Festival Tidur IKEA Bakal Berlangsung, Menjanjikan Keseronokan Yang Tak Boleh Dilepaskan!

Dipenuhi dengan aktiviti-aktiviti menarik, termasuk persembahan secara langsung dan  pertandingan tidur, menanti anda sepanjang September ini

Festival Tidur IKEA Bakal Berlangsung, Menjanjikan Keseronokan Yang Tak Boleh Dilepaskan!

Kuala Lumpur, 27 Ogos 2024 – IKEA mengajak rakyat Malaysia untuk memberi keutamaan kepada tidur yang berkualiti. Bersedialah pada September ini untuk menyambut Festival Tidur IKEA, satu karnival tidur yang dipenuhi dengan aktiviti, hiburan, dan bengkel yang menarik. Bermula 7 September, festival tidur ini akan berlangsung di kesemua gedung IKEA di seluruh Malaysia, menjanjikan pengalaman yang sukar dilupakan.

Kajian oleh ‘Asian Journal of Medicine and Health Sciences’ menunjukkan bahawa 9 daripada 10 rakyat Malaysia mengalami insomnia, dengan lebih daripada 50% rakyat berkerjaya tidak mendapat sekurang-kurangnya minimum 7 jam tidur setiap hari. Laporan ‘Life at Home IKEA 2023’ pula mendedahkan bahawa lebih satu pertiga daripada rakyat Malaysia percaya  tidur adalah kunci utama kesejahteraan mental di rumah.*

Namun, kebergantungan terhadap dunia digital dan “FOMO” (Sindrom Ketakutan Kehilangan) telah menyebabkan ramai mengabaikan kepentingan tidur. Justeru, dengan memberi fokus kepada tidur berkualiti, IKEA mengajak rakyat Malaysia untuk berhenti sejenak daripada jadual sibuk mereka, tekan butang tidur dan teruskan berehat.

Pengarah Runcit Negara IKEA Malaysia, Malcolm Pruys berkata, “Di IKEA, kami percaya tidur yang berkualiti  penting untuk kehidupan sehari-hari yang lebih baik. Setiap orang berhak mendapat tidur malam yang nyenyak. Festival Tidur IKEA bertujuan menginspirasikan rakyat Malaysia untuk menghargai semula keajaiban tidur yang sempurna.”

“Sepanjang bulan ini, gedung IKEA akan menjadi destinasi inspirasi untuk segalanya yang berkaitan dengan tidur. Selain menerokai enam elemen yang memainkan peranan penting dalam kualiti tidur, kami juga ingin membantu pelanggan memahami manfaat tidur berkualiti dan menjadikan tidur sebagai keutamaan, di samping mewujudkan kenangan baharu bersama-sama kami,” ulasnya.  

Ekstravaganza Festival Tidur IKEA Sepanjang Bulan

Pastikan hujung minggu anda dimanfaatkan dengan pelbagai aktiviti bertemakan tidur berkualiti. Bermula 7 September, IKEA Damansara, Cheras, Tebrau, dan Batu Kawan akan menganjurkan siri acara selama sebulan untuk mengingatkan anda bahawa tidur yang berkualiti tidaklah sesusah manapun untuk diperoleh.

  • Bersantai dengan set akustik ala mimpi – Nikmati suasana tenang dengan muzik akustik daripada artis tempatan kegemaran anda seperti Zee Avi, Alena Murang dan Ezra Kairo setiap hujung minggu di IKEA.
  • Kuasai seni tidur – Sertai bengkel tidur dan pelajari petua-petua tidur berkualiti daripada pakar tidur IKEA yang mesra dan berpengalaman.
  • Tidur Seperti Pro – Cabar diri dalam pertandingan tidur siang setiap dua minggu dan lihat secepat mana anda boleh terlelap!
  • Tidur dengan selesa, tebus ganjaran – Tampil dengan memakai pakaian tidur paling selesa anda sebagai menyokong aktiviti tidur ini dan tebus sarapan nasi lemak percuma di IKEA!

Festival Tidur IKEA akan membawa anda ke alam mimpi yang paling mengujakan! Bukan itu sahaja, banyak lagi kejutan yang menanti, termasuk peluang bertemu dengan artis dan pempengaruh kegemaran anda seperti Studio Sembang dan Amelia Henderson di IKEA Tebrau, Arwind Kumar dan Joseph di IKEA Damansara, Graeme dan Ming Yue dari Sip & Spill di IKEA Cheras, Sai dari Wabikong dan Dennis Lim Ming di IKEA Batu Kawan! Ikuti media sosial IKEA Malaysia untuk maklumat terkini.

*Berdasarkan tinjauan terhadap 1,074 responden di Malaysia yang dijalankan oleh YouGov bagi pihak Ingka Holdings B.V. antara Mei hingga Jun 2023

© 2024 BlackButterfly DesignArts