Forum Kandungan Kupas Sensitiviti Penggunaan Agama dalam Pemasaran

Panelis berkongsi pandangan mengenai penggunaan agama yang mengeksploitasi dan tidak bersesuaian dalam kandungan promosi

Kuala Lumpur, 5 Mei 2022 – Rujukan agama atau konteks keagamaan dalam aktiviti pemasaran bukanlah sesuatu yang baharu. Mutakhir ini, penggunaan agama dalam kempen pemasaran semakin meningkat terutamanya menerusi saluran digital seperti jaringan media sosial, dengan harapan ia dapat mewujudkan daya tarikan terhadap pengguna terutamanya yang beragama Islam. Walau bagaimanapun, dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia, agama merupakan topik yang sensitif dan berisiko untuk sesuatu jenama sekaligus mampu menarik perhatian negatif yang tinggi. Namun bagi sesetengah pengiklan, ianya adalah satu risiko yang berbaloi untuk diambil, kerana mampu menonjolkan implikasi yang lebih besar terhadap kempen mereka – sama ada positif mahupun sebaliknya.

Bagi mengupas topik ini dengan lebih lanjut dan mengkaji secara terperinci mengenai isu yang dibangkitkan, Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia Malaysia (Forum Kandungan) bersama Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Forum Meja Bulat bertajuk: “Eksploitasi Agama dalam Perniagaan: Setakat mana elemen keagamaan boleh digunakan dalam pemasaran?”.

Forum ini merupakan sebahagian daripada usaha kolaborasi antara Forum Kandungan dan USIM yang bertujuan untuk mewujudkan hubungan kerja jangka panjang, menerusi pembabitan para pelajar seperti peluang latihan industri, program latihan dan kesedaran serta kolaborasi pembelajaran dengan ahli penting industri kandungan.

Pada dasarnya, pembangunan dan sokongan kepada para pelajar dan institusi akan memupuk serta melahirkan generasi baharu yang bersedia menghadapi masa depan dan bertanggungjawab dalam penghasilan kandungan, selain mampu melakukan kawal selia kendiri, mencipta dan berkongsi kandungan secara berhemah dan bertanggungjawab.

Forum Kandungan Kupas Sensitiviti Penggunaan Agama dalam Pemasaran
Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara Forum Kandungan dan USIM

Forum tersebut diketuai oleh barisan panelis terhormat yang terdiri daripada pemain utama industri dan pemimpin pendapat termasuk Ustaz Mohd Amri Abdullah, pakar industri halal nasional dan hos MyHalal TV1; Ahmad Fedtri Yahya, produser kanan dan penyampai TV3; Hajah Nik Hasnah Ismail, penyampai and pengurus hubungan strategik di radio IKIM; Wan Syahrul Amry, pengurus kandungan di ZAYAN ASTRO Radio; Dr Mazlina Abu Bakar dari Briged Bakti Malaysia dan usahawan, Fynn Jamal.

Sejak dahulu lagi, terdapat pegeksploitasian dalam penggunaan agama melalui pelbagai cara, antaranya untuk mempromosikan makanan sunnah, telur halal dan selipar “mesra-muslim” antara lainnya. Selain produk, agama juga digunakan untuk mempromosikan pelbagai perkhidmatan.

Menurut Dr Mazlina, organisasinya menerima pelbagai aduan daripada para penyumbang, di mana dana mereka disalahgunakan oleh sekolah Tahfiz yang menerima sumbangan. “Pihak sekolah meminta sumbangan untuk tujuan program wakaf bagi pembangunan asrama untuk para pelajar mereka. Bagaimanapun, sebaik saja wang berkenaan diterima, pihak sekolah menggunakannya untuk membayar operasi sekolah. Tindakan itu adalah salah kerana asas kepada sumbangan itu telah disalahtafsirkan, sehingga menyebabkan penderma mempercayai bahawa mereka menyumbang untuk tujuan keagamaan,” katanya.

Bercerita dari sudut perspektif seorang usahawan, Fynn Jamal percaya bahawa agama tidak seharusnya disalahgunakan bagi mengiklankan sesuatu produk. “Sekiranya produk itu bagus, maka, ia akan terbukti secara harfiahnya. Kita tak boleh menggunakan agama semata-mata untuk mendapatkan lebih banyak tarikan dan penjualan,” katanya.

Perkara mengenai peralihan sentimen penggunaan agama dalam pengiklanan, Hajah Nik Hasnah berkata walaupun sebelum ini radio IKIM membenarkan penggunaan perspektif keagamaan dalam pengiklanan, namun, perkara tersebut tidak lagi dipraktikkan.

“Bercerita mengenai 20 tahun lalu, pengiklanan yang menggunakan perspektif agama dibenarkan di stesen radio kami, namun ia tidak lagi diteruskan, terutamanya selepas menimbangkan maklum balas daripada pendengar dan pengguna. Kini, IKIM mempunyai garis panduan sangat ketat yang melarang sesiapa daripada menggunakan perkataan seperti “Mesra Muslim” atau menggunakan agama untuk mempromosikan produk mereka ke udara,” katanya yang turut menambah bahawa pendengar pada masa kini tidak akan tertakluk kepada pengiklanan berasaskan agama di radio.

Sementara itu, Wan Syahrul turut berkata bahawa Astro Radio mempunyai unit kawal selia sendiri yang memberi amaran sekiranya terdapat kandungan sensitif seperti isu keagamaan.

“Kebiasannya kami akan merujuk kepada JAKIM, JAWI dan JAIS dalam hal membabitkan agama. Kami sangat berhati-hati apabila menyentuh isu-isu ini dan kami berpegang teguh dalam memastikan eksploitasi tidak berlaku. Sebagai medium penyiaran, kandungan yang disiarkan boleh memberi pengaruh besar kepada pengguna, mereka akan menganggap bahawa produk yang diiklankan boleh dipercayai kerana ia dipasarkan menerusi platform kami,” katanya.

Secara retrospektif, Ahmad Fedtri berkata agama memainkan peranan besar dalam kepercayaan pengguna, terutamanya apabila ia datang dari perspektif budaya.

Beliau memetik insiden tertentu membabitkan jenama coklat yang didakwa telah dihasilkan dengan menggunakan DNA khinzir. Tuduhan palsu tersebut mendatangkan fitnah kepada jenamanya dan mencetuskan panik di kalangan pengguna beragama Islam. Bagi menangkis tuduhan palsu dan mencipta semula imejnya, syarikat itu menggunakan khidmat ikon Melayu untuk menghapuskan sebarang salah tanggapan dan menunjukkan bahawa produk itu sememangnya selamat untuk dimakan oleh orang Islam.

Turut berkongsi kepakaran industrinya, Ustaz Amri, berkata terdapat peraturan sedia ada daripada JAKIM yang melarang pemegang sijil halal untuk menggunakan label Halal pada produk mereka untuk tujuan pengiklanan atau promosi. Sekiranya anda melihat produk seperti makanan “Sunnah” atau air “Zamzam” diiklankan dengan logo Halal, ia mungkin dibuat-buat. Oleh itu, jangan mudah terpedaya dengan produk tersebut,” katanya.

Sekiranya ingin menonton Forum Meja Bulat, layari laman Facebook Forum Kandungan di sini. Untuk maklumat lanjut mengenai Forum Kandungan atau Kod Kandungan, layari www.contentforum.my.

© 2024 BlackButterfly DesignArts