edotco Group merangkul dua anugerah di Sustainable Business Awards Malaysia 2021

KUALA LUMPUR, 5 Oktober 2021 – edotco Group (‘edotco’) merangkul dua anugerah di Sustainable Business Awards Malaysia 2020/21, salah satu program anugerah kelestarian korporat yang berprestij di Asia. Pengiktirafan ini mengesahkan komitmen Kumpulan tersebut terhadap piawaian ESG selari dengan Matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation’s Sustainable Development Goals).

Adlan Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif edotco Group berkata: “Anugerah ini adalah satu pengiktirafan kepada komitmen kami untuk menjadi antara syarikat infrastruktur telekomunikasi yang terunggul di ASIA.  Kelestarian atau Sustainability adalah tunggak utama yang diterapkan ke dalam strategi pertumbuhan syarikat. Bagi memacu transformasi di dalam era norma baharu, kami juga menitikberatkan model tenaga kerja moden untuk menghadapi cabaran masa hadapan.”

Sebagai syarikat infrastruktur telekomunikasi pertama di Malaysia yang menjadi ahli Kompak Global Bangsa-Bangsa Bersatu (United Nation Global Compact), edotco menerapkan 10 Prinsip Hak Asasi Manusia, Buruh, Persekitaran dan Antirasuah ke dalam strategi, polisi, prosedur dan budaya kerja.

Untuk perancangan masa hadapan, Adlan menambah: “edotco komited untuk memajukan industri telekomunikasi dan meneruskan usaha kami untuk menjadi rakan strategik bagi negara-negara di Asia dengan mengetengahkan kejuruteraan generasi baharu dalam sistem infrastruktur telekomunikasi untuk memangkin pendigitalan rakyat di peringkat serantau dan global.”

edotco Group telah diiktiraf atas komitmennya yang cemerlang dan berterusan terhadap kesemua tunggak kelestarian berikut:

Kategori Tenaga Kerja – Pemenang

Kekuatan edotco dalam kategori Tenaga Kerja dapat dilihat melalui ketahanannya dalam tiga aspek strategik: Kakitangan, Kepimpinan dan Cara Kerja ketika pandemik melanda dunia pada tahun 2020. Kumpulan tersebut menguruskan ketahanan tenaga kerja dengan mempertingkatkan model operasi dan menggandakan pelaburan modal insan. Dalam menangani ketidaktentuan yang berpunca daripada pandemik Covid-19,  edotco pantas menyesuaikan operasinya dengan norma baharu di samping menguruskan pelbagai kerumitan pasaran dan mengekalkan tenaga kerja yang amat berdedikasi, dengan memanfaatkan lima tunggak utama:

  1. Model penyampaian maya dan bertumpu kepada media digital baharu
  2. Memupuk budaya pembelajaran sendiri/peningkatan kemahiran
  3. Memberi tumpuan terhadap pembelajaran mikro dan bermodul yang diterapkan ke dalam aliran kerja harian kakitangan
  4. Kecekapan digital yang canggih untuk menyampaikan nilai dalam realiti baharu
  5. Komunikasi dan penglibatan yang kerap dan konsisten

Kategori Pengurusan Tenaga – Pencapaian Signifikan

edotco terus menerajui penggunaan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui untuk mengurangkan kebergantungan kepada diesel di tapak-tapak operasinya. Setakat ini, Kumpulan tersebut telah menggunakan ~1800 tapak solar dan 12 tapak turbin angin, yang menghasilkan 100% pengurangan emisi karbon berbanding grid elektrik dan diesel. edotco juga menggunakan tapak-tapak di kawasan luar untuk mengurangkan keperluan bagi penyaman udara, manakala eOPTI, satu platfrom telah dihasilkan untuk mengoptimumkan rekaan tenaga. Kesemua inisiatif ini mengatur perjalanan edotco ke arah matlamat neutral karbon menjelang tahun 2030. edotco juga bekerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan termasuk kakitangan, penyewa dan komuniti untuk meningkatkan kesedaran mengenai pengurusan tenaga.

Dianjurkan oleh Global Initiatives, para pemenang Sustainable Business Awards (SBA) telah dinilai secara menyeluruh berdasarkan rangka kerja pemarkahan yang dihasilkan bersama PricewaterhouseCoopers (PwC), diikuti oleh penilaian Panel Penasihatan Nasional (NAP). Anugerah tersebut mengiktiraf kepimpinan dalam kelestarian korporat untuk 12 kategori termasuk strategi kelestarian, komuniti, tenaga dan pengurusan air, rantaian bekalan dan etika. Anugerah 2020/21 untuk Malaysia telah dihadiri oleh Dato’ Sri Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi).

© 2023 BlackButterfly DesignArts