edotco Group melancarkan Infrastructure Design Competition dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

Menjangka lebih 100 penyertaan dari universiti-universiti kejuruteraan terbaik dari 16 negara Asia

Kuala Lumpur, 15 Oktober 2021 – edotco Group (‘edotco’), syarikat perkhidmatan infrastruktur telekomunikasi terkemuka di rantau ini, menganjurkan Infrastructure Design Competition yang pertama di Asia dengan kerjasama Pusat Transformasi Komuniti Universiti, Universiti Kebangsaan Malaysia (‘UCTC-UKM’). Pertandingan tersebut terbuka kepada pelajar-pelajar Tahun 3, Tahun 4 dan ijazah lanjutan Kejuruteraan yang sedang menuntut di universiti-universiti di Malaysia, Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Vietnam, Bangladesh, Sri Lanka, Pakistan, Jepun, Korea, dan China.

Pertandingan yang bertemakan “Infrastructure for Tomorrow: Designing the Future” adalah sebahagian daripada komitmen tahunan edotco untuk menyediakan platform kepada golongan belia untuk berhubung dengan pemimpin-pemimpin industri yang berpengalaman, meraih pengetahuan tentang industri dan menerima pendedahan teknologi sambil memanfaatkan kemahiran mereka untuk mencipta penyelesaian yang inovatif. Pertandingan tersebut telah dijalankan secara percubaan di Bangladesh pada tahun lalu untuk mengasah bakat dalam kalangan komuniti pelajar di negara tersebut dan telah disertai oleh 28 peserta dari 7 pasukan.

UKM adalah rakan akademia edotco untuk menganjur dan menerajui inisiatif-inisiatif penglibatan universiti-pelajar. UKM dan edotco akan turut menyertai sesi-sei pementoran industri-akademia untuk melatih dan membimbing para peserta sepanjang proses pertandingan tersebut bagi memastikan hasil yang menepati jangkaan panel hakim.

Adlan Tajudin, Ketua Pegawai Eksekutif edotco Group berkata, “Sebagai syarikat menara yang beroperasi di seluruh rantau ini, kami memahami betapa pentingnya usaha menggalakkan inovasi dan mendidik tentang kepentingan kemampanan dalam kalangan belia. Melalui pertandingan ini, kami berazam untuk menerajui inovasi di samping meningkatkan kemahiran para belia di seluruh Asia. Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan edotco untuk membangunkan tenaga kerja yang bersedia menghadapi masa hadapan dan berkebolehan membina pelbagai teknologi generasi seterusnya untuk industri telekomunikasi.”

“Fokus teknikal pertandingan ini adalah untuk menggabungkan inovasi, kecekapan kos, kebolehlaksanaan & kefungsian, serta penyelesaian yang mesra alam. Institusi pendidikan memainkan peranan yang penting dalam mengasah bakat-bakat akan datang dalam bidang telekomunikasi dan kami gembira untuk bekerjasama dengan UKM bagi mencipta platform untuk membangunkan kemahiran tersebut. Kami teruja untuk melibatkan para pelajar universiti dalam usaha membentuk masa hadapan yang cekap dan mampan, dan menyaksikan pelbagai idea kreatif yang akan mereka persembahkan,” tambah beliau.

Lebih daripada 100 penyertaan dijangka akan diterima dalam pertandingan ini. Untuk mengambil bahagian, para pelajar perlu membentuk pasukan yang terdiri daripada 2 hingga 4 peserta dengan sekurang-kurangnya seorang pelajar dari jurusan Kejuruteraan Awam. Selepas berjaya mendaftar, kesemua pasukan perlu mereka bentuk sebuah menara dan asas yang menepati kriteria infrastruktur generasi akan datang berdasarkan Rangka Kerja Teknikal yang diberikan. Dalam tempoh 65 hari, edotco dan Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina UKM akan menjalankan beberapa sesi pementoran untuk melatih para peserta mengenai projek dan cadangan reka bentuk mereka.

5 penyertaan terbaik akan dipilih untuk dibentangkan kepada panel hakim yang terdiri daripada pakar-pakar dari edotco, industri dan ahli akademik dari UKM, di Pusingan Akhir yang akan dijalankan secara maya pada Mac 2022. Sebanyak 3 pemenang dengan idea yang paling inovatif akan memenangi hadiah wang tunai berjumlah USD 5,000.

Pendaftaran untuk pertandingan ini akan dibuka dari 14 Oktober hingga 24 Oktober 2021. Untuk maklumat lanjut mengenai Infrastructure Design Competition atau untuk mendaftar, layari: https://uctc.ukm.my/news/edotco-infrastructure-design-competition/.

edotco Group melancarkan Infrastructure Design Competition dengan kerjasama Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – RAMARAMA
© 2024 BlackButterfly DesignArts