalui kawal selia kendiri kandungan secara beretika dan penglibatan media. Mediha membentangkan Garis Panduan Pelaporan dan Perkongsian Kandungan Berkaitan Bunuh Diri Secara Beretika sebagai sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas dan berterusan untuk memupuk komunikasi yang bertanggungjawab, berempati dan dapat membantu dalam mengurangkan mudarat mengenai isu bunuh diri merentasi semua platform media.

Pembangunan Garis Panduan ini adalah hasil kerjasama pelbagai pihak berkepentingan secara menyeluruh, berlandaskan kepercayaan, inklusiviti dan tanggungjawab bersama. Dengan sokongan kukuh daripada Kementerian Komunikasi dan Kementerian Kesihatan, inisiatif ini telah menyatukan pelbagai sektor utama untuk bersama-sama membentuk satu rangka kerja yang praktikal dan mencerminkan landskap media serta sosial unik Malaysia. Komitmen yang merentasi sektor ini memainkan peranan penting dalam memastikan Garis Panduan yang dihasilkan bukan sahaja menyeluruh, malah diterima baik oleh pihak-pihak yang bertanggungjawab untuk melaksanakannya.

Semangat kerjasama ini turut dizahirkan semasa simposium melalui kehadiran tiga tokoh penting daripada kumpulan kerja yang membangunkan Garis Panduan ini – Prof Chan Lai Fong (UKM), Dr Ravivarma Rao Panirselvam (Hospital Miri), dan Dr Ng Yin Ping (Persatuan Pencegahan Bunuh Diri i-Life Pulau Pinang) – di mana kepakaran akademik dan pengalaman di lapangan mereka memainkan peranan penting dalam membentuk Garis Panduan ini.

“Kami berbesar hati kerana Garis Panduan ini dibentuk bukan sahaja oleh pengamal media, pakar kesihatan mental dan mereka yang mempunyai pengalaman hidup berkaitan isu ini, tetapi juga dengan sokongan padu daripada Kementerian Komunikasi, Kementerian Kesihatan dan Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan. Kepercayaan mereka terhadap proses kolaboratif yang dipacu oleh ahli industri menjadi kunci kepada pembentukan satu model yang berasal dari Malaysia yang kini sedang diperhatikan oleh pihak antarabangsa. Satu penghormatan buat kami, berpeluang berkongsi inisiatif ini di pentas global,” kata Mediha.

Peserta antarabangsa memberikan maklum balas positif, memuji skala, inklusiviti dan kekuatan kolaboratif pendekatan Malaysia. Antara yang paling menonjol ialah penglibatan aktif organisasi media – bukan sekadar sebagai pihak yang hanya dimaklumkan, tetapi sebagai penyumbang utama dalam merangka Garis Panduan ini dari peringkat awal lagi.

Di banyak negara lain, penglibatan media dalam isu sensitif seperti bunuh diri masih menjadi cabaran besar, dengan usaha sering kali berdepan tentangan atau penglibatan terhad. Biasanya, garis panduan seperti ini dibangunkan oleh pihak berkuasa atau pakar kesihatan mental, dengan input terhad daripada wartawan atau pencipta kandungan. Keadaan ini menyebabkan fokus banyak tertumpu kepada laporan berita, tanpa penglibatan menyeluruh dalam ekosistem kandungan yang lebih luas.

Namun pendekatan Malaysia amat berbeza. Keupayaan negara ini untuk melibatkan pengamal media sebagai rakan pembikin dasar – bukan sekadar penerima arahan – dilihat sebagai satu pencapaian besar. Ia membuktikan adanya komitmen bersama terhadap pelaporan yang beretika, yang berpaksikan kepada rasa hormat bersama dan kefahaman yang tulen mengenai peranan media dalam pencegahan bunuh diri. Para delegasi turut menghargai hakikat bahawa inisiatif ini dipacu oleh industri, disokong kerajaan, dan dibentuk melalui kolaborasi merentas sektor.

Model yang inklusif dan berasaskan kepercayaan ini mengukuhkan lagi nilai sistem kawal selia kendiri Malaysia di bawah Kod Kandungan, serta usaha berterusan CMCF untuk mempromosikan tanggungjawab kandungan melalui pendidikan, panduan dan kerjasama pelbagai agensi.

Berikutan sambutan positif di Kongres Dunia IASP, CMCF komited untuk terus bekerjasama dengan ahli-ahlinya, pihak kerajaan dan pihak industri bagi memperluas capaian Garis Panduan ini, memperkukuh usaha latihan, serta menyokong lebih ramai pencipta kandungan, pengamal media dan institusi untuk membuat pilihan kandungan yang lebih selamat dan berperikemanusiaan.

CMCF turut merakamkan penghargaan kepada semua ahlinya atas sokongan berterusan dan komitmen dalam menegakkan piawaian kandungan beretika, yang menjadi tulang belakang kejayaan inisiatif ini.

Untuk pertanyaan media atau akses kepada Garis Panduan, sila layari www.contentforum.my.

© 2024 BlackButterfly DesignArts