Inisiatif untuk Memberi Makanan kepada Komuniti yang Memerlukan dengan Misi Menderma 10 Juta Makanan ke Seluruh Dunia Menjelang 2022
Malaysia, 26 Mei 2022 – foodpanda, peneraju platform penghantaran di Malaysia, melancarkan inisiatif Share The Meal bersama-sama dengan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk memberi makan kepada komuniti yang memerlukan melalui pilihan sumbangan makanan dalam aplikasi. Ciri ini kini dilancarkan di Malaysia, menjelang Hari Kebuluran Sedunia pada 28 Mei 2022.
Inisiatif Share The Meal yang terdapat dalam aplikasi foodpanda ini adalah integrasi bersama Program Makanan Sedunia (WFP) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang membolehkan pengguna menderma kepada kempen-kempen berkaitan kelaparan yang terdapat di seluruh dunia. Fungsi derma yang tersedia di dalam aplikasi ini membolehkan proses menderma berjalan dengan lancar, menjadikan ianya sebahagian daripada aliran yang penting dalam proses pesanan dan perjalanan pelanggan.
Mengulas mengenai inisiatif yang memberi impak ini, Sayantan Das, Pengarah Urusan foodpanda Malaysia berkata, inisiatif ini tidak mungkin datang pada masa yang lebih baik, terutamanya dengan peratusan keadaan kelaparan yang amat membimbangkan di seluruh dunia. “Sebagai peneraju industri, kami memainkan peranan penting dalam membuat sesuatu perubahan dan kami percaya perubahan ini perlu bermula dengan kami sendiri. Bagaimanapun, kami menyedari kami tidak dapat menghapuskan kelaparan dengan sendiri. Oleh itu, kami telah memutuskan untuk bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu dan memperkenalkan inisiatif Share The Meal ini. Melalui kerjasama ini, kami berharap lebih ramai rakyat Malaysia akan menyertai kami dalam perjuangan untuk memberi makanan kepada keluarga yang menghadapi kelaparan di seluruh dunia.”
“Sejajar dengan perkembangan kami, ia menjadi tanggungjawab kami untuk memberi kembali kepada masyarakat. Makanan dan barangan runcit adalah teras utama dalam perniagaan kami dan kami ingin memastikan keperluan asas sebegini boleh diakses dengan sebaik mungkin kepada mereka yang memerlukan. Dengan wujudnya ciri derma mikro di dalam aplikasi kami, para pelanggan kini dapat menyumbang dengan mudah kepada program ini. Sasaran kami melalui inisiatif ini adalah untuk mencapai 200,000 makanan yang disumbangkan ke seluruh Asia dan 10 juta makanan di seluruh dunia menjelang akhir 2022,” tambah Sayantan.
Untuk menderma, para pengguna foodpanda boleh rujuk kepada banting Donate a Meal/Share the Meal yang dipaparkan di halaman pengesanan pesanan. Semasa mengkliknya, pengguna akan dipaparkan pilihan derma yang tersedia – RM2.50 sehari untuk kanak-kanak, RM7.50 untuk tiga hari, RM12.50 untuk 5 hari dan RM17.50 untuk 7 hari. Selepas para pengguna membuat pilihan derma, mereka akan dialihkan ke halaman pembayaran. Setelah derma disahkan, mereka akan kembali ke halaman pengesanan pesanan. Semua sumbangan melalui aplikasi foodpanda akan disalurkan kepada projek bantuan makanan dan program kecemasan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di seluruh Asia Tenggara.
Inisiatif sumbangan makanan ini adalah lanjutan daripada kerjasama global yang dilancarkan oleh syarikat induk foodpanda, Delivery Hero SE dengan Program Makanan Sedunia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada September 2020 lalu. Sehingga Disember 2020, Share The Meal telah melihat lebih 3.9 juta pengguna telah menderma sebanyak 89 juta makanan dalam menyokong operasi Program Makanan Sedunia di seluruh dunia.