Menampilkan Lebih daripada 700 Bilik dan Suite Unik yang Lengkap, Hotel Terbaharu Resort Bersepadu yang pernah memenangi Anugerah ini Meraikan Seni dan Budaya Tempatan untuk Mempamerkan “Macau yang Sebenar”
Kuala Lumpur, 20 September 2023 – Galaxy Macau™ dengan kerjasama Hyatt melancarkan hotel baharu yang dinanti-nantikan, sebuah resort bersepadu yang pernah memenangi anugerah iaitu Andaz Macau. Andaz Macau yang dibuka pada 15 September 2023 adalah hotel pertama dan satu-satunya hotel untuk jenama itu di Macau. Ia bahkan merupakan aset terbesarnya di seluruh dunia dengan konsep hotel gaya hidup menarik yang menampilkan lebih daripada 700 bilik dan suite yang unik. Diinspirasikan daripada seni, budaya dan seni bina tempatan, hotel ini dibina untuk memberikan pengalaman “Macau yang sebenar” buat para tetamu. Ia turut memaparkan koleksi karya seni dan artifak menakjubkan yang memberi penghormatan kepada warisan unik di bandar ini sambil memandang ke hadapan. Pelancaran Andaz Macau ini menandakan jenama hospitaliti kelapan yang menempah nama dalam kepesatan estet Galaxy Macau.
Hotel Gaya Hidup Dinamik di Tengah-tengah Macau
Dua menara hotel Andaz Macau menjadi tambahan seni bina yang menarik di bandar ini. Ia terletak antara kawasan kejiranan yang indah serta dipelihara dengan baik di Old Taipa dan Coloane. Hotel ini menyediakan akses mudah buat para tetamu untuk mengunjungi tarikan tradisional yang menawan di bandar ini termasuk kemudahan bertaraf dunia milik Galaxy Macau. Andaz Macau menawarkan kemudahan yang tiada tandingan bukan sahaja untuk tetamu MICE tetapi juga buat tetamu yang hadir untuk penginapan santai. Kemudahan ini termasuklah sambungan langsung ke Pusat Konvensyen Antarabangsa Galaxy (GICC) dan Galaxy Arena yang mempunyai 16,000 tempat duduk serta ruang istirahat daftar masuk khusus. Ia direka khas untuk memastikan kelancaran ketibaan kumpulan MICE yang besar.
Semua tetamu akan disambut mesra di Andaz Lounge yang terletak di Tingkat 6. Ruang istirahat ini merupakan ruang tamu kediaman yang terbuka dan lapang. Ia direka dengan penuh ketelitian di samping menerapkan tanda-tanda halus Macau dari masa lalu, dihiasi mozek mutiara gaya Portugis serta mempamerkan busana gaun yang menunjukkan kemahiran kesenian Portugis dan Cina, ruang istirahat ini juga bertindak sebagai ruang sosial komuniti yang santai. Tetamu yang datang untuk urusan perniagaan boleh berbincang dengan rakan sekerja sambil menghirup secawan kopi segar. Para pelancong yang datang untuk bercuti pula boleh berehat selepas seharian meneroka bandar.
Sementara itu, bilik dan suite di hotel ini diilhamkan daripada kawasan sekitarnya. Rekaannya dipenuhi dengan kehijauan hutan dan warna oren tanah yang mencerminkan landskap hijau yang subur di kawasan sekelilingnya. Direka oleh arkitek rekaan dalaman yang terkenal, pusat penginapan ini dilengkapi bilik tamu seluas 35 meter persegi serta suite seluas 68 meter persegi dengan susun atur inovatif yang membezakan antara bilik tidur, bilik mandi dan ruang istirahat. Ruang mesra ini sangat sempurna dengan kemudahan tempatan yang dipilih secara teliti dan bar mini yang dipenuhi dengan makanan tempatan.
Para tetamu boleh menggunakan kolam renang panas berkedalaman 19 meter di hotel ini dan bersenam pada bila-bila masa sahaja sama ada pada waktu siang atau malam di pusat kecergasan 24 jam. Tetamu juga boleh menikmati akses percuma ke Grand Resort Deck Galaxy Macau yang menakjubkan iaitu oasis puncak langit terkemuka di dunia. Kemudahan ini dilengkapi dengan perkhidmatan ramah dan mesra pelanggan yang membuatkan tetamu berasa seperti berada di rumah sambil menikmati kebudayaan eklektik di sekeliling mereka.
Mulakan Pengembaraan Kulinari
Andaz Macau adalah destinasi juadah yang dinamik dan menjadi tumpuan kepada trio tempat masakan yang membuka selera. Tetamu boleh menikmati rasa asli Macau bersama hidangan klasik dari seluruh dunia.
Andaz Kitchen merupakan tempat makan terbesar di hotel dan kawasan yang sibuk dengan penyediaan pelbagai juadah sepanjang hari oleh chef berbakat. Chef-chef hebat ini menunjukkan aksi memasak yang mempesona secara langsung di samping menyajikan pelbagai hidangan Portugis, Macanese dan kawasan kejiranan yang menggiurkan. Reka bentuk keseluruhannya diinspirasikan dari rumah kedai Macau lama dengan mengambil ilham lebih lanjut daripada warisan bandar dalam bentuk jubin mozek Portugis pada lantai dan gerbang kayu tinggi yang merujuk kepada sejarah maritim bandar ini. Andaz Kitchen juga menempatkan ciri dinding menarik yang diberi nama “Layers of Tradition“. Ia mempamerkan koleksi plat seramik biru dan putih dengan motif cat tangan yang diilhamkan oleh aksen Cina dan Portugis yang biasa dilihat di Macau.
Bersebelahan dengan Andaz Kitchen terletaknya Andaz Studio iaitu sebuah ruang menarik dengan rupa dan suasana bilik perpustakaan yang elegan. Andaz Studio telah direka sebagai tempat pelbagai fungsi yang fleksibel dan boleh menempatkan sehingga 80 orang untuk acara MICE, resepsi koktel serta pelbagai majlis sosial termasuk majlis persendirian. Ia juga menawarkan pengalaman interaktif seperti kelas memasak yang dikelolakan oleh master chef.
Di Andaz Bar yang bersuasana intim, tetamu perniagaan dan percutian boleh berehat sambil menikmati koktel kreatif yang disediakan oleh pelayan bar berpengalaman. Bir yang dihidangkan di sini dihasilkan oleh kilang bir tempatan dan dilengkapi dengan pelbagai pilihan snek mewah. Reka bentuk Andaz Bar juga dibina sebagai penghormatan kepada seni bina gaya Eropah yang tersendiri di Macau manakala warna biru teal dan oren adalah sebagai peringatan sejarah maritim yang membanggakan di bandar ini.
Masterclass dalam Reka Bentuk dan Kerja Seni yang diilhamkan oleh Macau
Sebagai penghormatan kepada seni bina tradisional Macau dan budaya yang kaya serta pelbagai, reka bentuk Andaz Macau memperlihatkan tafsiran semula seni bina kontemporari yang indah bagi warisan unik bandar ini. Arkitek rekaan dalamannya telah mengambil ilham visual daripada beberapa motif yang paling menonjol di bandar ini untuk menggalakkan pengunjung menerokai “Macau yang sebenar”. Rekaan tersebut memaparkan seni bina Timur-bertemu-Barat yang diiktiraf oleh UNESCO dan kapal pelabuhan maritim lama dengan bentuknya yang tersendiri serta memperlihatkan kekayaan tradisi budaya Cina tempatan termasuk gaya hidup antarabangsa Macau moden yang dinamik.
Digambarkan sebagai kediaman peniaga pakar barangan antik yang memiliki pemahaman mendalam tentang warisan budaya Macau dalam beraneka rupa dan sarat dengan bermacam-macam koleksi barang antik serta seni yang dikumpul selama bertahun-tahun, para tetamu di Andaz Macau akan menemui karya-karya yang tersendiri dan pelbagai. Ia menawarkan perjalanan visual menawan yang turut memberi peluang untuk mengetahui tentang sejarah dan budaya bandar semasa mereka berada di dalam hotel dan meneroka ruang yang berbeza.
Apabila tiba di hotel, tetamu akan menemui “Landscapes Interlaced” iaitu sebuah pemasangan dinding besar yang memaparkan lapisan gambar siang dan malam berlatarbelakangkan langit Macau dengan unsur-unsur semula jadi yang berasal dari China dan Macau. Turut dipamerkan di sini ialah arca elegan yang dihasilkan dengan corak jubin Portugis yang dicat tangan serta patung berbusana gaun dengan sulaman rumit serta kolar cheongsam klasik. Karya seni ini mempamerkan perbezaan budaya Timur-Barat Macau dan memberikan pengenalan yang hebat kepada kisah Macau yang sebenar apabila pengunjung memasuki hotel ini.
Sementara itu, “Juxtapose” ialah siri arca keluli yang menakjubkan ciptaan artis Malaysia, Tang Mun Kian, yang memberikan penghormatan kepada seni bina bersejarah, mercu tanda ikonik, dan perspektif penduduk tempatan di bandar ini. Artifak lain yang dipamerkan termasuk busana gaun bersulam rumit “Golden Phoenix”, “Enchanted Mountains”, “Historic Fusion” dan “Phoenix Rising”, pasu antik unik “Glass Horizon 1930” dan ‘Glazed Mountains 1840’, arca kaca elegan “Shades of Water” dan “Sails of Glass”, serta lukisan bertenaga “Energetic Motion” dan “World Connected”.
Namun begitu, seni yang paling mengagumkan ialah “Macau Steps” iaitu tangga unik yang mendedahkan kisah lampau dan masa kini bandar tersebut melalui lebih daripada 100 video memikat lantas mencipta pengalaman pelbagai deria yang menarik. Bermula dengan jalan raya sibuk di bandar ini dan diteruskan pula dengan suasana semula jadi yang tenang serta aman di puncak, ciri istimewa ini akan membawa tetamu menelusuri perjalanan yang memikat hati sekali gus mendedahkan Macau yang sebenar selangkah demi selangkah.
Tawaran Pembukaan Eksklusif
Bagi meraikan pembukaan Andaz Macau, hotel ini akan melancarkan Pakej Pembukaan “Experience the Real Macau” mulai hari ini sehingga 31 Disember 2023. Para tetamu akan menikmati pengenalan menakjubkan perihal tempat penginapan dan Macau. Dengan harga bermula daripada MOP1,698, pakej pembukaan ini menawarkan penginapan di hotel selama satu malam di Andaz Macau, bufet sarapan untuk dua orang di Andaz Kitchen, akses percuma ke Grand Resort Deck, pelbagai kemudahan tambahan yang berbaloi dan pelbagai pilihan pengalaman asli tempatan.